"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Thursday, December 11, 2008

Kementerian Perinci Fakta Dan Maklumat Sejarah

Kementerian Pelajaran sedang memperincikan fakta dan maklumat yang akan dimasukkan ke dalam mata pelajaran Sejarah bagi menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata langkah itu merupakan antara usaha kementerian untuk merombak kurikulum pendidikan di peringkat sekolah rendah dengan memasukkan mata pelajaran Sejarah sebagai mata pelajaran khusus menjelang 2010.

"Apa yang penting adalah melihat nilai-nilai mulia seperti semangat patriotisme, cintakan tanah air, menghayati pengorbanan pejuang-pejuang tanah air sebelum kita, menghayati bahawa negara kita berada dalam keadaan sebegini rupa bukan datang bergolek tapi ia datang setelah begitu ramai pejuang bangsa kita menyumbangkan darah dan keringat.

"Kita tidak boleh berpuas hati dengan kedudukan kita hari ini lebih-lebih lagi keadaan dunia yang semakin sempit dan mengecil. Usaha-usaha seperti ini perlu diteruskan dan diperhebatkan lagi termasuk cara bagaimana kita menekankan asal usul kita, sejarah kita kepada anak-anak kita sejak di bangku sekolah lagi," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Buku Dokumen dan Perjanjian Lama Malaysia anjuran Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) di Lobi Parlimen di sini, Khamis.

Beliau berkata fakta sejarah adalah fakta yang benar dan tidak ada mana-mana pihak yang boleh mengubah sejarah berkenaan termasuk perjanjian yang telah dibukukan, tidak boleh dipolemikkan dan dipolitikkan.

Terdahulu dalam ucapannya, Hishammuddin berkata Buku Dokumen dan Perjanjian Lama Malaysia ini boleh dijadikan rujukan umum kepada pelajar dan juga anggota Parlimen untuk mendalami proses dan peristiwa yang membentuk sejarah negara Malaysia.

Katanya buku ini juga dapat membentuk penghayatan terhadap nikmat kemerdekaan yang diperolehi menjadi lebih bermakna dengan rasa kesyukuran yang dizahirkan dengan kecintaan, kesetiaan dan semangat patriotisme yang tinggi untuk mempertahankan kedaulatan negara.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika berucap pada majlis pelancaran itu mengingatkan masyarakat agar tidak melupakan sejarah walaupun negara kini menuju ke arah kemajuan.

"Apabila kita menganalisis untuk mengetahui masa depan kita, kita perlu juga untuk jenguk sejarah. "To learn the future, look at the past" (untuk belajar tentang masa depan, lihat kepada masa lepas)..saya yakin dengan pepatah Inggeris ini," katanya.

Beliau turut menasihatkan supaya orang ramai mengambil iktibar daripada perjuangan pemimpin-pemimpin terdahulu yang berjuang bermati-matian melawan Malayan Union demi mendapatkan kemerdekaan buat negara.

No comments: