"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Tuesday, July 22, 2008

Islam atasi kepentingan peribadi

Ulama adalah golongan yang sangat dihormati dalam institusi agama Islam. Sebabnya, selepas kewafatan Rasulullah SAW, para sahabat dan tabien, kepada merekalah kita mendapatkan fatwa tentang pelbagai masalah yang dihadapi.

Di dalam fahaman ahli sunah wal jamaah, sumber hukum kepada umat Islam adalah al-Quran, hadis, ijmak ulama dan qias.

Kedudukan tinggi ulama ini bertepatan dengan tahap ilmu yang dimiliki serta kewarakan mereka. Malah Allah berfirman: Allah meninggikan orang yang beriman di antara mu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. (al-Mujadalah: 11)

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto HALIM KHALID menemu bual Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, Datuk Sheikh Abdul Halim Abd. Kadir bagi mengupas peranan ulama dalam pembentukan negara.

MEGA: Rasulullah SAW ada bersabda, ulama itu pewaris Nabi. Jika demikian, bagaimanakah seharusnya diletakkan kedudukan ulama itu dengan umarak (pemimpin)?

ABDUL HALIM: Yang idealnya, ulama itu menjadi pemerintah. Ini sebagaimana pada zaman Rasulullah SAW dan khalifah.

Dalam keadaan ini, umat Islam tidak perlu gusar kerana mereka sebagai pemerintah boleh terus mengeluarkan fatwa atau keputusan apabila berhadapan dalam sebarang situasi atau masalah.

Peringkat yang kedua adalah umarak yang bukan dalam kategori ulama. Pada ketika ini, maka umarak perlu merujuk kepada ulama. Ini perlu supaya sebarang keputusan atau polisi yang dibuat tidak bercanggah atau lari daripada Islam.

Sebabnya, Islam itu agama yang sempurna dan sesuai pada bila-bila masa. Mana-mana pendekatan Barat yang dirasakan perlu diambil hendaklah dibuat pengubahsuaian agar ia selari dengan Islam.

Bagaimanapun, bukan dalam semua hal, ulama itu menjadi rujukan. Adakah tindakan ini tepat?

ABDUL HALIM: Pada saya semua urusan di dunia ini perlu kita rujuk atau sandarkan kepada Islam. Baik dalam soal bermuamalah, munakahat, jenayah mahu pun politik.

Dalam Islam, kita mempunyai dua corak hubungan iaitu vertikal dan horizontal. Yang vertikal adalah hubungan kita dengan Allah iaitu pematuhan hukum hakamnya manakala yang horizontal adalah hubungan sesama manusia.

Merujuk kepada ulama itu perlu kerana hidup kita ini sentiasa berubah. Dunia kita berkembang. Apabila demikian maka ada perkara yang telah diputuskan 10 atau 20 tahun dulu mungkin memerlukan kepada ijtihad baru berdasarkan keadaan semasa. Lebih-lebih lagi dalam bidang ekonomi dan perbankan Islam.

Saya juga yakin kita masih ada ulama tempatan yang berwibawa untuk dijadikan rujukan. Kalau bukan pun individu, dalam bentuk kumpulan ulama yang tidak ada kepentingan dan ikhlas.

Ada yang berpendapat lebih elok ulama ini semuanya sepakat dalam mengeluarkan pandangan untuk elak perpecahan masyarakat. Apa pandangan Datuk?

ABDUL HALIM: Memanglah yang terbaik memang sepakat. Namun dalam zaman kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ini yang mana masa menjadi faktor utama penanda aras, kesepakatan ulama ini agar sukar dicapai.

Sebabnya, sebelum boleh capai kata sepakat, perlu ada kertas kerja yang dibentangkan dalam kalangan ulama hatta Majlis Fatwa Kebangsaan pun. Namun, soalnya, kalau kita tunggu proses itu barangkali isu yang dibangkitkan sudah pun basi.

Tambahan pula, perkara yang tidak disepakati ulama itu bukanlah benda-benda pokok atau besar. Sebaliknya ia lebih kepada pendekatan atau masalah teknikal, jadi tidak seharusnya ia menjadi polemik dalam umat Islam.

Islam membenarkan berselisih pendapat dalam hal-hal yang tidak ada nas. Perselisihan ini pula tidak sampai membawa kepada bergaduh sesama ulama.

Berdasarkan ayat 54 surah al-Maa’idah, orang Islam disuruh berlemah lembut sesama Muslim dan bersikap keras dengan golongan kafir. Namun hakikatnya, dalam banyak hal umat Islam lebih ‘keras’ sesama Muslim sehingga agak sukar untuk dibawa berbincang untuk kebaikan agama, bangsa dan negara. Bagaimana membetulkan keadaan ini?

ABDUL HALIM: Memang benar, perkara sedemikian berlaku. Ia berlaku kerana umat Islam tidak yakin kepada janji Allah. Kita masih tidak kenal Islam secara yakin, ketandusan iman dan takwa.

Masih ada umat Islam yang tidak mahu menggunakan kaedah Islam dalam bersosial dan menyelesaikan masalah. Sebab itu kita lihat, umat Islam mudah menyerah kepada golongan kafir.

Gejala ini adalah penyakit umat Islam bukan hanya di negara kita tetapi global. Kita boleh lihat bagaimana umat Islam di Asia Barat tidak boleh bersatu malah tunduk dengan kuasa Barat. Sedangkan majoriti penduduk adalah umat Islam.

Rasulullah juga bersabda: Seorang muslim itu menjadi saudara muslim lainnya, kerana itu tidak dibolehkan seorang muslim menganiaya akan saudaranya, juga tidak boleh seorang muslim menghina saudara muslim lainnya...(riwayat Bukhari dan Muslim).

Jika kita sedar hakikat yang jawatan kita baik sebagai pemimpin atau hartawan itu hanyalah sebagai pengurus kepada pemilik mutlaknya iaitu Allah, mengapa kita tidak mahu mengikut apa suruhan Allah?

Kita tahu bahawa untuk hidup sejahtera dan diberkati, hendaklah kita berpegang kepada al-Quran dan sunah. Soalnya, mengapa ada di kalangan kita yang hanya mengikut syariat dalam keadaan tertentu dan mengenepikannya dalam hal yang lain?

ABDUL HALIM: Pokok pangkalnya adalah keikhlasan. Allah berfirman: Jika sekiranya penduduk negeri-negeri itu beriman dan bertakwa pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. (al-A’raaf: 96)

Tentang keberkatan langit ini ada yang menafsirkannya sebagai hujan yang menyuburkan tanam-tanaman dan memberi minum binatang ternakan.

Keberkatan di bumi pula apabila dikurniakan pelbagai hasil bumi termasuk bahan galian dan minyak.

Sebaliknya, kalau kita tidak ikhlas dan membuat sesuatu atas kepentingan tertentu maka kesejahteraan dan keberkatan yang dijanjikan oleh Allah tadi sukar dicapai.

Islam meraikan kepentingan peribadi tetapi apabila bertembung dengan maslahat umat maka aulawiyatnya (keutamaan) perlu diberi kepada kepentingan umum.

Sebab itu, pandangan yang ragu bahawa dalam negara kita yang berbilang kaum ini sukar melaksanakan Islam adalah tidak tepat. Kalau kita kaji berapa banyak saranan Islam yang turut dikongsi sama oleh agama lain.

Hal seperti kejujuran, amanah dan menepati masa dalam perniagaan misalnya, juga disukai oleh golongan bukan Islam. Demikian juga bab riba, golongan bukan Islam juga sukakan perbankan Islam hatta orang Yahudi sendiri pun tidak mempercayai sistem riba.

Dalam masyarakat majmuk, ada tahap pelaksanaan Islam.

Terdapat banyak perkara yang kita boleh bertolak ansur dengan golongan bukan Islam melainkan bab akidah.

Baru-baru ini, timbul gesaan diadakan muzakarah untuk penyatuan umat Islam daripada UMNO dan Pas. Apakah formula mencapai hasrat ini?

ABDUL HALIM: Letakkan al-Quran di depan dan sertakan ia dengan keikhlasan. Bukankah al-Quran itu pedoman yang tidak ada keraguan bagi orang yang beriman sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 2?

Sepatutnya muzakarah itu bukanlah hal yang besar kerana pihak yang terlibat semuanya orang Islam. Kiblatnya sama iaitu Allah dan kitabnya pun sama iaitu al-Quran.

Apa yang dibimbangkan adalah ada muslihat kepentingan peribadi di sebaliknya. Ini pernah berlaku semasa di Madinah dahulu. Kepimpinan Rasulullah ditentang bukan sebab ia menyeleweng tetapi lebih kepada faktor khuatir hilang kedudukan dan kuasa. Pemimpin Madinah ketika itu bimbang mereka kini menjadi pemimpin nombor dua selepas Rasulullah SAW.

Apa yang dibimbangkan ialah berlakunya peringatan Allah: Dan Allah membuat perumpamaan (dengan) sebuah negeri yang dahulunya aman lagi tenteram, rezeki datang melimpah ruah dari segenap penjuru tetapi (penduduknya) mengingkari nikmat Allah, kerana itulah Allah menimpakan mereka kelaparan dan ketakutan disebabkan apa yang mereka selalu lakukan. (an-Nahl: 112)

Kita jangan lupa kepada satu lagi firman Allah: Dan hanya kepunyaan Allahlah apa yang ada di langit dan di bumi. (an-Najm: 31)

Kita hanya menumpang di bumi Allah buat sementara sebelum berhijrah ke alam akhirat yang kekal abadi.

-Utusan

No comments: