"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Thursday, August 14, 2008

ADUN BN Seberang Jaya calon BN di Permatang Pauh

(Dikemas kini) BUKIT MERTAJAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah dipilih untuk mewakili Barisan Nasional (BN) bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini.

Ia diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebentar tadi di sini.

Menurut Najib, pemilihan Ariff Shah, 52, dibuat setelah mengambil kira pelbagai aspek termasuk faktor tempatan dan semasa.

Katanya, beliau adalah calon terbaik menentang Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merebut kerusi kawasan parlimen berkenaan.

Najib mengumumkan demikian di hadapan kira-kira lebih 3,000 penyokong BN di Pusat Konvensyen Sunway Carnival di sini malam ini.

Beliau turut melancarkan jentera BN bagi pilihan raya kecil itu malam ini di Pusat Konvensyen Sunway Carnival.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan pengunduran penyandangnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PKR pada 31 Julai lepas bagi memberi laluan kepada suaminya yang juga penasihat parti itu.

Penamaan calon ialah pada Sabtu ini.

Kerusi Parlimen Permatang pauh meliputi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang iaitu Seberang Jaya yang diwakili oleh Arif Shah, Permatang Pasir (diwakili Hamdan Abd Rahman dari PAS) dan DUN Penanti, yang diwakili oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin dari PKR.

Dalam ucapannya, Najib berkata, kerajaan akan mengumumkan "buah tangan" untuk rakyat pada pembentangan Bajet 2009, 29 Ogos ini.

"Ada buah tangan untuk rakyat. Kita faham rakyat tertekan dengan keadaan sekarang. Kerajaan Barisan Nasional dengar masalah rakyat," katanya.

Katanya kerajaan sedang menimbang mekanisme yang sesuai bagi mengurangkan beban rakyat berikutan kenaikan harga bahan api.

Sehubungan itu, Najib yang juga Timbalan Pengerusi BN berharap rakyat tidak terpengaruh dengan janji pembangkang untuk menurunkan harga minyak sekiranya berjaya memerintah negara.

"Satu dunia mengalami kenaikan harga minyak, jadi tidak logik kalau kita nak turunkan harga minyak dengan menggunakan keuntungan daripada Petronas," katanya.

Mengenai pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, Najib menyifatkan hasrat Anwar untuk membentuk kerajaan baru sebagai tidak realistik.

"Setakat dia (Anwar) menang di Permatang Pauh mampukah dia membentuk kerajaan. Dia tidak boleh tubuh kerajaan setakat dia menang di Permatang Pauh.

"Dia hanya boleh tubuh kerajaan kalau 30 anggota Parlimen BN lompat masuk parti yang dia pimpin iaitu Pakatan Rakyat," katanya.

Najib berkata, tidak mustahil untuk berlaku perubahan politik di Permatang Pauh berdasar keadaan politik yang sentiasa berubah dan sukar diramal.

"Pada 2004 ia (pendulum jam besar) bergerak ke kanan dan kita menang besar, pada 2008 malangnya ia bergerak ke sebelah kiri pula, kita kecundang termasuk di negeri Pulau Mutiara ini," katanya.

Najib kemudiannya memberitahu pemberita bahawa beliau yakin Ariff Shah telah berkhidmat dengan baik kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya dan mampu memberi khidmat kepada seluruh penduduk Permatang Pauh.

Ariff Shah mula terpilih sebagai ADUN Seberang Jaya pada pilihan raya umum 2004 dengan mengalahkan calon PKR Dr Mansor Othman dengan majoriti 4,464 undi.

Pada pilihan Mac lepas beliau mengekalkan kerusi DUN itu untuk penggal kedua menewaskan calon PKR Ramli Bulat dengan majoriti 533 undi.

Menjawab soalan adalah bukan menjadi amalan dalam BN untuk seseorang wakil rakyatnya menjadi Anggota Parlimen dan ADUN secara serentak, Najib berkata tidak ada yang boleh menghalang pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan itu kerana ia tidak bertentangan dengan perlembagaan negara dan parti pembangkang juga berbuat demikian.

Kepada soalan sama ada pencalonan Ariff Shah boleh mengubah undi orang Cina kepada BN beliau berkata :" Saya masih berharap untuk peralihan semua undi"

Najib juga yakin semua parti komponen BN akan bekerjasama bagi menjamin kejayaan perikatan itu."Kita bukan lihat perkara ini dari aspek pilihan raya tetapi kita perlu lihat dalam aspek keteguhan BN untuk jangka masa panjang," katanya.

Najib berharap semua pemimpin dan anggota parti memberi sokongan penuh kepada Ariff Shah dan mereka yang tidak terpilih sebagai calon tidak bermaksud ia menjejaskan masa depan politik mereka.

"Saya juga berharap semua yang tidak terpilih (sebagai calon) supaya memberi sokongan penuh dan bekerjasama menggerakkan jentera parti bagi memastikan kemenangan calon dan BN pada pilihan raya kecil itu nanti.

"Bila berkempen nanti jangan kita ketepikan calon yang terpilih walaupun dalam bahagian kita tidak sokong dia (calon), jangan lihat dia sebagai musuh," katanya.

Najib berkata pemilihan Ariff Shah juga adalah atas faktor kemenangannya mempertahankan kerusi DUN Seberang Jaya pada pilihan raya umum lepas.

"Kita hendaklah bekerja sedaya upaya untuk mencapai kejayaan dan jangan ada pertimbangan lain dan jangan fikir siapa yang hendak jadi ketua bahagian atau sebagainya, sebaliknya fikirkan strategi untuk menang pilihan raya kecil itu nanti," katanya.

Ariff Shah dilahirkan di Pulau Pinang dan berpendidikan sekolah rendah dan menengah jenis kebangsaan Cina di Perak, Terengganu dan Kuala Lumpur.

Beliau petah berbahasa Mandarin dan Hokkien dan kefasihannya bertutur bahasa itu menyebabkan ramai kaum Cina kagum dengan ucapannya.

Sebelum ini beliau pernah memegang jawatan sebagai Naib Ketua Umno Bahagian Seberang Jaya dan ketua penerangan tetapi tidak memegang sebarang jawatan dalam parti pada pemilihan lepas.

Antara yang turut hadir pada majlis itu ialah pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Puteri Umno Datuk Noraini Ahmad dan Pengerusi MCA Negeri Datuk Liow Tiong Lai.

-mSTAR Online

No comments: