"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Wednesday, July 16, 2008

Anwar bermalam dalam tahanan polis

Jimadie Shah Othman & Abdul Rahim Sabri | Jul 16, 08 8:38pm
kemaskini 12:29am
Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bermalam dalam tahanan polis selepas beliau ditangkap tengah hari tadi, demikian dimaklumkan oleh ketua penerangan PKR Tian Chua.

Isterinya dan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Kuala Lumpur kira-kira jam 11.25 malam.

Naib presiden PKR Mohamad Azmin Ali, bersama seorang lagi naib presiden Sivarasa Rasiah dan ahli parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff juga masuk ke bangunan IPK - tidak lama selepas Anwar dibawa pulang dari hospital Kuala Lumpur pada 10.35 malam.

Sebelum itu, 10 kenderaan polis mengiringi Anwar ke hospital dari ibu pejabat polis itu pada jam 8.35 malam dan sampai kira-kira 10 minit kemudian.

Anwar dimasukkan ke wad diraja dengan kawalan kira-kira 40 anggota polis untuk rawatan biasa.

Mohamad Azmin dan Yusmadi kelihatan masuk ke wad itu jam 10 malam.

Sebelum itu, Mohamad Azmin bersama ketua perhubungan PKR Pulau Pinang, Datuk Zaharin Mohd Hashim bertemu perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di bangunan Parlimen.

Pertemuan bermula jam 9 malam, yang melibatkan menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berlangsung kira-kira 45 minit.

Mohamad Azmin berkata Abdullah memberi jaminan "tiada kejadian mata lebam" seperti 1998.

Anwar kelihatan keluar jam 10.20 malam dengan konvoi lima kenderaan polis menuju IPK.

Kira-kira 50 penyokongnya yang berkumpul di hospital melaungkan slogan "reformasi" dan "hidup Anwar" dengan disambut lambaian tangan Anwar.

Lebih 30 wartawan dan jurugambar berada di luar wad itu yang dipisahkan oleh garisan polis.

Beliau tiba di IPK kira-kira 10.35 malam dan sempat melambai kepada kumpulan penyokongnya di pinggir Jalan Hang Tuah yang menunggu sejak siang.

Anwar sebelum ini memberi keterangan kepada polis enam jam mulai 2.30 petang selepas dibawa ke IPK jam 1.11 petang tadi.

Beliau ditangkap sewaktu hampir tiba di kediamannya di Segambut Dalam, Kuala Lumpur tengah hari tadi selepas memberikan keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya berhubung isu dakwaan pemalsuan laporan ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan dan peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Kira-kira 500 penyokong penasihat PKR berkumpul di pinggir Jalan Hang Tuah sejak beliau ditahan tengah hari tadi.

Awal malam ini, mereka menyalakan lilin dan melaungkan slogan "reformasi."

Manakala sekumpulan 50 anggota polis, termasuk berpakaian biasa, berada di seberang jalan - sebelah bangunan IPK.

Mereka bersurai dengan aman sejurus selepas tengah malam ini selepas diarahkan oleh polis.

Malaysiakini difahamkan satu mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Tertinggi PKR akan diadakan di ibu pejabat parti di Tropicana, Petaling Jaya.

Taklimat tentang perkembangan penahanan Anwar disampaikan oleh timbalan presiden Dr Syed Husin Ali.

-malaysiakini

No comments: