"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Monday, October 04, 2010

Buku 'The March To Putrajaya' Kini Di Internet

Buku yang diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri, "The March to Putrajaya – Malaysia’s New Era is at Hand", karya Kim Quek kini boleh diakses menerusi internet, http://www.themarchtoputrajaya.com/. Para pembaca boleh muat turun keseluruhan buku setebal 361 muka surat itu.

Dalam satu kenyataan media semalam, pengarangnya Kim Quek berkata, "beginilah sepatutnya. Rakyat di negara ini tidak seharusnya dihalang dari mendapat maklumat tersebut semata-mata kerana maklumat yang terkandung di dalamnya tidak memihak kepada pemerintah."

"Sebuah negara yang mengawal warganegaranya dari akses kepada maklumat yang penting seperti ini ialah sebuah negara yang mundur dan akan menemui kegagalan dalam era globalisasi dan teknologi maklumat," ujar beliau.

Beliau berkata, melihat di serata dunia, negara-negara yang dianggap terbaik dan dipuji dari sudut pencapaian sosial dan ekonominya adalah masyarakat yang memiliki media yang bebas.

"Hanya melalui aliran idea yang bebas, potensi pemikiran rakyatnya dapat dibangunkan sepenuhnya. Kualiti mindalah yang menentukan sesebuah masyarakat sedang menuju ke hadapan atau mundur ke belakang.

Sumber - FMT

Arif Shah, Amin Shah, Judi & Hutang...

Dalam Buletin Utama di TV3, dipaparkan Datuk Arif Shah, calon UMNO/BN yang kalah dalam PRK Permatang Pauh memberikan komen mengenai isu wang sumbangan dari hasil judi. Beliau mempertikaikan tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberikan sumbangan kepada masyarakat Islam hasil dari wang judi.

Bukan main bersemangat sekali beliau menyokong tindakan masyarakat beragama Islam yang mengembalikan wang hasil dari judi kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Dalam kenyataan beliau yang memberikan sokongan akan tindakan masyarakat Islam tersebut, beliau menyebut antara lain, masyarakat bukan Islam pun sedar dan tidak mahu wang hasil dari judi. kerana hukumnya jelas iaitu haram di sisi agama Islam.

Tahniah kepada beliau yang jelas mengetahui akan hukum hakam dalam Islam mengenai pendapatan hasil dari judi.

Demikian juga Datuk Arif Shah perlu sedar bahawa seseorang yang berhutang wajib melunaskan hutangnya atau waris yang terdekat wajib menjelaskan hutang yang ada. Jika tidak ianya juga haram hukumnya kerana mengabaikan hutang yang tertunggak sedangkan ia mampu untuk menjelaskannya selagi orang yang memberikan hutangnya tidak menghalalkan atau memaafkannya.

Apa yang ingin dimaklunkan di sini ialah adik kepada Datuk Arif Shah iaitu Amin Shah yang kaya raya dan bergelar jutawan enggan menjelaskan hutangnya kepada bekas syarikat saya bekerja dahulu sejak tahun 1994 hingga sekarang. Jumlah tertunggak ialah hampir RM500 ribu. Walau pun pada kacamata Amin Shah, ianya adalah suatu jumlah yang kecil sahaja, namun ia tetap hutang yang tertunggak dan wajib diselesaikan .

Maka diminta jasa baik Datuk Arif agar menasihatkan adik beliau, Amin Shah jutawan itu agar melunaskan hutang yang tertunggak itu dengan kadar segera. Amin Shah memiliki beberapa syarikat yang diketahui suka membiarkan hutangnya tertunggak. Walaupun syarikat-syarikat yang terlibat kerap kali menghantar peringatan agar menjelaskan hutang yang tertunggak, namun syarikat-syarikat Amin Shah terus mengabaikannya. Tidak mungkin syarikat-syarikat yang terlibat akan melupuskan hutang yang berkaitan.

Maka kita memohon jasa baik Datuk Arif Shah agar mendesak agar adiknya melunaskan hutang-hutang tersebut dengan kadar segera. Sebelum ini kita menyangka Datuk Arif Shah dan kaum keluarganya hanya tahu mengenai perniagaan dan politik sahaja, rupa-rupanya beliau bijak juga dalam bab-bab hukum hakam dalam Islam ini.

Sekian

para_jump101

Sunday, October 03, 2010

Ucapan Takziah Dari YAB Menteri Besar Kelantan

Berikutan kematian isteri Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew, Puan Kwa Geok Choo pada usia 89 hari Sabtu (semalam) pukul 5.40 petang di rumahnya kerana mengalami sakit stroke sejak dua tahun lepas; pihak Menteri Besar Kelantan, Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat dengan ini menyampaikan rakaman takziah seperti mana berikut:
“Belasungkawa untuk Menteri Mentor Lee Kuan Yew atas kematian isteri tercinta dan kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong serta ahl keluarganya kerana pemergian untuk selama-lamanya ibu yang dikasihi. Kami berkongsi kesedihan selama anda sekalian merasai kehilangannya. Ia juga suatu kehilangan besar seorang Ibu Wirawati kepada seluruh rakyat Singapura

“ Menurut Islam, setiap yang hidup akan menemui kematian dan kematian itu adalah ketentuan dari Allah, Tuhan yang mencipta sekalian makhluk.”

"Condolences to the Minister Mentor Lee Kuan Yew on the demise of his beloved wife and to the Singapore Prime Minister Lee Hsien Loong and his family because of the departure for ever dear mother. We share the grief over the loss you feel. It is also a great loss of a mother ‘Wirawati’ all Singaporeans"

"According to Islam, all flesh shall see the death and that death is the provision of God, God who created all beings."
*MEMBANGUN BERSAMA ISLAM*

Pejabat Menteri Besar
Kelantan Kota Darul Naim,
KOTA BHARU

24 Syawal 1431 bersamaan 3 Oktober 2010

Saturday, October 02, 2010

Tengku Razaleigh Nafi Terima Perlantikan Pengarah PRK Galas BN

Ketika pimpinan Umno Barisan Nasional (BN) beriya-iya mencanang persetujuan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya Umno-BN Bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Ahli Parlimen Gua Musang itu menafikannya.

Malah, sehari selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan persetujuan Tengku Razaleigh menyandang jawatan itu, Timbalan Presiden Umno turut mencadangkan beliau sebagai calon DUN Galas.

"Rakan, rakan, saya tidak berkata ya ataupun tidak. Saya akan menjelaskan berhubung Galas apabila saya pulang ke Malaysia,” katanya pada jam 6.35 waktu tempatan.

Kenyataan ringkas itu adalah reaksi sulung Tengku Razaleigh yang kini berada di luar negara kerana melawat Queen's University di Belfast, Ireland, terhadap pelantikan kontroversi itu.

Rentetan paparan twitter itu, bekas Presiden Semangat 46 yang dijadual pulang 9 Oktober ini, mendapat reaksi pengikut twitter yang bertanya: "Harap maaf Tengku, tetapi kenapa TPM asyik berkata bahawa anda telah persetujui? Bukan sekali tetapi hampir setiap hari.”

Tanpa memberi sebarang kata putus, Teng Razaleigh hanya berkata: "Itu, kita kena tanya beliau. Saya setakat ini belum membuat sebarang kenyataan.”

Sumber - .: TVSelangor.com :.

Friday, October 01, 2010

Pulangkan Wang Kerana Was-Was

Tindakan penerima wang bantuan kerajaan Pulau Pinang memulangkan kembali wang tersebut boleh dinilai dari dua sudut iaitu sudut politik dan sudut agama atau hukum. Saya tidak berhasrat menyentuh isu terbabit dari sudut politik kerana ia bukan bidang saya. Cuma jika, tindakan tersebut jika dijadikan ikutan, nanti kita akan dapat melihat kebanyakan orang miskin di Malaysia memulangkan wang bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri, kerajaan pusat dan syarikat. Ini kerana sebahagian pendapatan kerajaan negeri dan pusat juga adalah dari sumber haram seperti cukai pusat judi, pelaburan haram, riba, pusat hiburan, rumah urut ‘pelacuran' dan sebagainya. Justeru bantuan mungkin sahaja diambil dari wang haram tersebut.

DARI SUDUT HUKUM

Jika dilihat dari sudut hukum, jika tindakan warga emas tersebut dibuat atas dasar kononnya wang dipulang kerana ia tidak bersih dan haram, tindakan mereka adalah SALAH lagi terkeliru dengan cakap-cakap orang yang tiada memahami hukum Islam. Ini kerana dari sudut hukum, faqir dan miskin HARUS menerima sebarang sumbangan yang diberikan oleh pihak kerajaan negeri, walaupun diketahui kerajaan negeri mempunyai sumber wang yang HARAM.

Fakta berikut perlu difahami:

1. Wang kerajaan negeri Pulau Pinang (dan lain-lain tentunya) adalah bercampur.

Para ulama telah membahaskan persoalan penerimaan sumbangan, derma atau menikmati juadah makanan dari individu yang mempunyai pendapatan bercampur antara halal dan haram. Majoriti ulama telah sepakat bahawa selagi mana harta si pemberi itu bercampur selagi itulah kita orang biasa boleh menerima hadiah, sumbangan, derma, menikmati makanan yang disediakan mereka.

Hal yang sama terpakai untuk sesebuah syarikat dan kerajaan, selagi sumber perolehan mereka bercampur, selagi itu HARUS untuk kita menerima gaji atau upah atau apa jua dari kantung mereka, selagi tugas dan cara kita memperolehinya adalah betul. Itu adalah hukum untuk orang biasa, maka jika penerima itu adalah warga yang memerlukan seperti faqir dan miskin, ia sudah tentu jauh lebih jelas KEHARUSANNYA. Malah terdapat dalil yang jelas berkenaan keharusan terbabit. Kes yang sama terpakai untuk kerajaan pusat yang menerima sumber pendapatan dari sumber judi, riba, arak, babi, rumah urut pelacuran dan sebagainya. Selain itu, juga turut menerima sumber halal seperti hasil minyak, jualan komoditi dan sebagainya.

2. Wang itu sendiri tidak najis atau haram pada zatnya.

Wang dan harta hanya dikira haram atau halal pada cara mendapatkannya dan membelanjakannya, ia dinamakan haram dari sudut hukmi bukan ‘hissi'. Ia tidak berpindah dari seorang kepada yang lain. Ia bukan seperti najis yag berpindah apabila disentuh oleh seeorang.

3. Bagaimana jika benar-benar sumbangan dari terus dari kantung wang judi, riba dan rasuah?.

Jika keadaan itu berlaku, ia masih lagi HARUS DITERIMA oleh Faqir, miskin dan digunakan untuk maslahat umum seperti sumbangan warga emas, pembinaan jalanraya, pembersihan dan sebagainya. Itu adalah ijtihad majoriti mazhab silam dan ulama kontemporari. Termasuklah, Majlis Fiqh Antarabangsa OIC, Majlis Fatwa Eropah, Majma Buhuth Mesir[1], Al-Lajnah Al-Daimah, Arab Saudi[2] dan ribuan ulama perseorangan seperti Imam Al-Ghazali, Imam An-Nawawi, Syeikh Al-Qaradawi , Syeikh Az-Zarqa[3], Syeikh Faisal Al-Maulawi dan ramai lagi. Derma bagi wang haram tidak mampu dipulangkan semula kepada tuannya ini hendaklah disedeqahkan kepada orang faqir miskin telah difatwakan harus oleh majoriti mazhab utama Islam (Hasyiah Ibn ‘Abidin, 6/443 ; Fatawa Ibn Rusyd, 1/632 ; Al-Qawaid, Ibn Rejab, hlm 225)

PANDANGAN ULAMA MAZHAB

Ulama hanafi menyebut :-
والملك الخبيث سبيله التصدق به, ولو صرف في حاجة نفسه جاز . ثم إن كان غنيا تصدق بمثله

Ertinya: Pemilikan kotor (haram) jalan keluarnya adalah disedeqahkannya, malah jika pemilik itu seorang faqir), ia bleh mengambil untuk dirinya sendiri, kemudian, jika selepas itu dia menjadi kaya, hendaklah dia mendermakan wang haram (yang pernah diambilnya sewaktu miskin dahulu) (Al-Ikhtiyar Li Ta'lil al-Mukhtar, 3/61)

Ulama mazhab Maliki seperti Al-Qarafi dan Ad-Dawudi menjelaskan wang haram tidak hanya terhad untuk diberikan kepada faqir dan miskin sahaja tetapi juga apa-apa pembangunan dan kegunaan yang memberi manfaat kepada umum menurut budi bicara dan penilaian pemerintah adil. Jelasnya, mazhab maliki juga setuju faqir, miskin malah warga emas yang memerlukan boleh menerima wang sedemikian tanpa masalah. (rujuk Al-Dzakhirah, 5/69)

Ulama Mazhab Syafie, Imam An-Nawawi menukilkan kata-kata Imam al-Ghazali yang berkata:
وإذا دفعه - أي المال الحرام- إلى الفقير لا يكون حراماً على الفقير , بل يكون حلالا طيبا
Ertinya: sekiranya wang haram itu diberikan kepada faqir miskin, ia tidaklah haram ke atas faqir (dan miskin), bahkan ia adalah halal lagi baik untuk mereka. (Al-Majmu' , 9/428)

Imam A-Ghazzali juga menjawab keraguan beberapa ulama lain:-

وقول القائل: لا نرضى لغيرنا ما لا نرضاه لأنفسنا فهو كذلك ولكنه علينا حرام لاستغنائنا عنه وللفقير حلال إذا حلّه دليل الشرع وإذا اقتضت المصلحة التحليل وجب التحليل
Ertinya: Menjawab kata-kata orang yang berkata : "Kita tidak sepatutnya redha untuk diberikan kepada orang lain sesuatu yang kita tidak redha untuk kita". Memang benar sebegitu, namun dalam kes wang haram yag dimiliki, ia haram ke atas diri kita (pemilik) untuk menggunakannya, namun ia bagi faqir, miskin adalah halal, kerana telah ada dalil syara' yang menghalalkannya dan di ketika wujud kebaikan dari pemberian tersebut (kepada penerima), maka wajiblah diberikan. (Ihya Ulumiddin, 2/212)

Syeikh al-Qaradawi ketika membicara hal pengagihan wang haram berkata :

إذن ما دام هو ليس مالكا له, جاز له أخذه والتصدق به على الفقراء والمساكين أو يتبرع به لمشروع خيري
Ertinya : Oleh itu, selagi wang haram (yang dimiliki seseorang itu tidak diiktiraf oleh syaraa' sebagai miliknya), harus bagi pemegang itu untuk ambilnya dan disedeqahkan kepada faqir miskin atau didermakan kepada projek-projek kebaikan (untuk maslahat umum). (Fatawa Mu'asiroh, 1/606)

RINGKASAN DALIL

Terdapat banyak sekali dalil yang dijadikan sandaran oleh majoriti ulama, terdiri dari hadis-athar, qiyas dan logik aqal. Antara hujjah yang dipegang bagi mengharuskan ‘derma' wang haram yang tidak diketahui tuannya, cukup sekadar memaklumkan beberapa secara ringkas:-

1. Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a pernah bertaruh (di awal Islam) dengan seorang Musyrik (yang mencabar ketepatan Al-Quran dari surah Ar-Rum ayat pertama dan kedua yang mengisyaratkan kejatuhan Rom) iaitu kerajaan Rom akan tewas. Kemudian apabila Rom benar-benar jatuh, Sayyidina Abu Bakar dikira sebagai pemenang dan telah memperolehi harta pertaruhan itu (ianya haram kerana judi dan tujuan Abu Bakar hanyalah untuk membuktikan kebenaran al-Quran). Apabila Sayyidina Abu Bakar datang kepada Rasulullah s.a.w menceritakan perihal harta perolehan pertaruhan itu, Rasulullah bersabda :
هذا سحت فتصدق به
Ertinya : Ini kotor, sedeqahkan ia. (At-Tirmizi . 16/22 ; At-Tirmizi : Sohih)

Selepas peristiwa ini, barulah turun perintah pengharaman judi secara sepenuhnya sekalipun dengan orang kafir. (Tafsir At-Tabari, 20/16) Kisah ini dengan jelas menunjukkan Nabi tidak mengarahkannya dikembalikan kepada si Kafir, tetapi disedeqahkan untuk tujuan umum dan kebaikan ramai.

2. Selain itu, hujjah utama para ulama dalam hal mendermakan wang haram seperti wang rasuah yang dibawakan oleh Ibn Lutaibah, Nabi meletakkan wang ini di baitul mal dan diagihkan kemudiannya kepada faqir miskin dan kepentingan awam.[4]

3. Terdapat juga athar dari Ibn Mas'ud yang diriwayatkan oleh Al-Bayhaqi 6/188 dan banyak lagi.

KESIMPULAN
  • Warga emas, faqir dan miskin di pulau pinang dan mana-mana negeri dan Negara lain, DIHARUSKAN untuk menerima sumbangan dari mana-mana kerajaan negeri, syarikat dan individu selagi mana harta mereka (pemberi sumbangan) itu bercampur antara wang halal dan haram. atau dalam kata lainnya, harta mereka masih ada yang neutral dan halal.
  • Sekiranya mereka ingin memulangkan semula wang tersebut, itu juga harus hukumnya. Kerajaan negeri boleh selepas itu memberikan sumbangan dari poket kanan mereka dan wang dipulang itu masuk poket kiri kerajaan. Ia akan jadi sama sebenarnya.
  • Sebaiknya penyumbang tidak kira kerajaan, syarikat dan sepertinya; tidak mendedahkan sumber pemerolahan harta yang disumbang agar tidak mengelirukan penerima sebagaimana kes yang berlaku ini
  • Mereka juga HARUS untuk menerima wang sumbangan dari penyumbang tadi, walaupun jelas ia adalah dari hasil yang haram seperti judi lumba kuda rasuah, riba dan sebagainya. Tiada kotor pada wang yang diterima oleh mereka, kerana mereka adalah penerima yang diiktiraf oleh syara'. Manakala dosa hasil dari pemerolehan wang itu hanya ditanggung oleh pelaku dosa dan ia tidak merebak kepada penerima dari kalangan faqir miskin dan yang memerlukan.
  • Jika dilihat dari sudut hukum dan agama, warga yang menerima sumbangan terbabit TIDAK PERLU SAMA SEKALI memulangkan semula wang yang diterima.
  • Namun jika dilihat dari strategi politik pihak tertentu, tindakan tersebut di luar fokus artikel ini.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
30 Sept 2010

UMNO Kepala Bapak & AUKU

Kepala Bapak UMNO & AUKU

Keterangan gambar: Gambar 1 diambil di depan pintu masuk Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 11hb. Julai, 2010. Mesyuarat Wanita UMNO bahagian Sepanggar di Dewan Kuliah 1 Universiti Malaysia Sabah.

Ketika Mesyuarat Wanita UMNO Sepanggar berlangsung, beberapa Pelajar Universiti Malaysia Sabah telah tampil membuat bantahan tetapi mereka telah dipukul oleh Pemuda UMNO yang berada disana ketika Mesyuarat Wanita UMNO Sepanggar sedang berlangsung.

Keterangan gambar: Gambar 2 diambil daripada Berita Harian, Timbalan Perdana Menteri merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Sepanggar pada minggu berikutnya di Dewan Resital Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Thursday, September 30, 2010

Penjelasan Keatas Penarikan Balik Gelaran "Temenggong"

1. Laporan agensi berita Bernama bertajuk “Gelaran 'Temenggong' Tengku Fakhry Ditarik Balik” bertarikh 30 September 2010 di bawah adalah dirujuk.

2. Sepertimana yang telah dijelaskan sebelum ini, di antara perkara yang paling pahit untuk dilakukan di dalam dunia ini ialah untuk menegakkan kebenaran terhadap ayahanda bonda dan kaum kerabat kita sendiri.

3. Namun begitu, walau betapa pahit sekalipun ia, ia tetap juga perlu dilakukan sebagai mematuhi:
(i) Firman Allah, mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutarbalikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam apa yang kamu lakukan”. (Surah al-Nisa’: Ayat 135)

(ii) Sabda Rasulullah, mafhumnya: “Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah aku lebih dicintainya berbanding ibu bapanya, anaknya dan manusia seluruhnya”.
(iii) Sabda Rasulullah, mafhumnya: “Demi Allah! Jika anakku Fatimah sekalipun yang mencuri nescaya tetap akan aku potong tangannya”.
4. Kebawah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, tidak pernah terniat untuk memusuhi apalagi untuk mengaibkan adinda Baginda, Tengku Muhammad Fakhry Petra, sebaliknya, tindakan Baginda ke atas adinda Baginda ini adalah didasarkan kepada perasaan kasih sayang yang teramat sangat Baginda terhadap adinda Baginda ini.

5. Tindakan Sultan Muhammad Ke-V ke atas adinda Baginda ini adalah didasarkan kepada kesedaran Baginda untuk memenuhi tuntutan Allah yang menghendaki Baginda memastikan diri Baginda dan keluarga Baginda sentiasa dipelihara dari mendapat kemurkaan Allah dan seterusnya memastikan mereka sentiasa berada di dalam keredhaan Allah selaras dengan Firman Allah, mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”. (Surah al-Tahrim: Ayat 6)

6. Selain daripada selaras dengan kehendak agama, tindakan Sultan Muhammad Ke-V ke atas adinda Baginda ini juga adalah selaras dengan peruntukan-peruntukan yang terkandung di dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) (versi bahasa Inggerisnya, Laws of the Constitution of Kelantan (Second Part)), iaitu:
(i)
43. (1) Maka Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah pangkal segala kemuliaan dan kebesaran dalam Negeri ini dan Bagindalah sahaja boleh mengurniakan gelaran dan kebesaran serta mengadakan Pangkat-Pangkat Kemuliaan, Pingat-Pingat Kebesaran dan Kehormatan, dan jika perkara mengadakan mana-mana Pangkat-Pangkat Kemuliaan, Pingat-Pingat Kebesaran dan Kehormatan itu akan mengenai perbelanjaan daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan, maka mustahaklah mendapat kebenaran Dewan Negeri.

versi bahasa Inggerisnya:
XLIII. (1) His Royal Highness is the fountain of all honours and dignities within the State and He alone may confer titles and dignities and institute Orders and Badges of Honour and Dignity, and if the conferment of any title and dignity or the institution of any Order or Badge of Honour and Dignity will involve expenditure out of the Consolidated Fund, the approval of the Legislative Assembly shall be necessary.

(ii)
44. (1) Kebawah Duli Yang Maha Mulia mempunyai hak mengada, melantik dan menggelar daripada kerabatnya, sama ada yang jauh atau yang dekat, seorang lelaki menjadi Bendahara atau Temenggong atau Laksamana atau Panglima dan mengkurniakan kepada mana-mana orang lain, sama ada Kerabat D’Raja atau lainnya, akan mana-mana gelaran yang pada zaman dahulu telah ada atau telah biasa dipakai dalam Negeri Kelantan.

versi bahasa Inggerisnya:
XLIV. (1) His Royal Highness has the right to create, appoint and nominate from among His relatives, whether distant or near, a male person to be Bendahara or Temenggong or Laksamana or Panglima and to confer upon any other person, whether royal or otherwise, any title which in former times existed or commonly used in the State of Kelantan.

(iii)
45. (1) Maka Kebawah Duli Yang Maha Mulia bolehlah menurunkan pangkat mana-mana orang yang telah dikurniakan kepadanya mana-mana pangkat atau gelaran atau Pingat-Pingat Kehormatan mengikut syarat-syarat Perkara 43 atau 44 Bahagian ini, jika ada cukup kesalahan atau dosa yang telah dilakukan yang mengharuskan diperbuat demikian itu.

versi bahasa Inggerisnya:
XLV. (1) His Royal Highness may degrade any person upon whom any rank or title or order or badge of Honour has been conferred by virtue of the provisions of Articles XLIII and XLIV of this Part, if sufficient fault or offence has been committed so as to make such degradation just and expedient.
7. Kami di The Kelantan Insider tidaklah berhasrat untuk mendedahkan “fault or offence” yang telah mewajarkan tindakan Sultan Muhammad Ke-V ke atas adinda Baginda ini kerana walau apa sekalipun Tengku Muhammad Fakhry Petra masih lagi merupakan adinda Baginda.

8. Pada masa yang sama, bagi mengelakkan Sultan Muhammad Ke-V dari menerima tohmahan berlaku tidak adil ke atas adinda Baginda ini, perlulah kami nyatakan di sini bahawa “fault or offence” ini adalah diperakui oleh Kerajaan Negeri Kelantan sendiri, termasuklah oleh Penasihat Undang-Undangnya.

9. Kepada mereka yang masih juga tidak berpuas hati dengan penjelasan kami ini, sila rujuk kembali kepada posting kami bertarikh 10 April 2010 bertajuk “POSTING 3: A DOCUMENT SPEAKS A THOUSAND WORDS” untuk mencari jawapannya.

10. Akhirnya, sukalah ditegaskan bahawa hubungan persaudaraan di antara Sultan Muhammad Ke-V dan adinda Baginda masih berkekalan sepertimana kata bidalan Melayu, “carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga”. Kita menunggu tiba saatnya tatkala Baginda dan adinda Baginda akan bertaut kembali sepertimana kisah Nabi Yusuf dan saudara-saudara Baginda yang berbunyi, mafhumnya: “Dan ia dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat kepada Yusuf. Dan (pada saat itu) berkatalah Yusuf: “Wahai ayahku! Inilah dia ta’bir mimpiku dahulu. Sesungguhnya Allah telah menjadikan mimpiku itu benar; dan sesungguhnya Ia telah melimpahkan kebaikan kepadaku tatkala Ia mengeluarkan daku dari penjara; dan Ia membawa kamu ke mari dari desa sesudah syaitan (dengan hasutannya) merosakkan perhubungan antaraku dengan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku lemah-lembut tadbir-Nya bagi apa yang dikehendaki-Nya; sesungguhnya Dia-lah yang Amat Mengetahui, lagi Amat Bijaksana”. (Surah Yusuf: Ayat 100)
Gelaran 'Temenggong' Tengku Fakhry Ditarik Balik
30 September 2010 15:01 PM

KOTA BAHARU, 30 Sept (Bernama) -- Sultan Kelantan Sultan Muhammad ke-V menarik balik pelantikan dan penganugerahan gelaran "Temenggong" dan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) (Al-Yunusi) yang ditauliahkan kepada adindanya Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail Petra berkuatkuasa hari ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Aiseri Alias pada satu sidang akhbar di pejabatnya di sini setelah surat pemakluman itu diserahkan kepada kakitangan Istana Mahkota, Kubang Kerian di sini, 10 pagi tadi.

Mohd Aiseri berkata Sultan Muhammad Ke-V turut menarik balik tauliah pelantikan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.P.M.K.) (Al-Muhammadi) yang dianugerahkan sebelum ini kepada Tengku Muhamad Fakhry.

"Penarikan telah dimaklumkan kepada Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra hari ini melalui surat kepada beliau yang dialamatkan di Istana Mahkota, Kubang Kerian," katanya.

Tengku Muhammad Fakhry Petra merupakan anakanda ketiga kepada Sultan Ismail Petra manakala Sultan Muhammad Ke-V adalah yang sulung.

-BERNAMA
Sumber - The Kelantan Insider

Wednesday, September 29, 2010

AUKU Kepala Bapak UMNO..!

Pelajar IPT tetap dilarang berpolitik
2010/08/11

KUALA LUMPUR: Kerajaan tetap mengekalkan larangan berpolitik kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam walaupun ada gesaan supaya mahasiswa dibenarkan terbabit secara aktif dalam parti politik.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sebelum ini sudah memadai kerana ia memberi lebih kebebasan kepada mahasiswa untuk bersuara di kampus.

Larangan itu kekal. Tidak ada perkembangan terbaru mengenai cadangan membenarkan mahasiswa berpolitik. Mereka terikat dengan AUKU yang sebenarnya sudah dipinda dan memberi agak lebih kebebasan untuk mereka bersuara.
*Keterangan Gambar: UMNO berpolitik di Universiti tak mengapa... Gambar diambil di UNiKL City Campus, KL... AUKU Kepala Bapak UMNO...!!!

Friday, September 24, 2010

Etika Kewartawanan: Jangan Biarkan Hata Wahari Keseorangan..!

Perkara paling baik dalam menuju kearah perubahan dalam sistem demokrasi Negara Malaysia ialah kebangkitan mendadak beberapa pihak mutakhir ini. Mahasiswa dah lama cuba untuk bangkit. walaupun nampak agak payah dengan beberapa tekanan dan kongkongan dari pihak yang berkepentingan, aku masih percaya bahawa golongan Mahasiswa akan bangkit juga dengan keyakinan sendiri. masa akan menentukan segalanya.

Yang nak dibincangkan dalam posting ini ialah kebangkitan wartawan "makan gaji" yang hasil kerjanya dikawal oleh "tangan-tangan diatas" sebagaimana yang dah diluahkan secara terbuka oleh Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) yang baru iaitu saudara Hata Wahari.

Kenyataan berani Hata berkaitan dengan etika kewartawanan yang sekian lama dicabul oleh pihak-pihak berkepentingan dalam politik sebenarnya dah sedia kita tahu. perkara ni dah lama dijadikan isu oleh pihak pembangkang di Malaysia. rasanya isu ni dah kita tahu lebih dari 20 tahun.

Mungkin dah lama sangat saudara Hata menyimpan "rasa" dalam hati dan sampai masanya "rasa" yang terbuku sekian lama terluah pada umum. dalam platform yang berlainan tapi dalam bidang yang sama iaitu penyampai maklumat, aku cukup faham apa yang sekian lama terbuku dalam diri Hata selama ni sementelah pula aku pun kenal dengan ramai wartawan-wartawan media perdana yang juga menyimpan rasa yang sama dengan Hata. cumanya dari segi keberanian, Hata lebih berani pada hari ini.

Esok-esok belum tau... mungkin leboh ramai lagi yang akan memberontak macam Hata... tak mustahil ini akan berlaku. kalau dah ada yang jadi kepala, masuk gear dan tekan minyak lebih-lebih lagi pulak yang jadi kepala dalam hali ni bukan individu yang berjawatan kecik anak, yang lain-lain pasti akan datang keberanian mereka akhirnya.

Harapnya lepas hari ni, Hata tidak akan bersendirian dalam memperjuangkan etika kewartawanan yang wajib dijunjung oleh semua yang terlibat dalam dunia kewartawanan tak kira dalam posisi mana mereka berada. perlu adanya 1 luahan yang besar supaya mesejnya sampai kepada pihak yang menjadi subjek utama dalam hal ini iaitu "mereka-mereka yang menjadi alat" atau "boneka" pihak berkepentingan.

Bidang kewartawanan bukan 1 bidang lekeh yang boleh dipermainkan oleh mana-mana pihak. wartawan dan media adalah pencatat sejarah dan sejarah itu bukan untuk dimanipulasi. manipulasi sejarah adalah 1 kerja paling hina diatas dunia ini. mungkin lebih hina dari membunuh.

Pada aku, orang yang memanipulasi sejarah ialah orang yang melawan pencipta iaitu Allah. Allah dah atur dan tentukan 1-1 kejadian tu jadinya macam mana tapi ada pulak manusia-manusia yang kurang akal mengubah kejadian Allah itu mengikut kehendak dirinya sendiri. yang bersubahat pun sama je tarafnya...

Aku harap sangat-sangat supaya hari ni akan mengubah segala-galanya pada hari esok. banyak benda dalam negara Malaysia ni yang kita dah bawak pergi jauh dari landasan asal. semuanya bermula dengan pemerintahan yang gagal mengikut landasan anjuran Rasulullah s.a.w.

Bermula dari situ, 1 persatu diheret jauh dari landasan sebenar yang wajib kita ikut dan sebabnya cuma 1 - gila kuasa. gila kuasa cuma sesuai diletakkan pada pihak yang takut kehilangan kuasa. bila takut kehilangan kuasa, maka macam-macam cara dilakukan untuk mempertahankan yang bukan hak mutlak. lupa agaknya apa yang kita ada hari ni cuma "pinjaman peribadi" yang Allah bagi dekat kita.

Akhirat esok semuanya akan dituntut balik segala perbuatan hasil dari apa yang kita pinjam dengan Allah... jangan ingat kita boleh nak kawtim masa tu. zaman akhirat bukan zaman politik, zaman akhirat semua manusia bangun dalam berada dalam 2 level yang berbeza dan kita langsung tak de pilihan. level pertama ialah level taqwa dan level kedua ialah level kufur.

Kalau masa kau hidup kerja kau asyik dok lawan apa yang Allah tentukan, tak kan la tetiba kau boleh dok daam level taqwa pulak dekat akhirat esok..? kecualilah kau sempat bertaubat... tapi kena ingat jugak, dosa kau dengan Allah insya-Allah diampunkan... dosa kau sesama manusia yang kau aniaya dengan berita tak betul yang kau manipulasi tu dengan sape kau nak mintak ampun..?

Tamat bab tazkirah... kang tak pasal-pasal kena tangkap bagi tazkirah tanpa tauliah pulak kang... hahaha...

Bab etika kewartawanan.

Rasa-rasa aku, geng-geng wartawan yang selama ni dok simpan rasa dalam hati tu elok lah pakat-pakat bangkit nyatakan endirian masing-masing. cukup-cukup la dok makan gaji hasil maki hamun rakyat Malaysia. cukup-cukup la dok jadi anjing dekat orang yang kerjanya melawan Allah. sampai bila nak isi perut dengan hasil yang tak diredhai..?

Kalau yang bangkit cuma sekadar Hata sorang je aku yakin tak kan ada perubahan dalam bidang kewartawanan di Malaysia. wartawan Malaysia cuma sekadar boleh cari makan di Malaysia. di negara luar insya-Allah susah nak cari makan sebab level kewartawanan media perdana negara Malaysia (pada aku) setakat hari ni aku letak dekat kandang anjing je.

Korang ingat media luar nak ambik ke wartawan yang tak de etika kerja dengan syarikat diorang..?

Sampai bila wartawan media perdana sekadar nak jadi Balaci je..? beb... ni sejarah negara korang sendiri ni beb... bukan sejarah negara Zimbabwe... pagi ni kau nampak apa yang berlaku, kau balik opis kau tulis panjang lebar, lepas tu editor kau edit jadik cerita lain... kau pulak sengih je janji masyuk...

Mana tau 2-3 tahun lagi ada pulak sejarah penting berlaku yang berkait rapat dengan apa yang kau nampak dulu yang sepatutnya dikaitkan sama tapi jadi tak boleh nak kait sebab dulu kau dah biarkan editor kau edit sampai jadi cerita lain... kau tak menyesal..?

Kalau ramai-ramai bangkit geng-geng wartawan yang jadi pencacai ni, ia akan jadi tekanan pada pihak yang selama ni dok manipulasi kerja korang. tekanan akan bawa perubahan yang baik. kalau tak nak berubah kepada yang lebih baik, duduk je lah dekat opis tu panaskan seat empuk masing-masing sambil layan sejuk air-cond.

Biarkan Hata berjuang sorang-sorang... wartawan pencacai penakut boleh terus makan gaji hasil dari caci maki rakyat Malaysia. rakyat Malaysia boleh terus bodoh... sambil-sambil tu wartawan media perdana boleh terus kumpul tiket 1st class ke neraka jahanam sebab bersubahat.

Amin...