"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Sunday, November 30, 2008

Kemungkinan Kesan Krisis Ekonomi Antara Punca Jenayah Meningkat Sedang Dikaji

Mungkinkah kesan krisis ekonomi global menjadi antara penyebab meningkatnya indeks jenayah di Malaysia tahun ini?

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Mohd Bakri Zinin tidak menolak kemungkinan itu walaupun beliau menegaskan bahawa ia bukanlah faktor utama.

"Saya tidak nafikan salah satu perilaku jenayah disumbangkan daripada tekanan ekonomi seperti kesempitan wang dan keperluan untuk meneruskan hidup, namun jenayah hanya akan berlaku apabila ada ruang dan peluang daripada kelalaian dan kecuaian individu itu sendiri," katanya.

Beliau juga tidak menafikan pergolakan serta kejatuhan ekonomi yang sedang dihadapi dunia hari ini menjadi punca jenayah semakin ganas dan canggih hingga menyebabkan perlakuan yang tidak boleh diterima akal, namun, tegasnya, ia bukanlah faktor utama peningkatan tersebut.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau perkembangan senario global yang berlaku terutama kesannya kepada perlakuan jenayah dan satu kajian menyeluruh sedang dilakukan, yang hanya akan diketahui keputusannya pada awal tahun hadapan," kata Mohd Bakri kepada Bernama dalam satu temu bual di sini.

Bagaimanapun, katanya, peningkatan indeks jenayah sebanyak 1.75 peratus sehingga Oktober tahun ini masih rendah berbanding negara jiran dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang masih selamat untuk didiami.

Mohd Bakri berkata sehingga Oktober tahun ini, sebanyak 177,141 kes jenayah dilaporkan berbanding 171,454 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas menjadikan peningkatan sebanyak 5,687 kes.

Kes samun berkawan bersenjata api mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 14,143 kes daripada 3,691 kes tahun lepas kepada 17,834 kes tahun ini.

Turut meningkat ialah kes curi kenderaan, yang meningkat sebanyak 2,534 kes daripada 10,290 kes tahun lepas dan pecah rumah malam hari yang meningkat sebanyak 2,732 kes daripada 19,299 pada 2007.

Kes bunuh turut menunjukkan peningkatan kepada 538 kes daripada 489 kes serta kes rogol yang meningkat kepada 2,943 kes daripada 2,710 kes tahun sebelumnya.

"Walaupun berlaku peningkatan namun belum sampai ke tahap membimbangkan, malah, jika dibandingkan dengan negara jiran, indeks jenayah kita masih rendah iaitu 772 kes daripada 100,000 penduduk," katanya.

Negara lain seperti Hong Kong mencatatkan 1,166 kes, Jepun 1,569 kes dan Australia 4,470 kes.

Mengulas lanjut peningkatan indeks jenayah itu, Mohd Bakri berkata polis bukannya "kilang" untuk menjadikan masyarakat penjenayah, sebaliknya masyarakat itu sendiri yang menjadikan keadaan sebegitu terutama daripada segi karektor jenayah yang wujud.

Selain faktor keluarga, persekitaran, kedatangan pendatang asing turut mempengaruhi karektor jenayah di negara ini sehingga menjadikannya satu trend.

"Orang luar yang datang akan bawa bersama karektor-karektor jenayah ganas yang mereka peroleh di negara asal dan mereka praktikkan di negara ini di mana pelbagai cara dilakukan bagi menghapuskan bukti termasuk mencincang mangsa, memotong serta perlakuan-perlakuan ganas lain," katanya.

Beliau berkata persepsi masyarakat yang mengambil mudah bahawa jenayah tidak akan berlaku ke atas mereka perlu diubah bagi memastikan langkah-langkah pencegahan diambil, tambahan dalam keadaan keanggotaan polis terhad yang tidak dapat menghadirkan polis di setiap masa dan lokasi.

"Ia menjadi satu cabaran dan pengalaman pada polis dalam mengekalkan kualiti siasatan terbaik terutama agar setiap kes yang disiasat boleh dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Mohd Bakri berkata daripada jumlah kes yang dilaporkan tahun ini sebanyak 75,392 kes atau 42.56 peratus berjaya diselesaikan.

"Jumlah tersebut melepasi sasaran Interpol iaitu 25 peratus penyelesaian kes," katanya.

Ditanya tentang kes yang digugurkan berikutan kelemahan siasatan, Mohd Bakri mengakui kadangkala terdapat kelemahan di kalangan pengawai penyiasat terutama daripada segi pengalaman bagi mengendalikan sesuatu kes.

Namun, katanya, kadangkala sikap masyarakat yang enggan bekerjasama memberi maklumat juga menjadikan siasatan tidak lengkap.

"Kita memerlukan kerjasama orang ramai kerana kita memerlukan bukti yang kukuh yang mencapai standard yang diperlukan oleh Jabatan Peguam Negara untuk dibuktikan di mahkamah," katanya.

Mohd Bakri berkata selain membanteras jenayah, tugas polis kini turut ditumpukan untuk menjaga ketenteraman awam berikutan banyaknya pihak yang membuat perhimpunan dan demonstrasi kebelakangan ini.

"Ini menyebabkan banyak masa diambil dan terbuang untuk melayan perkara-perkara tersebut sedangkan tugas hakiki polis ialah mencegah jenayah," katanya.

Beliau berkata sebab itulah polis sentiasa melaksanakan undang-undang pencegahan bagi menghalang sebarang tindakan berbentuk perkauman, politik dan pihak-pihak tertentu yang mempersoalkan undang-undang sedia ada.

Sikap segelintir masyarakat yang mengapi-apikan sesuatu isu sensitif boleh menjurus pada jenayah berat yang akan menjejaskan keselamatan negara.

"Kita jangan sekali-kali mempersoalkan dan memperlekehkan isu agama, kepercayaan dan perkauman kerana kita tidak mahu akan berlaku sesuatu yang boleh memporak-perandakan keadaan seperti yang pernah berlaku di masa lampau," katanya.

No comments: