"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Monday, December 29, 2008

ISA Kekal Walau Dikecam Hebat - malaysiakini

Desakan supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan paling hebat disuarakan tahun ini tetapi tiada petanda ia bakal dimansuhkan atau diganti dengan undang-undang baru.

Penahanan beberapa individu yang dianggap mengancam keselamatan negara mencetuskan semula perbahasan mengenai undang-undang itu yang didakwa sesetengah pihak sebagai menyekat kebebasan yang dilindungi Perlembagaan Persekutuan, dengan tuduhan ia disalahgunakan untuk kepentingan politik.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia turut tampil dengan cadangan baru supaya ISA digantikan dengan undang-undang antikeganasan yang, selain menjadikan penahanan sebagai langkah pencegahan tindakan keganasan, akan turut memberi penekanan kepada perlindungan hak tahanan seperti pelantikan peguam dan hak kepada semakan penghakiman.

Desakan supaya ISA dimansuhkan mula kedengaran setelah beberapa anggota pertubuhan haram dikenali Hindraf, termasuk lima pemimpinnya iaitu peguam M. Manoharan, P. Uthayakumar, V.Ganabatirau, R. Kenghadharan dan K. Vasantha Kumar, ditahan pada 13 Dis tahun lepas kerana didakwa terlibat dalam demonstrasi di Kuala Lumpur pada 25 Nov dan mengeluarkan kenyataan memfitnah kerajaan.

Usaha mereka untuk dibebaskan dari Kem Tahanan Kamunting, Taiping, Perak masih buntu setelah permohonan habeas corpus mereka ditolak sebanyak tiga kali oleh Mahkamah Tinggi Ipoh dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dan kini masing-masing menunggu rayuan keputusan itu didengar di Mahkamah Persekutuan.

Keadaan menjadi lebih hangat setelah editor laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok, dan wartawan wanita Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng ditahan pada 12 Sept lepas.

Raja Petra ditahan berikutan siasatan polis terhadap artikelnya yang didakwa mengandungi unsur menghina Islam, menghasut dan boleh membangkitkan kemarahan serta menjejaskan ketenteraman dan keamanan negara. Beliau dibebaskan kemudiannya.

Kok pula diberkas kerana didakwa mencetuskan isu perkauman dan persengketaan agama apabila dikatakan terbabit dalam kontroversi isu azan di masjid. Dia bagaimanapun dibebaskan seminggu kemudian.

Tan ditahan di rumahnya dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang untuk siasatan setelah laporannya mengenai Ketua Umno bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail, yang didakwa membuat kenyataan bahawa "orang Cina adalah penumpang" disiarkan di akhbar. Tan juga dibebaskan seminggu selepas penahanannya.

Penahanan Tan khusus dikecam hebat pelbagai pihak setelah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar memberi alasan ia dilakukan bagi "melindungi Tan daripada ancaman bunuh".

Majlis Peguam telah mengadakan mesyuarat agung luar biasa dan meluluskan enam resolusi meminta kerajaan segera memansuhkan ISA dan undang-undang lain yang membolehkan seseorang ditahan tanpa dibicarakan.

Antara peruntukan ISA yang didakwa mencabuli hak asasi individu ialah seksyen 73 yang memberikan polis kuasa yang luas untuk membuat penangkapan dan melakukan siasatan selama 60 hari berturut-turut terhadap individu yang dipercayai boleh atau telah memudaratkan keselamatan negara.

Seksyen 8 pula membolehkan Menteri Dalam Negeri mengeluarkan perintah tahanan selama dua tahun, tanpa melalui proses perbicaraan, terhadap mana-mana individu bagi tujuan mencegahnya daripada melakukan sebarang tindakan yang boleh mengancam dan memudaratkan keselamatan negara.

Pada 15 Sept, Parti Keadilan Rakyat dan PAS mengadakan Persidangan Parti-parti Politik Membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri Yang Zalim, untuk turut meminta agar ISA dimansuhkan.

Sehari sebelum itu di Kota Baharu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Zaid Ibrahim, berkata kerajaan tidak sewajarnya menggunakan ISA untuk menahan tiga individu tersebut kerana terdapat undang-undang lain, termasuk Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan, yang boleh digunakan untuk mengadili atau menghukum individu yang didakwa menimbulkan ketegangan kaum.

Beliau berpendapat ISA masih boleh digunakan tetapi ia perlu kembali kepada tujuan asalnya iaitu untuk menahan pengganas yang menggunakan senjata untuk mengambil alih kerajaan. Zaid meletak jawatan kemudiannya.

Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M. Kayveas turut mengambil pendirian drastik bahawa parti itu akan keluar daripada Barisan Nasional jika kerajaan tidak meminda ISA sebelum pilihan raya umum ke-13.

Walaupun terdapat persepsi ISA bersifat "kuku besi" tetapi tahanan ISA sebenarnya masih mempunyai ruang dan peluang untuk membebaskan diri dengan mencabar penahanan mereka di mahkamah melalui writ habeas corpus.

Meskipun jumlah kes di mana tahanan berjaya dalam permohonan mereka untuk membebaskan diri dari ISA adalah kecil tetapi ia tetap menunjukkan peranan mahkamah untuk memberikan keadilan sewajarnya terhadap penahanan seseorang individu di bawah akta itu.

Contohnya, pada 7 Nov, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan Raja Petra dibebaskan daripada tahanan ISA setelah mendapati alasan penahanan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar itu tidak termasuk dalam skop Seksyen 8 ISA.

Pada 6 Sept 2002, Mahkamah Persekutuan turut membebaskan lima pemimpin pembangkang dan aktivis iaitu Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (ketika itu) Mohamad Ezam Mohamed Nor, naib presidennya Chua Tian Chang (Tian Chua), aktivis reformasi Hishammudin Rais selaku Raja Petra selaku pengarah "Kempen Bebaskan Anwar", dan presiden Jemaah Islamiah Malaysia Saari Sungib setelah mendapati penahanan dan penangkapan mereka pada 10 dan 11 April 2001 mengikut Seksyen 73 (1) ISA adalah menyalahi undang-undang.

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah juga pernah berkata (dalam seminar mengenai perlembagaan dan hak asasi manusia di Kuala Lumpur pada 30 Sept 2003) bahawa walaupun mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk menyemak semula kuasa Menteri Dalam Negeri untuk menahan mengikut seksyen 8 ISA tetapi ia boleh mengkaji semula kuasa polis untuk menangkap dan menahan mengikut seksyen 73 akta yang sama.

Malah, mahkamah turut melangkah lebih jauh apabila buat pertama kalinya, seorang bekas tahanan ISA diberi ganti rugi RM2.5 juta tahun lepas dalam saman yang difailkan terhadap polis dan kerajaan bagi penahanan dan penderaan terhadap dirinya pada 1998.

Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus berkata Abdul Malek Hussin berhak kepada ganti rugi itu kerana penahanannya pada 10 malam 25 Sept 1998 dan selama 57 hari mengikut ISA adalah menyalahi undang-undang dan dilakukan secara mala fide (niat jahat) apabila soal siasat yang dijalankan terhadap Abdul Malek di Bukit Aman bagi risikan mengumpulkan maklumat bagi tujuan politik dan tiada kena mengena dengan kebimbangan terhadap keselamatan negara.

Mengulas kontroversi ISA, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan tidak bercadang untuk menyemak semula ISA buat masa ini dan menganggap akta itu masih relevan dalam konteks hari ini, malah beberapa negara seperti Amerika Syarikat dan England kini turut telah menguatkuasakan undang-undang serupa bagi tujuan menjamin keselamatan.

Syed Hamid pula menyangkal dakwaan bahawa ISA digunakan dengan sewenang-wenangnya, sebaliknya menegaskan kerajaan sentiasa memastikan akta itu digunakan dengan berhemah, adil dan saksama.

Buktinya, 10 Dis lalu beliau mengumumkan enam tahanan ISA termasuk dua anggota kumpulan militan Jemaah Islamiyah (JI), telah dibebaskan baru-baru ini kerana didapati tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Jumlah tahanan ISA kini sudah menurun daripada 75 orang kepada kepada 46 dan daripada jumlah itu, 16 adalah daripada JI, 13 orang daripada kumpulan Darul Islam, 10 orang kerana terlibat dalam pemalsuan dokumen kad pengenalan dan pasport, lima anggota kumpulan Hindraf dan dua individu yang bekerja dengan agensi perisikan asing.

2 comments:

muadzam_pejuang Islam Paka said...

ISA dibela tapi hudud di tolak....inilah ciri2 kerajaan fasiq....kalau kerajaan tolak hudud kita sebagai rakyat malaysia wajib tolak kerajaan ini...UMNO dan BN.

Anonymous said...

Kalau orang yang hina nabi aku setuju tangkap bawah ISA.. kalau boleh bukan tahan tanpa bicara tapi pancung dulu baru bicara..