Umum mengetahui suka atau tidak politik wang memang dipraktikkan oleh semua calon Ketua Pemuda. Tak guna-lah sesiapa pun cuba menyelindung dosa mana-mana calon. Tapi tren pencalonan untuk ketiga-tiga calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia menimbulkan tanda tanya mengenai apakah sebabnya kadar pencalonan Berani Berubah Mukhriz Mahathir kian hambar berbanding awal musim pencalonan dahulu. Kes angka pencalonan Khir Toyo pula terbalik – secara tiba-tiba melonjak tinggi ke angka 47 walhal sebelumnya Khir dilihat berkemungkinan tidak layak bertanding PAU Mac nanti.
Tren sebegini menunjukkan kelainan strategi mainan politik wang yang digunakan ketiga-tiga calon. Jika benarlah rata-rata para perwakilan mencalonkan mana-mana individu berdasarkan kebolehan masing-masing, fenomena aneh seperti yang terjadi sekarang tak logik berlaku. Contohnya, jika slogan Berani Berubah itu benar-benar menambat hati para perwakilan, nescaya momentum awal Mukhriz pastinya telah melihat beliau melepasi angka pencalonan 100 sekarang ini. Tetapi tidak; yang jadinya Khir Toyo yang PR akar umbinya disegani kawan dan lawan pula yang mengambil-alih momentum Mukhriz. Kadar pencalonan Khairy Jamaluddin pula tampak agak konsisten, sungguhpun dikatakan kurang digemari para perwakilan akar umbi kerana perwatakannya yang agak elit ala-Oxford walaupun kepintaran dan karismanya tidak dapat dinafikan.
Barangkali Mukhriz banyak 'menabur' pada awal musim pencalonan dan berjaya mendominasi peringkat awal; kem Khairy dikhabarkan kurang memberi wang berbanding dua lawannya (mungkin ketandusan dana semenjak bapa mertuanya melepaskan jawatan Menteri Kewangan); taktik Khir Toyo pula agak drastik – membelanjakan jumlah wang yang besar pada 'second half' untuk mengejutkan para penyokong Mukhriz dan Khairy di Bahagian-bahagian seperti Bukit Bintang, PJU, Sipitang dan Balik Pulau.
Dana Khir Toyo kita sedia maklum datangnya dari komisen projek-projek sewaktu menjadi MB Selangor dahulu – Syabas, Lebar Daun – serta proksi-proksinya lain seperti Wijaya Corp yang dipimpin Ketua Pemuda Kapar Faizal Abdullah. Khairy tak payah ceritalah, siapa pun dah tahu. Sumber dana Mukhriz pula agak kabur sedikit, walaupun ternyata bapanya dan abangnya Mokhzani pasti membantu.
Namun, dengan pendedahan syarikat subsidiari syarikat Mokhzani, Kencana Mermaid Drilling Sdn Bhd sebagai penerima kontrak carigali terbaru Petronas bernilai USD235 juta (RM, harapan Mukhriz untuk meraih kedudukan Ketua Pemuda tampak lebih cerah kerana 'kos' menjelang bulan Mac nanti akan jauh lebih tinggi daripada 'kos' musim pencalonan yang telah hampir tamat ini.
Yang peliknya, Kencana Mermaid ini bukannya syarikat carigali dan tidak langsung mempunyai sebarang rekod dalam usaha mencarigali. Apakah wajar Kencana Mermaid dianugerahkan kontrak sebegitu besar ini, terutamanya tatkala ekonomi Malaysia dan industri petroleum sedunia yang kurang stabil dengan harga turun naik mendadak?
Maruah dan kepentingan bangsa dan negara tidak boleh diketepikan untuk mana-mana calon. Penulis akan tetap mengkritik sesiapa sahaja yang dilihat mencabul prinsip ini, serta mengetengahkan kisah-kisah rasuah, skandal dan korupsi terhina.
No comments:
Post a Comment