"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Thursday, June 19, 2008

Tindakan batal kursus jejas pengusaha hotel

( Petikan pendapat pembaca Berita Harian-19.06.2008 )

SAYA tertarik kepada kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad, berhubung seminar dan kursus tidak akan dijalankan lagi di hotel berikutan langkah kerajaan berjimat cermat.

Pada pendapat saya, sebelum mengeluarkan kenyataan, beliau seharusnya mempertimbangkan dulu sedalam-dalamnya kesan yang akan dialami sebahagian lagi rakyat yang tidak berpeluang untuk berada dalam perkhidmatan kerajaan yang harus berkerja dengan gigih untuk mengecapi hidup yang selesa.

Keputusan untuk menghentikan kursus dan seminar di hotel, terutama yang bertaraf tiga bintang ke bawah boleh membunuh sebahagian besar daripada pengusaha hotel di negara ini.

Bagi saya kenyataan itu kurang tepat. Bayangkan berapa ramai kakitangan hotel yang berdepan dengan risiko dibuang kerja akibat hotel tiada perniagaan.

Seperti kenyataan Ketua Pengarah Pelancongan, Datuk Mirza Mohammad Taiyab, 70 peratus pendapatan industri hotel bergantung kepada pakej kursus dan seminar daripada kerajaan.

Kerajaan mempunyai wang dan seharusnya diagihkan kepada rakyat, tetapi bukanlah secara percuma tetapi dengan membeli perkhidmatan disediakan.

Sektor pelancongan memang menjadi keutamaan bagi pengusaha hotel tetapi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang ini, tidak ramai yang sanggup memperuntukkan wang untuk berbelanja bagi bercuti.

Langkah penjimatan yang hendak dijalankan pihak kerajaan tidak seharusnya sehingga sampai membebankan industri pengusaha dan pekerja hotel. Bayangkan nasib pengusaha hotel dan kakitangan yang ada , apabila semua tempahan yang dibuat sehingga hampir hujung tahun dibatalkan serta-merta, mana hendak dapatkan wang untuk bayaran gaji pekerja? Melainkan terpaksa membuang sebahagian besar pekerja.

Lebih menyedihkan jika perniagaan terpaksa gulung tikar, sebelum ini pihak kerajaan sendiri menyediakan pelbagai dana yang disalurkan melalui institusi kewangan bagi membolehkan usahawan memperluaskan perniagaan.

Langkah penjimatan kerajaan untuk tidak menjalankan kursus di hotel akan menyebabkan pengusaha tidak mampu untuk membayar balik pinjaman itu. Meneruskan kursus dan seminar di hotel bukanlah bebanan utama kepada pihak kerajaan, harga pakej boleh dirunding semula mengikut kesesuaian semasa.

Hotel boleh dikelaskan dan diletakkan syarat kelayakan untuk dipilih sebagai tempat untuk kursus mengikut kelayakan.

Saya menyokong penuh kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang akan meneruskan kursus di hotel kerana beliau faham akan konsep ekonomi.

Pengalaman saya sebagai pengusaha hotel yang pernah melalui zaman kegawatan ekonomi 1997 dan 1998, keadaannya amat perit untuk dilalui sehingga banyak harta terpaksa pergi ke Dana Harta dan terpaksa dilelong. Saya serta semua pengusaha hotel yang lain tidak sanggup lagi untuk menghadapinya kali kedua pengalaman pahit itu. Saya amat berharap pihak kementerian dapat mengkaji semula perkara ini .

Banyak lagi cara lain yang boleh dilaksanakan kerajaan untuk berjimat dan berbelanja secara berhemah. Janganlah mengambil jalan mudah dengan tanpa disedari boleh menyebabkan kehidupan sebahagian rakyat yang juga banyak bergantung kepada kerajaan terhimpit. Walaupun bukan kakitangan kerajaan tetapi kami juga masih rakyat negara ini dan jangan diabaikan kebajikan kami.

ISMAIL ABDUL RAHMAN,

Pengarah Urusan Chandek Kura

Hotel Sdn Bhd, Langkawi, Kedah.

No comments: