"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Friday, July 25, 2008

Tengku Adnan akui masalah tidak serah Borang 9, AGM diteruskan esok

(Mutakhir) PETALING JAYA: Ketua Umno Bahagian Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengaku wujudnya masalah tidak mengemukakan Borang 9 kepada Pendaftar Pertubuhan sejak lima tahun lalu, yang hampir melumpuhkan kesemua 23 cawangannya daripada mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) kali ini.

Bagaimanapun kata beliau, masalah tersebut telah diselesaikan, sekali gus membolehkan AGM kesemua 23 cawangan itu diadakan secara berperingkat mulai esok.

“Masalah itu (Penyata Tahunan) telah diselesaikan minggu lalu. Cawangan-cawangan dalam Putrajaya boleh mula bermesyuarat esok," kata beliau ketika dihubungi mStar Online pagi ini.

Semalam mStar Online difahamkan (sila ikuti BERITA TERDAHULU di bawah) cawangan-cawangan tersebut menghadapi masalah untuk mengadakan AGM berikutan kegagalan mengemukakan Penyata Tahunan kepada Pendaftar Pertubuhan setiap tahun.

Masalah itu berlarutan sejak Bahagian Umno Putrajaya dibentuk lima tahun lalu.

Bahagian Umno Putrajaya merupakan antara entiti terbaru dalam struktur Umno sejak persempadanan semula bahagian pilihan raya diguna pakai sejak 2003.

Tiada penyata, 23 cawangan Umno Putrajaya hadapi masalah adakan AGM

PETALING JAYA: Kesemua 23 cawangan dalam Bahagian Putrajaya, antara bahagian terbaru dalam struktur Umno, dipercayai berhadapan dengan 'masalah' untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan masing-masing ekoran kegagalan mengemukakan penyata tahunan kepada Pendaftar Pertubuhan.

Menurut sumber Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, kesemua cawangan dalam Umno Putrajaya tidak menghantar Borang 9 seperti yang disyaratkan, sejak lima tahun lalu.

“Sememangnya mereka tidak mengemukakan Borang 9 itu sejak awal lagi,” katanya yang enggan dikenali.

Sumber itu enggan mengulas lanjut mengenai tempoh ‘sejak awal lagi’ yang dimaksudkan.

mStar Online difahamkan tempoh itu melibatkan sejak Bahagian Putrajaya mula ditubuhkan.

Difahamkan soal menghantar Borang 9 kepada Pendaftar Pertubuhan biasanya diuruskan oleh sekretariat bahagian.

Di bawah peruntukan Akta Pertubuhan, sesebuah pertubuhan akan berhadapan dengan masalah - tidak sah jika gagal mengemukakan penyata tahunan kepada Pendaftar Pertubuhan.

Borang 9 adalah maklumat yang perlu diberi setiap tahun oleh pertubuhan dan cawangan-cawangan pertubuhan berdaftar mengikut Seksyen 14(1) Akta Pertubuhan 1966.

Antara maklumat yang perlu dinyatakan dalam borang berkenaan ialah minit mesyuarat agung tahunan, salinan penyata penerimaan dan pembayaran serta kunci kira-kira untuk tahun kewangan, penjelasan mengenai harta tak alih yang dimiliki pertubuhan dan penjelasan mengenai sebarang wang, harta, faedah atau keuntungan yang diterima oleh pertubuhan.

Jabatan Pendaftar Pertubuhan akan menghantar notis 30 hari mengikut Seksyen 14(2) bagi meminta sesuatu pertubuhan itu mengemukakan Borang 9 jika mereka gagal berbuat demikian dalam tempoh setahun.

Jika masih gagal mengemukakan borang tersebut dalam tempoh itu, maka notis pembatalan atau bubar sementara berdasarkan Seksyen 14(5) akan dikemukakan kepada pertubuhan berkenaan.

Bagaimanapun Setiausaha Umno Bahagaian Putrajaya, Syokri Shafee ketika dihubungi berkata, kesemua 23 cawangan itu akan mengadakan mesyuarat agung tahunan seperti dijadualkan mulai Sabtu ini.

“Tiada apa-apa masalah mengenai itu (Penyata Tahunan). Cawangan-cawangan dalam Putrajaya akan mula bermesyuarat pada 26 Julai ini dan dijangka selesai sepenuhnya 9 Ogos depan,” katanya.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merupakan ketua bahagian tersebut.

mStar Online cuba mendapatkan penjelasan terperinci daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, namun mereka enggan memberi sebarang penjelasan rasmi.

-mSTAR Online

No comments: