"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Tuesday, September 16, 2008

Sasaran 16 Sept: Anwar dakwa cukup sokongan MP BN, Pak Lah sifatkan 'perkara karut'

(Dikemas kini) PETALING JAYA: Pelan sasaran 16 September Pakatan Rakyat yang berusia enam bulan akan menjadi realiti hari ini?

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual akan mengumumkan butiran lanjut sasaran mereka termasuk jumlah Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) telah menyatakan hasrat untuk menyertai Pakatan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan rancangan pembangkang untuk menubuhkan kerajaan baru hari ini sebagai sesuatu perkara yang karut.

Sambil menempelak tentang hasrat Pakatan Rakyat (PR) itu, beliau berkata, pertukaran kerajaan baru seperti yang dicanangkan oleh Anwar tidak akan berlaku.

Ketika berucap pada majlis sambutan Hari Malaysia anjuran Pakatan Rakyat di Kelana Jaya malam tadi. Anwar berkata, pihaknya mempunyai bilangan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan sebagaimana dijanjikan - ketika BN dan pemerhati politik meragui sasaran ikatan pembangkang itu.

Kata Anwar, tindakan beliau ini bukan untuk merampas kerajaan semasa tetapi mahu mengikut kehendak rakyat yang inginkan perubahan.

"Rakyat Malaysia sudah sedia dan matang untuk membuat keputusan," kata beliau di Stadium MPPJ, Kelana Jaya yang dibanjiri kira-kira 12,000 orang penyokongnya.

Terdahulu petang semalam, Ketua Penerangan PKR, Tian Chua ketika dihubungi mStar Online mengesahkan bahawa Anwar akan mengumumkan butiran lanjut mengenai pelan mereka hari ini.

Masa sidang media khas terus dirahsiakan sehingga malam tadi.

Difahamkan sidang media akan diadakan di Ibu Pejabat PKR sama ada pukul 11 pagi ataupun 3 petang ini.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution ketika dihubungi juga berkata, pihaknya sudah mempunyai bilangan wakil yang mencukupi untuk tujuan pembentukan kerajaan.

Difahamkan pihaknya sudah memujuk dan mendapatkan sokongan 40 hingga 45 Ahli Parlimen termasuk anggota Kabinet.

"Anwar akan mengumumkan modus operadi dan mekanisme untuk membentuk kerajaan pada sidang media (hari ini)," katanya.

Kata beliau, kerajaan persekutuan yang baru tidak akan dibentuk secara rasmi hari ini tetapi ia akan menjadi kenyataan dalam waktu terdekat.

Kata beliau, antara pukul 1.30 dan 1.45 tengah hari semalam seorang Ahli Parlimen bertaraf menteri telah menemui Anwar.

Saifuddin mengakui bahawa pembentukan kerajaan persekutuan yang baru memerlukan kehadiran wakil-wakil rakyat secara fizikal.

Malangnya dalam keadaan semasa, kata beliau, tidak semua Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan mampu hadir kerana sesetengahnya masih berada di luar negara termasuk di Hong Kong dan China.

"(Tarikh) 16 September jadi... semua perancangan sudah siap. Esok (hari ini) Datuk Seri Anwar akan membuat pengumuman secara rasmi melalui satu sidang akhbar khas," kata Tian yang semalam pulang ke tanah air selepas terlibat dalam lawatan ke Taiwan untuk memancing beberapa Ahli Parlimen BN di negara itu, yang mengadakan lawatan sambil belajar.

Antara lain kata beliau, Anwar akan mengumumkan bahawa lebih 32 Ahli Parlimen BN telah mempersetujui untuk masuk Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat diumumkan secara rasmi pembentukannya pada 1 April lalu turut mengisytiharkan sasaran pelan mereka membentuk kerajaan persekutuan menjelang 16 September.

"Kita semua sedang membuat persediaan akhir hari ini (semalam). Semua jentera sedang bergerak untuk pastikan semua berjalan lancar," katanya yang akan ke Sarawak malam ini bagi mengadakan perbincangan akhir dengan wakil di negeri itu.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr. Jeffrey Kitingan ketika dihubungi berkata, beliau yakin satu kejutan akan berlaku di Sabah mengenai beberapa orang Ahli Parlimen BN yanag akan lompat parti menyertai Pakatan Rakyat.

"Saya sudah terima panggilan dari mereka (Ahli Parlimen BN) minggu lalu untuk berbincang mengenai perkara ini.

"Sudah pasti mereka dari Sabah. Namun saya tak tahu berapa orang yang cakap dan berapa orang yang akan buat (lompat parti)," katanya.

Bagaimanapun beliau terus berkeyakinan bahawa akan berlaku perubahan sama ada pada esok ataupun luasa.Ditanya mengapa Pakatan Rakyat seolah-olah menangguhkan tarikh pembentukan kerajaan baru hingga ke tarikh lain selain 16 September, beliau berkata: "Perkara penting begini perlu berhati-hati, jadi mungkin ambil masa."

-mSTAR Online

No comments: