"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Thursday, October 09, 2008

MB Pahang ke mahkamah 14 Oktober ini

KUANTAN: Kes saman sebuah syarikat pembalakan berjumlah RM60 juta terhadap Kerajaan Negeri Pahang memasuki episod baru apabila Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob atau wakilnya dikehendaki hadir di Mahkamah Tinggi Kuantan pada 14 Oktober ini.

Menurut Pengarah syarikat Seruan Gemilang Makmur (SGM) Syed Ali Badaruddin Syed Osman, prosedur tersebut merupakan notis penguatkuasaan yang diperolehi syarikatnya daripada Mahkamah Tinggi Kuantan minggu lalu setelah kerajaan negeri gagal membayar RM60 juta sebagaimana yang diperintahkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Tindakan tersebut juga dipercayai diambil ekoran sikap kerajaan negeri yang enggan mempedulikan keputusan mahkamah yang mengarahkan pembayaran saman tersebut sebelum ini atau mengadakan sebarang perbincangan dengan syarikat terbabit.

Menurut Syed Ali, melalui notis penguatkuasaan tersebut, Menteri Besar atau wakilnya iaitu Penasihat Undang-Undang Negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri perlu hadir di Mahkamah Tinggi Kuantan pada tarikh tersebut.

“Oleh kerana tidak ada sebarang tindakan atau usaha daripada kerajaan negeri untuk berunding dengan kami berhubung pembayaran RM60 juta seperti yang diputuskan mahkamah, kami tidak ada pilihan melainkan mengemukakan penguatkuasaan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan”, katanya dalam satu majlis di sini.

Menurutnya lagi, dalam prosedur penguatkuasaan di mahkamah nanti, pihaknya akan menuntut supaya pembayaran RM60 juta itu disegerakan dan meminta mahkamah menetapkan satu tarikh khusus kepada kerajaan negeri untuk membuat pembayaran atau mengeluarkan waran tangkap kepada Menteri Besar sekiranya kerajaan negeri masih berdegil.

Pada 17 September lalu Mahkamah Persekutuan di Putrajaya telah memerintahkan Kerajaan Negeri Pahang untuk membayar RM60 juta kepada syarikat berkenaan. Keputusan itu dibuat oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum yang bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman dan Datuk Abdul Aziz Mohamed.

Ketiga-tiga hakim tersebut secara sebulat suara telah menolak permohonan kebenaran kerajaan negeri dan Pengarah Perhutanan Negeri Pahang yang dalam usaha terakhirnya memfailkan notis rayuan di mahkamah berkenaan bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu setelah disaman oleh SGM sebelum itu.

Notis rayuan tersebut adalah berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 yang memerintahkan mereka membayar RM37,127,471.60 kepada SGM dengan faedah pada kadar 8 peratus setahun mulai 31 Dis 2000 (jumlah keseluruhan RM60 juta) sehingga selesai pembayaran.

Mahkamah Tinggi memerintahkan mereka membayar jumlah itu kepada syarikat berkenaan setelah berpuas hati bahawa Pengarah Perhutanan Negeri telah bertindak secara cuai apabila enggan mengguna pakai pelan terkini yang dikemukakan oleh Seruan Gemilang yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) pada 5 April 2000, sebaliknya mengarahkan pelan asal yang diluluskan oleh exco pada 7 Januari 1998 diguna pakai.

Syed Aki bagaimana pun berkata, beliau bersikap terbuka untuk berunding dengan kerajaan negeri atau wakilnya.

“Saya tidak minta RM60 juta itu dibayar sekali gus. Mereka masih boleh membayarnya secara beransur-ansur atas persetujuan saya atau sekiranya kerajaan negeri tidak mampu, mereka boleh menukarkannya dengan tanah yang masih luas di negeri ini”, katanya.

Syed Ali berkata, malangnya kerajaan negeri terus membisu dalam kes ini sedangkan ia telah berlarutan selama hampir 8 tahun dalam mahkamah dan kadar faedah hutang tersebut akan terus meningkat sehingga merugikan wang rakyat negeri ini.

SGM ialah syarikat kontraktor pembalakan yang telah menerima hak eksklusif mengeluarkan saki baki kayu balak di tanah milik Umno iaitu P.T. Lot 6959 Mukim Bebar, Pekan seluas 10,000 ekar pada tahun 2000 lalu.

Bagaimanapun, sebelum kerja-kerja pembalakan selesai Jabatan Perhutanan Pahang enggan melesenkan kepada SGM pada sebahagian tanah yang ditender sehingga menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kerugian.

“Tindakan itu telah menyebabkan syarikat kami tidak dapat meneruskan kerja-kerja pembalakan yang telah ditender dan akibatnya telah mengalami kerugian besar”, katanya.

Ekoran itu SGM telah mengambil tindakan mahkamah melalui peguam Tetuan Peter, Lai & Rajoo sebagai jalan terakhir setelah kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri enggan melayan tuntutan SGM untuk mendapatkan lesen bagi meneruskan kerja-kerja pembalakan.

Justeru itu Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 telah mengeluarkan suatu perintah kepada defendan (kerajaan negeri) supaya membayar ganti rugi berjumlah RM37,127,471.60 kepada SGM berserta kadar faedah 8 peratus setahun mulai Disember 2000 kepada SGM.

Defendan diberi tempoh tiga bulan untuk membuat pembayaran (kesemuanya berjumlah sekitar RM60 juta) kepada SGM namun tetap gagal.

Dalam pada itu pihak kerajaan negeri ada memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan. Bagaimana pun penghakiman Mahkamah Rayuan bertarikh pada 13 Februari 2008 kedua-dua defendan (Kerajaan Pahang dan Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang) gagal dalam rayuannya untuk mengenepikan perintah Mahkamah Tinggi Kuantan.

Pada 7 Mac 2008 pula, Mahkamah Tinggi Kuantan telah memperakukan sijil perintah dan amaun penghakiman terhadap kedua-dua defendan daripada Mahkamah Tinggi Kuantan (keputusan penghakiman 25 Mei 2007).

Tarikh 7 April 2008 sepatutnya adalah hari wajib bayar iaitu tarikh akhir bagi pihak defendan kepada SGM. Namun pihak defendan telah gagal membuat apa-apa bayaran ataupun menghubungi SGM. Maka secara automatik kedua-dua pihak dianggap melanggar dan menghina keputusan mahkamah.

“Kami berharap selepas ini kerajaan negeri tidak lagi memperlekehkan prosedur undang-undang. Sebab sepatutnya saman itu sudah dijelaskan sepenuhnya pada 7 April lalu apabila kerajaan negeri tewas dalam kes saman yang dikemukakan syarikat kami”.

"SGM kecewa kerana perintah Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 supaya amaun saman itu dibayar kepada syarikat kami tidak dipatuhi oleh kerajaan negeri. Keengganan membuat bayaran ketika itu sudah boleh disifatkan sebagai menghina keputusan mahkamah," katanya.

-SIDANG ONLINE

No comments: