"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Monday, December 08, 2008

Aduan Oktober lalu tidak diendah - malaysiakini

Seorang mangsa yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa di sini mendakwa beliau telah membuat aduan berhubung kejadian pokok tumbang dan pergerakan tanah di kediamannya pada pertengahan Oktober lepas tetapi seakan-akan tidak dipedulikan.

Hassan Saad
, 49, seorang ahli perniagaan, berkata pada 21 dan 22 Okt lepas beliau telah mengajukan aduannya kepada beberapa pihak bertanggungjawab apabila dua insiden pokok tumbang berlaku di belakang rumahnya tetapi pihak terbabit meminta beliau supaya tidak risau dengan kejadian itu.

"Pihak berkaitan menghantar wakil dan pihak berkuasa tempatan turut turun untuk meninjau permasalahan yang saya hadapi dan kemudiannya menghantar pakar tanah untuk mengkaji keadaan tanah bagaimanapun pakar tanah tersebut mendakwa tiada masalah.

"Dari pengamatan saya melalui dua insiden itu, saya yakin ada pergerakan tanah kerana satu persatu pokok tumbang dan hala pokok jatuh secara berselang-seli yang akan membawa kepada kejadian tanah runtuh tetapi saya kesal kerana aduan (SMS dan panggilan) saya tidak diberi perhatian yang sewajarnya," katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata jika pihak berkaitan memandang serius dan mengambil langkah yang sepatutnya, sekurang-kurangnya apabila berlaku tragedi seperti ini, semua pihak sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan dan kehilangan nyawa seperti ini dapat dielakkan.

"Runtuh tetap akan runtuh tetapi sekurang-kurangnya nyawa yang tidak berdosa tidak akan menjadi korban. Saya bukan pakar tanah tetapi saya merupakan pemilik banglo justeru saya ada hak bagi menyuarakan masalah," katanya.

Hassan berkata dalam kejadian mendebarkan kira-kira pukul 4 pagi itu, beliau dan sembilan anggota keluarganya dapat menyelamatkan diri, sehelai sepinggang tanpa sempat mencapai barangan lain.

Beliau berkata ketika dentuman pertama, rumahnya tidak bergoyang dan keadaan di luar nampak tenang setelah dijenguk dari tingkap tetapi apabila dentuman kedua berlaku, beliau mengesyaki sesuatu yang tidak kena sebelum bertindak mengejutkan kesemua anggota keluarga.

"Saya bersama isteri, lima orang anak, dua orang anak buah dan ibu mentua terus berkumpul di luar rumah dan bila di luar, kami nampak banyak rumah telah musnah lalu bertindak melarikan diri dengan berkaki ayam bersama isteri, lima orang anak, dua anak buah dan ibu mentua," katanya.

Beliau yang kini menumpang di rumah saudara maranya berkata banglonya merupakan rumah terakhir masih berdiri tetapi beliau percaya ia tidak lagi selamat kerana kini menunggu masa sahaja akan runtuh.

Sementara itu, salah seorang penduduk yang diminta berpindah keluar, Razali Hussain yang juga merupakan seorang penyanyi dan pelakon berkata beliau yang menetap di tingkat lapan Kondominim Impian Selatan hanya mengetahui tentang kejadian buruk itu setelah mendengarnya melalui siaran berita semalam.

Beliau yang baru sahaja menetap dua bulan secara bersendirian di unit kondo itu berkata ketika kejadian beliau berada di pejabat dan akan menetap di pejabat di Ukay Perdana, buat sementara.

"Saya mungkin akan mencari rumah lain selepas ini dan hari ini saya cuma mengambil apa yang penting seperti pakaian harian," katanya.

Stephanie Fernandez, berumur 40-an pula berkata pada mulanya beliau enggan berpindah keluar namun kerana ketiadaan bekalan air dan elektrik, memaksa beliau sekeluarga berbuat demikian.

"Saya rasa seperti terputus hubungan dengan dunia luar jika saya tidak berpindah memandangkan semua jiran berbuat demikian," katanya yang ditemani dua orang anaknya dan seorang pembantu rumah.

1 comment:

Anonymous said...

sekarang ini banyak pihak yang menuding jari antara satu sama lain untuk mencari siapa yang bertanggujawab atas insiden di Bukit Antarabangsa.

malah Khir Toyo dan Khalid juga bercakaran berhubung siapa yang patut dipersalahkan.

benda dah lepas.kita belajar sajalah dari pengalaman.yang terasa bersalah tu,terima jelah kenyataan dan tanggunglah sendiri apa yang dia dah buat.dalam hal ini kita boleh rumuskan kecuaian manusia dan bencana alam semulajadi yang menjadi faktor dalam insiden Bukit Antarabangsa.