"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Wednesday, October 15, 2008

Najib: K'jaan Mesti Bersedia Untuk Sebarang Kemungkinan Dalam Berhadapan Kemelut Global

KOTA KINABALU, 15 Okt (Bernama) -- Kerajaan mesti bersedia untuk sebarang kemungkinan yang akan berlaku dalam berhadapan dengan kemelut kewangan global pada masa ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Beliau berkata walaupun kemelut itu dijangka memberikan impak kepada ekonomi Malaysia, terutamanya tahun depan, ia tidaklah seteruk negara-negara lain kerana Malaysia telah membuat perubahan struktural kepada ekonominya sejak krisis kewangan Asia 10 tahun lepas.

"Kita sedang memantau keadaan itu secara dekat agar kita dapat bertindak menurut apa yang diperlukan," kata beliau dalam ucapannya pada majlis pembukaan Ekspo Antarabangsa Sabah (SIE) 2008 di 1Borneo Hypermall di sini.

Najib berkata apa yang berlaku baru-baru ini dalam dunia kewangan telah sekali lagi membuktikan yang "kita tinggal dalam dunia yang benar-benar dihubungkan dan globalisasi, sama ada kita suka atau tidak".

"Lehman Brothers, Goldman Sachs, Merrill Lynch dan AIG dan banyak lagi mungkin agak jauh dari kita tetapi hakikatnya apabila mereka bermasalah, kebanyakan bahagian dunia juga akan bermasalah," kata beliau.

Najib berkata, oleh yang demikian, Malaysia perlu dipantau, memberi respons dan mengguna pakai strategi-strategi perniagaan baru kerana persekitaran perniagaan global sentiasa berubah-ubah.

"Negara-negara yang suatu masa dulu bukan dalam saingan kita telah menjadi pesaing serius untuk mendapatkan pelaburan asing langsung (FDI), seperti Vietnam, China dan India," kata beliau.

Najib berkata upah dan kos kemasukan yang rendah telah membantu menjadikan Malaysia destinasi menarik bagi sektor pembuatan berorientasikan eksport untuk sekian lama.

Beliau berkata sejak 30 tahun lepas, Malaysia telah menapak naik ke tangga teratas negara-negara membangun.

"Rakyat kita kini menikmati standard kehidupan yang tinggi. Mereka mahukan upah yang tinggi dan mereka tidak mahukan pelaburan yang akan memusnahkan persekitaran," tambah beliau.

Najib juga berkata sejak beberapa tahun lepas, para pelabur Malaysia telah ke luar negara untuk melabur di beberapa destinasi yang dikatakan berkos rendah.

Menurut Persidangan Mengenai Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCTAD), syarikat-syarikat utama Malaysia telah menyertai liga besar syarikat-syarikat antarabangsa yang melabur di seberang laut, kata beliau.

Syarikat-syarikat ini, kata beliau, telah menyumbang kepada lonjakan 81.9 peratus dalam FDI kepada RM38 bilion tahun lepas berbanding RM21 bilion pada 2006.

Najib berkata liberalisasi sektor perkhidmatan mewakili sebahagian daripada maklum balas kerajaan kepada keadaan yang berlaku di dalam negara.

Sektor perkhidmatan ialah penyumbang utama kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan kerajaan berharap menerusi liberalisasi, Malaysia boleh menarik lebih banyak pelaburan dan mewujudkan pekerjaan serta mengukuhkan daya saing syarikat-syarikat tempatan, kata beliau.

Mengenai pembangunan Sabah, Najib berkata kerajaan persekutuan sedar yang Sabah ialah negeri yang mempunyai corak ekonomi dan budaya yang berbeza daripada yang di Semenanjung Malaysia.

Sehubungan itu, Sabah mempunyai keperluan khusus yang memberi perhatian dengan peruntukan pembangunan yang besar untuk negeri itu di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan, kata beliau.

Pembiayaan akan membantu membasmi kemiskinan dan mengecilkan ketidakseimbangan serantau di Sabah, tambah beliau.

No comments: