"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Saturday, July 26, 2008

Abdullah Harap Hormati Kedaulatan Malaysia Berhubung Dakwaan Kes Liwat Anwar

PUTRAJAYA, 25 Julai (Bernama) - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau berharap semua pihak akan menghormati kedaulatan Malaysia apabila mengulas dakwaan kes liwat membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana negara mempunyai undang-undang sendiri.

Perdana Menteri berkata Malaysia akan memastikan apa juga yang dilakukannya adalah konsisten dengan undang-undang.

"Kita sebuah negara berdaulat. Kita mempunyai peruntukan undang-undang sendiri. Apa juga yang kita lakukan, kita akan berusaha memastikan ia konsisten dengan undang-undang yang kita ada di Malaysia.

"Itulah yang kita lakukan dan saya harap semua pihak akan hormati kita. Itulah saja yang saya ingin katakan dan tiada yang lain," katanya selepas merasmikan Majlis Anugerah Akademik Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas kenyataan bersama oleh tiga bekas pemimpin antarabangsa yang menggesa Malaysia menggugurkan pertuduhan liwat terhadap Anwar dan kenyataan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Condoleezza Rice yang AS akan terus mengeluarkan kenyataan atau bercakap mengenai kes perundangan termasuk kes melibatkan Anwar.

Tiga bekas pemimpin dunia itu ialah bekas Perdana Menteri Kanada Paul Martin, bekas presiden Bank Dunia James Wolfensohn dan bekas presiden Tabung Kewangan Antarabangsa Michel Camdessus.

Anwar ditahan pada 16 Julai selepas bekas pembantunya yang berumur 23 tahun, Mohd Saiful Bukhari Azlan, mendakwa Anwar meliwatnya. Anwar dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan semalaman.

Ditanya sama ada pihak berkuasa akan menyiarkan rakaman video semasa Anwar ditahan pada 16 Julai bagi menyangkal dakwaan Anwar yang beliau diberi layanan buruk, Abdullah berkata siasatan terhadap tuduhan itu masih berjalan.

"Saya tidak mahu cakap apa yang mereka perlu lakukan atau apa yang mereka perlu siasat. Penyiasatan adalah di bawah tanggungjawab mereka (polis). Mereka patut tahu apa yang perlu dibuat," katanya.

Akhbar Internet "Malaysian Insider" melaporkan Kementerian Dalam Negeri mempertimbangkan untuk menyiarkan rakaman itu bagi menepis tuduhan yang polis melayan Anwar dengan buruk semasa ditahan semalaman dalam lokap.

Berhubung tindakan Singapura menuntut kawasan perairan wilayah dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) di sekitar Batu Puteh, Abdullah berkata Malaysia dan Singapura telah bersetuju jawatankuasa teknikal Malaysia-Singapura akan menyelesaikan apa juga perkara yang berbangkit ekoran keputusan Mahkamah Keadilan Dunia (ICJ) yang memberikan hak kedaulatan Batu Puteh kepada republik itu.

Beliau berkata tidak perlu perkara itu dibangkitkan dan dihujahkan dalam media.

ICJ dalam penghakimannya pada 23 Mei tahun ini, memutuskan Singapura mempunyai hak kedaulatan terhadap Batu Puteh (dikenali di Singapura sebagai Pedra Branca) dan Malaysia bagi Terumbu Karang Tengah manakala Terumbu Karang Selatan, milik negara di mana perairan wilayah itu terletak.

No comments: