"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Monday, July 28, 2008

Sistem kenaikan pangkat PDRM diubah daripada temuduga kepada kursus

KUALA LUMPUR 28 Julai — Sistem kenaikan pangkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diubah daripada kaedah temuduga kepada kursus bagi menentukan ia dibuat berdasarkan prestasi keseluruhan dan mereka yang benar-benar layak, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Beliau berkata kertas cadangan bagi mengubah sistem kenaikan pangkat itu telah dihantar kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada akhir tahun lepas dan PDRM sedang menunggu kelulusan JPA.

“Kita akan wujudkan kursus-kursus kenaikan pangkat daripada anggota rendah sampailah kepada pegawai kanan.

“Dengan cara ini kita boleh uji kebolehan mereka daripada segi kepimpinan, pengucapan awam dan lain-lain lagi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Surat Ucapan Tahniah Kepada Lima Pegawai Kanan PDRM yang telah dinaikkan pangkat di sini hari ini.

Lima pegawai kanan itu ialah Timbalan Pengarah Siasatan Jenayah 1 Datuk Morza Zazarene, Ketua Polis Pahang Datuk Robiah Abdul Ghani, Timbalan Pengarah (1) (Gerakan), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Abdul Rahman Hussin, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob dan Ketua Polis Melaka SAC1 Mazlan Mansor.

Katanya penilai kursus kenaikan pangkat itu bukan sahaja terdiri daripada kalangan pegawai PDRM tetapi juga para pegawai JPA.

Musa berkata kaedah temuduga yang dijalankan sebelum ini tidak dapat menilai keseluruhan kebolehan pegawai dan anggota, yang mana pemilihan berdasarkan “dicadangkan” oleh ketua dan pegawai mereka.

“Kaedah sebelum ini, hanya bergantung pada yang dicadangkan daripada ketua dan pegawai mereka, tetapi kita tak uji lagi bagaimana kepimpinan mereka dan sebagainya. Mungkin dia bagus hanya dalam sesetengah perkara sahaja.

“Jika nak naikkan pangkat seseorang kena lihat menyeluruh daripada segi kepimpinan dan perwatakan. Ini kerana apabila seseorang dinaikkan pangkat orang bawah akan pandangnya sebagai pemimpin,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kursus kenaikan pangkat itu, Musa berkata mereka harus lulus dalam peperiksaan yang ditetapkan sebelum mengikuti kursus tersebut yang akan mengambil masa kira-kira dua minggu.

“Dengan cara ini juga saya mengharapkan akan lebih ramai lagi yang akan dinaikkan pangkat tidak kira sama ada di peringkat bawahan atau pegawai. Malah mereka yang pernah diambil tindakan disiplin juga boleh layak mengikuti kursus tersebut asalkan mereka telah habis hukuman serta lulus peperiksaan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata dalam proses kenaikan pangkat baru-baru ini, seramai 6,815 orang telah dinaikkan pangkat yang melibatkan 139 pegawai kanan dan 6,676 anggota peringkat rendah.

Musa berkata beliau sentiasa memastikan proses kenaikan pangkat berlaku dengan adil dan tidak dipengaruhi unsur-unsur tidak bertanggungjawab.

“Saya tidak pernah membeza-bezakan seseorang itu sama ada daripada segi agama, keturunan dan jantina.

“Malah kenaikan pangkat Datuk Robiah yang menjadi pegawai kanan wanita pertama menjawat jawatan Ketua Polis Negeri adalah contoh terbaik PDRM sentiasa mengiktiraf sesiapa sahaja pegawai yang berwibawa tanpa mengira jantina,” katanya.

Beliau berkata tidak mustahil juga pegawai kanan wanita yang kini semakin ramai membarisi kepimpinan PDRM akan dilantik menjadi pengarah atau suatu masa nanti dilantik menjadi Timbalan Ketua Polis Negara atau Ketua Polis Negara.

-UM Online

TP - Gambar hiasan

No comments: