"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Tuesday, July 22, 2008

Lagi gesaan pemimpin PAS muzakarah Umno-PAS dihentikan segera

(Mutakhir) KUALA LUMPUR: Khalid Abdul Samad, Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor, salah seorang daripada tiga pemimpin yang mengambil bahagian dalam pertemuan dengan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam proses muzakarah kedua-dua parti itu, tidak mahu dialog seumpama diteruskan dan perlu dihentikan segera.

"Dari segi muzakarah ini tidak perlu diteruskan. PAS hendak berbincang soal Melayu dan Islam tetapi Umno hanya mahu selamatkan kedudukan mereka," kata beliau kepada mStar Online ketika dihubungi petang ini.

Beliau turut mendakwa muzakarah itu merupakan gimik Umno semata-mata untuk menjatuhkan PAS yang merupakan anggota Pakatan Rakyat.

Khalid, Ahli Parlimen Shah Alam turut mendedahkan apa yang berlaku dalam pertemuan pertama yang berlangsung sejurus selepas pilihan raya ke-12 pada 8 Mac lalu.

“Saya tidak ingat tarikh yang pasti pertemuan pertama berlangsung sejurus selepas pilihan raya berakhir," katanya kepada mStar Online.

Beliau antara tiga pemimpin PAS selain Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa dan Pengarah Pilihan Raya, Datuk Mustafa Ali yang terlibat dalam muzakarah yang didedahkan oleh Perdana Menteri kelmarin.

Kenyataan Khalid itu dilihat senada dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam.

Tegas Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan, sebarang usaha untuk mengadakan muzakarah antara PAS dan Umno perlu dihentikan dengan segera kerana bimbang akan berlakunya perpecahan dalam parti.

Nik Aziz menyatakan demikian sehari selepas Abdullah, yang juga Perdana Menteri mendedahkan tiga pertemuan telah diadakan dengan tiga pemimpin PAS sejak pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyambut baik pertemuan itu.

Dalam pertemuan tersebut, menurut Khalid, selain beliau, PAS diwakili Nasharudin dan Mustafa.

Umno pula diwakili oleh Abdullah dan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Dr. Mohammad Khir juga mendedahkan formula dan isu perbincangan dalam pertemuan tersebut menerusi blognya.

Khalid menjelaskan, pertemuan pertama itu telah membincangkan mengenai masalah di Selangor.

Kata beliau, secara asanya perbincangan tertumpu kepada DAP yang berjaya memiliki banyak kerusi di Selangor.

“Pak Lah ada melahirkan kebimbangan mengenai DAP yang berjaya memperoleh banyak kerusi di Selangor. Mereka bimbang akan kepentingan orang Melayu dan agama Islam di sana terancam," katanya.

Dalam pertemuan tersebut Khalid berkata, PAS telah ditawarkan "gula-gula politik" jika bersedia bersama dengan Umno dan Barisan Nasional.

“Mereka menawarkan kami (PAS) jawatan Menteri Besar jika mahu bersama dengan Barisan Nasional. Kami tidak memberi keputusan, sebaliknya hanya berkata akan memikirkan mengenainya,” katanya.

Menurut beliau, PAS berbuat demikian kerana bimbang Umno akan menggagalkan usaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Rakyat melantik Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

“PAS hanya bersetuju secara teknikal, sedangkan pada masa yang sama kami telah bersetuju untuk bersama PKR dan DAP untuk membentuk kerajaan Pakatan Rakyat," katanya.

Khalid menegaskan, PAS berbuat demikian kerana yakin Umno pasti akan berusaha untuk menggagalkan usaha PKR melantik Khalid menjadi Menteri Besar.

Ditanya mengenai pertemuan kedua, beliau memberitahu, beliau hanya terlibat dalam pertemuan pertama.

“Apa yang saya tahu pertemuan kedua berlangsung di Parlimen antara Perdana Menteri dan PAS hanya diwakili oleh Nasharudin seorang. Apa yang dibincangkan saya tidak pasti,” ujar Khalid.

Ketika ditanya bukankah idea untuk mengadakan muzakarah ini ditimbulkan oleh Presiden PAS sendiri, Khalid berkata:

“Sebenarnya, beliau (Hadi) seorang yang jujur dalam perjuangan untuk membela nasib agama Islam dan orang Melayu di negara ini, sebab itu beliau mahu bermuzakarah dengan Umno,” katanya.

Khalid turut menafikan tersebut perbezaan pendapat antara Nik Aziz dan Abdul Hadi mengenai muzakarah.

Menurut beliau, perbezaan tersebut hanya bersifat luaran dan aspek fundamental masih sama.

Menurutnya, kedua-dua pemimpin itu bersetuju PAS tidak perlu berkongsi kuasa dengan Umno.

Tambahnya, beliau menyokong tindakan Mursyidul Am PAS yang sememangnya menolak sebarang usaha sama dengan Umno kerana bimbang wujudnya perpecahan dalam parti itu.

Beliau berkata, tindakan Perdana Menteri mendedahkan kepada media mengenai tiga pertemuan muzakarah dengan PAS baru-baru ini telah pun mengesahkan apa yang diperkatakan oleh Mursyidul Am PAS.

Khalid juga melihat Umno hanya menggunakan peluang muzakarah itu sebagai satu tindakan orang yang terdesak dan hanya mahu menyelamatkan kedudukan mereka yang semakin lemah.

Tambah beliau, pertemuan pertama yang berlangsung kira-kira satu setengah jam tidak menemui kata sepakat mengenai isu yang sepatutnya diketengahkan.

-mSTAR Online

No comments: