"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Sunday, November 23, 2008

Fatwa: Pengendali senaman yoga kecewa, tapi akur

PETALING JAYA: Persatuan Yoga Malaysia melihat fatwa yang melarang umat Islam daripada menyertai senaman yoga sebagai perkembangan mengecewakan, tetapi pihaknya akur dengan ketetapan itu.

Pengerusinya, M. Maniseekaran berkata, keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan akan merugikan peserta-peserta yang berminat mengikuti senaman yoga.

“Keputusan ini akan merugikan mereka yang betul-betul mendapat manfaat daripada amalan ini,” katanya kepada mStar Online semalam.

Tambah beliau, berdasarkan kajian yang dijalankan amalan yoga sudah terbukti berkesan untuk menyembuhkan beberapa penyakit.

Biarpun kecewa dengan keputusan yang diumumkan itu, beliau berkata, pihaknya akan akur dengan keputusan yang telah diputuskan itu.

“Seperti yang dikehendaki oleh Majlis Fatwa, kami akan menasihati peserta-peserta yoga yang beragama Islam supaya berhenti daripada mengikuti kelas yang dijalankan,” katanya.

Jelas beliau, pihaknya sedia memberi penerangan yang jelas kepada pihak berkenaan mengenai amalan yoga dijalankan di negara ini.

Beliau yang telah 25 tahun menjadi pengamal yoga di Malaysia berkata, amalan yoga yang diamalkan di negara ini bersifat moden dan tidak disertai dengan sebarang proses bacaan mentera dan unsur pemujaan.

“Kami kecewa dengannya (keputusan haramkan yoga). Yoga yang diamalkan di sini, tidak langsung mengandungi amalan bersifat keagamaan dan spiritual,” katanya.

Menurut beliau, ‘hatha yoga’ merupakan satu jenis yoga popular yang diamalkan di negara ini di mana ia hanya melibatkan pergerakan seperti aktiviti pemanasan badan, keseimbangan dan proses bernafas dengan betul.

Jelasnya, pergerakan seperti itu turut diamalkan dalam aktiviti seni mempertahankan diri seperti silat dan taekwando.

Semalam, Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa meminta umat Islam negara ini tidak mengamalkan senaman yoga yang didapati mengandungi unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan.

Pengerusi majlis itu, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin berkata, Majlis Muzakarah Kebangsaan juga bersetuju dan memutuskan bahawa apa jua bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang kerana bertentangan dengan Islam.

“Tiga perkara yang boleh menghakis akidah umat Islam adalah kepercayaan di hati, menerusi perkataan dan perbuatan.

“Memandangkan terdapat elemen tersebut dalam amalan yoga, maka umat Islam wajib memelihara akidah mereka daripada terhakis. Saya nasihatkan mereka tinggalkannya (yoga) dan pilih senaman lain seperti berbasikal,solat, zikir dan sebagainya,” kata beliau.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman menyeru pengguna Islam di negara ini agar menerima dengan terbuka keputusan yang diumumkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

“Saya sarankan mereka terima dengan terbuka keputusan Majlis Fatwa. Mereka lebih bijak dan pakar dalam menentukan hukum sesuatu perkara itu,” katanya.

Jelas beliau, peserta beragama Islam perlu yakin kepada ajaran Islam sepenuhnya.

“Kita wajib berpegang kepada al-Quran dan As-Sunnah serta hukum qiyas yang diguna pakai oleh Majlis Fatwa dalam mengeluarkan fatwa,” Katanya.

Jelas beliau, yoga merupakan satu amalan yang sinonim dengan agama Hindu.

“Aspek pergerakan dan bacaan mentera yang diguna pakai dalam amalan yoga boleh menghakis akidah umat Islam... jadi jalan terbaik untuknya adalah menjauhi amalan tersebut,” katanya.

-mSTAR Online

3 comments:

Anonymous said...

Topeng perak,

Agama Islam pun ada yoga sendiri,tapi teknik penghayatan itu tidak disebarkan kepihak umum kerana ditakuti orang yang mengamalnya lupa diri.

Maksud lupa diri tu bukan gila tapi orang itu merasakan suatu kuasa telah meresap dalam dirinya seolah-olah dia menjadi hebat sama seperti tuhan.

Yoga yang berteraskan islam mempunyai berbagai agendanya tersendiri. Ada yang melakukannya untuk kesihatan, ada juga untuk jadi kuat sebagai pendikar (bukan pendikar amin, jadi bomoh atau pun jadi penyamun.

Yoga yang dibawa oleh M. Maniseekaran tu memang tidak ada amalan keagamaan secara jelas namun setiap perbuatan yang digerakkan itu mesti disebut dan dilakukan dengan penuh keyakinan yang dituju kedalam batin, kerana senaman yoga itu berkaitan dengan batin.

Apa yang menjadi masaalah di Malaysia hari ini adalah kerana pengetahuan umat Islam tidak kukuh, mereka disogok dengan lebih banyak, teori(bercerita dan angan-angan kosong) dari praktikal.

Cuba kita lihat apa yang dilakukan jabatan agama islam dalam malaysia ini tentang islam..? 90% ceramah saja. Mereka menceritakan ayat quran, firman allah, hadis nabi, para sahabat, dosa pahala, syurga dan neraka...habis. Besok mereka bercerita tentang hub halal pulak..? Lepas tu mereka pergi mengendap orang bercumbu.. Aku bukan menghina tapi ini pekara sebenar yang ada didepan mata.

kau pikir lah sendiri...?

Anonymous said...

salam

hmmm...cuma ada persoalan la..ada tak tokoh aliran falsafah islam yang terlibat dalam majlis fatwa?ahli falsafah yang boleh beri pandangan mengenai konsep penyatuan dengan yang Esa yang majlis fatwa haram?

At least, kalau ada trankrip penuh ok la juga.puas hati sikit baca..bukan apa..aku ada baca perdebatan Sunan kalijaga (wali songo) dan Syeikh Siti jenar mengenai konsep meditasi,wahdatul wujud...begitu juga pandangan dari mulla sadra, Ibnu arabi, Ibnu Sina,Hamzah fansuri, Al-hallaj Syed naquib al-Attas, Ki Aging Pengging yang mengutarakan pandangan yang sama...aku tak taula kalau ada tokoh2 dalam majlis fatwa yang ada aliran falsafah seperti mereka terlibat..


kalau2lah Majlis fatwa boleh jelaskan...

pemerhati

Anonymous said...

contoh perangai halal wa haram yang terbaru...just bagi macamtu tanpa menyediakan alternatif..kenapa yang dikatakan ada unsur mantera itu tidak kita ubah kepada zikir kepada Allah yang menenangkan?

sebagai contoh perkataan yang disebut dalam old testament :
"ElLah, Ellah, Ma Sabaktani"

kalau aku sebut perkatan tu..dan dijadikan unsur doa selepas sembahyang fardu..adakah aku turut dikira murtad kalau makna perkataan tu "Allah, Allah, Tolonglah Aku"...

Patutnya tengok contoh Dakwah yang dipelopor Wali Songo..macamana mereka transform masyarakat yang berbudayakan dan mengamalkan Buddha dan Hindu kepada Islam dengan mengambil elemen2 konsep penyembahan tuhan yang esa dalam ajaran buddha dan hindu (Bagavadghita)untuk memikat masyarakat kepada islam.

sekadar pandangan dan pertanyaan