"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Wednesday, September 17, 2008

Setahun Selepas Pemergian Nurin Jazlin

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Luka di hati keluarga Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin masih belum sembuh sungguhpun telah genap setahun kanak-kanak malang yang berumur sembilan tahun itu dibunuh secara kejam oleh manusia yang tidak berhati perut.

Bagi Jazimin Abdul Jalil, 34, dan isterinya Norazian Bistaman, 36, luka di hati mereka masih berdarah dan kenangan terhadap anak kedua mereka itu terus segar terutama dalam menjalani ibadah puasa dan menjelang sambutan Hari Raya Aidil Fitri.

Ini merupakan kali kedua mereka menyambut Hari Raya tanpa kehadiran seorang insan dalam keluarga yang bergelar "Kak Ngah" di kalangan empat adik beradik itu.

Sungguhpun pahit untuk ditelan, namun bagi Jazimin, isteri serta tiga lagi anak mereka, terpaksa merelakan pemergian Nurin dan redha dengan ketentuan Illahi.

Syawal yang bakal menjelang tidak lama lagi, seakan-akan mengingatkan kembali gelagat Nurin semasa berpuasa dan ketika membuat persiapan menyambut hari raya, kata Jazimin ketika ditemui Bernama di rumahnya di PPR Ayer Panas, Setapak di sini hari ini.

"Kalau diikutkan hati memang kami tak sanggup untuk beraya dengan ketiadaan Nurin tetapi kami ada anak-anak lain yang masih memerlukan perhatian...takkan kami nak terus mengikut perasaan hingga mengabaikan mereka," katanya sambil merujuk kepada tiga anak mereka iaitu Nurin Jazira,10, Nurin Jazlina, 7, dan Nurin Jazlisa, 2.

Isterinya pula berkata hanya baju raya tahun lepas kepunyaan puteri keduanya itu masih disimpan dan menjadi pengubat kerinduan mereka sekeluarga.

"Sebelum arwah hilang, kami ada buatkan dua pasang baju kurung untuk dia. Salah satu adalah kain pilihannya sendiri. Beria-ia sangat dia nak pakai..Tapi tak sangka pula dia tak sempat bergaya dengan baju kurungnya itu.

"Biarlah baju ini disimpan. Tak nak beri pada kak long (anaknya yang sulung) walaupun dia boleh pakai. Biarlah mereka pakai baju mereka sendiri," katanya.

Mengimbau kenangan berbuka puasa semasa arwah masih ada, Norazian berkata Nurin gemar berbuka puasa dengan roti john dan kebab manakala di pagi raya juadah yang menjadi pilihannya adalah lemang dan rendang.

"Saya masih ingat tahun lepas ketika bangun sahur, Kak Ngah (Nurin) adalah orang yang paling senang dikejutkan berbanding adik-beradiknya yang lain, kerana Kak Ngah suka puasa walaupun dia sakit," katanya dengan sebak sambil mengusap baju kurung kuning dan merah jambu milik arwah anaknya itu.

Norazian berkata pertanyaan anak sulungnya terhadap ketiadaan adiknya kerap kali membuatkan beliau berasa sebak.

"Kak long selalu cakap, 'kalau buka puasa kak ngah ada tentu seronok'. Tapi akak buat-buat tak dengar saja, tak nak layan sangat perasaan ini," katanya.

Mengenai persiapan menyambut Hari Raya, Jazimin berkata persiapan adalah sederhana dan seperti tahun lepas mereka sekeluarga akan terlebih dahulu menziarahi pusara arwah sebelum pulang ke kampung Norazian di Selama, Perak.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai saman yang difailkannya terhadap Ketua Polis Negara dan kerajaan Malasyia berhubung penyiaran gambar bedah siasat anaknya itu melalui internet dan pernyataan fitnah kononnya dia kehilangan Nurin kerana terlibat dengan "Ah Long", Jazimin berkata beliau masih menunggu perkembangan saman tersebut.

Katanya, bukan soal menang atau kalah di mahkamah tetapi yang penting adalah untuk membersihkan namanya yang sudah tercalar akibat tuduhan tidak berasas pihak-pihak tertentu

"Saya mohon orang luar agar tidak membuat sebarang spekulasi sekiranya ada kes kehilangan kanak-kanak seperti Nurin dan jangan salahkan ibu bapa seratus peratus sebab kita tak tahu apa sebenarnya yang berlaku," katanya.

Pada 20 Ogos tahun lepas, Nurin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak dilaporkan hilang setelah keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1 Wangsa Maju.

Mayatnya ditemui pada 17 Sept tahun yang sama iaitu 27 hari kemudian dalam sebuah beg yang diletakkan di hadapan premis perniagaan di Petaling Jaya dan hasil bedah siasat mendapati Nurin mati akibat didera secara seksual.

No comments: