"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Tuesday, December 09, 2008

Struktur tanah di kawasan Bukit Antarabangsa perlu diuji: Pakar

Kawasan sekitar Bukit Antarabangsa dekat sini yang mengalami kejadian tanah runtuh Sabtu lalu, dikenal pasti mempunyai lebih 70 cerun yang perlu dikaji ketahanannya bagi memastikan keselamatan kira-kira 5,000 penduduk di situ.

Kajian itu penting kerana kawasan bukit berkenaan dan sekitarnya terbentuk daripada gabungan struktur berpasir dan keladak yang tinggi, manakala kandungan tanah liatnya pula rendah, sekali gus mudah runtuh jika dilanda hujan berpanjangan.

Pakar kaji bumi berpendapat, kestabilan struktur setiap cerun di kawasan itu perlu dipastikan bagi membolehkan risiko keruntuhan tanah dan langkah pencegahan yang berkesan dapat diambil untuk menjamin keselamatan penempatan terbabit.

Pengarah Pusat Penyelidikan Hakisan Tanah Negara (Nasec) di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Dr Roslan Zainal Abidin, berkata tanah runtuh Sabtu lalu berlaku kerana hujan berlarutan lima hari dengan jumlah taburan lebih 70 milimeter (mm).

"Jika kita imbas kembali tragedi Highland Towers yang runtuh di kawasan berkenaan pada Disember 1993, jumlah hujan yang mengakibatkan pergerakan tanah sehingga meruntuhkan bangunan itu hanya 30 mm.

"Hakikatnya, kajian kebolehruntuhan tanah di kawasan sekitar Bukit Antarabangsa, termasuk Highland Towers dan Taman Hillview sudah membuktikan struktur tanah di ketiga-tiga kawasan terbabit berisiko tinggi.

"Bagaimanapun, penduduk masih boleh terus menetap di situ, asalkan kerajaan dan pemaju menstruktur semula seluruh kawasan terbabit dengan membahagikannya kepada beberapa zon mengikut tahap risiko.

"Penanaman pokok dan pembinaan tembok penahan saja sebenarnya tidak cukup untuk mencegah runtuhan tanah jika sistem saliran air bawah tanah di situ tidak diperbaiki secara sistematik," katanya ketika dihubungi, semalam.

Pandangan Roslan dipersetujui Pengarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan Universiti Kebangsaan Malaysia (Lestari), Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo, yang mencadangkan setiap daripada 70 cerun yang dikenal pasti itu dikaji secara berasingan.

"Pengurusan dan inventori cerun di kawasan Bukit Antarabangsa boleh membantu pihak berkuasa mengenal pasti kawasan yang terdedah kepada kejadian tanah runtuh untuk memberikan amaran awal kepada orang ramai," katanya.

1 comment:

Anonymous said...

aku sangat-sangat bersetuju dengan artikel kat atas ini.kalau disahkan selamat barulah boleh untuk didiami.pengstrukturan dan kajian semula perlu dijalankan bagi menentukan tahap keselamatan di sekitar Bukit Antarabangsa.

disarankan juga agar kawasan lain yang terdedah kepada bahaya tanah runtuh juga turut dikaji semula.