"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Tuesday, July 22, 2008

Tok Guru setuju Umno lenyap

Saya diberitahu sudah digerakkan apa yang dikatakan gerakan pertahankan PAS (Protect PAS atau ringkasnya ProPAS). Tujuannya untuk melaksanakan amanat Tuan Guru Mursyidul Am yang mengetuai Majlis Syura Ulama PAS supaya ahli-ahli dan para penyokong PAS menjaga parti itu demi "menjaga Islam" (lihat temubual media dengan Tok Guru di bawah).

"Nak berkawan dengan Umno apa yang kita dapat? Umno parti yang memusnahkan Islam. Mereka melonggarkan iman orang Melayu, longgarnya iman orang Melayu kerana Umno," kata Tok Guru.

Sayangnya, ProPAS memilih untuk bergerak secara gerila seperti yang berlaku menjelang Muktamar PAS 1982 lalu. Itu maklumat pertama yang saya dapat. Maklumat kedua yang saya dapat, berbeza dengan tahun 1982 lalu di mana Allahyarham Tan Sri Asri Muda dijerit-jeritkan dengan perkataan-perkataan taghut, fasiq, kafir dan lain-lain, ProPAS mengutamakan akhlak Islam dan perpaduan ahli-ahli.

Maklumat ketiga yang saya dapat dan menyebabkan saya rasa tak ada nilai seduit pun ialah saya tidak dibenarkan ambil tahu, jauh lagi terlibat. "Hang tu penyokong Fasal 5 Perlembagaan PAS sahaja, macam hang selalu kata. Lagi pun, depa tak nak hang sokong, bawak rebah. Lepas ni, semua saluran maklumat untuk hang akan dipotong habis-habisan. Kirim salam je la!"

Elok juga saya tak tahu apa-apa. Saya pun bukannya dapat maklumat dari mereka. Baru tanya sikit, dah buat muka rimau nak terkencin.

Tak kisah, saya sendiri sedang membina saluran maklumat lain termasuk menghubungi orang-orang Jalal yang saya kenali semasa saya jadi broker, kalau tak silap dalam tahun 2002-2003 dahulu (seduit pun aku tak dapat, buang masa ja! AlhamduliLlah, Allah tak izinkan). Lagi pun, Jalal dah mengaku dalam blognya bahawa dialah yang "membawa pemimpin tertinggi PAS bermuzakarah dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi".

Lebih dari itu, "fitnah" saya dah diakui oleh pemimpin kedua-dua parti. Hanya nak tanya sikit lagi, siapakah yang sebut dan fitnah Timbalan Presiden PAS berpeluk-pelukan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak di London? Saya tak tahu siapa yang dimaksudkan. Saya hanya sebut "Amboi... megah sangatlah tu dok main-main telefon dengan agen komisyen Sukhoi dan Scorpene!!"

Tetapi kalau sayalah orang yang dimaksudkan itu, sila baca posting saya sebelum ini "Saya akan pergi mahkamah".

Memang, antara pendedahan awal saya yang dislogankan sebagai "fitnah penarik beca" ialah posting bertajuk "Pergi London kerana nak peluk Umno?" Maksud saya pergi London minta pandangan tokoh-tokoh Ikhwan kerana hendak main politik gesel dengan Umno (mungkin tak sama dengan politik damai yang Ustaz Nik Abduh cuba ajar kepada kita. Saya tak kisah politik damai malah politik gesel pun mungkin boleh cuba ditelan walaupun susah sungguh. Yang tak dapat nak diterima ialah politik dalam gelap dengan pihak yang Tok Guru sebut "memusnahkan Islam dan melonggarkan iman orang Melayu". Saya tak gamaklah nak sebut politik perselingkuhan).

Saya tak tahu nak takrif apa jenis bahasa yang saya gunakan bila sebut "nak peluk Umno" itu. Saya bukan ahli bahasa. Nak kata bahasa kinayah (kiasan atau konotatif) pun, entah ya entah tidak.

Kedua, saya masih tertanya-tanya mengapa tak tanya pandangan Mursyidul Am dahulu sebelum tanya pandangan tokoh-tokoh Ikhwan? Apa pun rungutan terhadap jadual kedatangan dalam mesyuarat Majlis Syura Ulama, saya tidak percaya malah tidak mungkin sama sekali jawatan Mursyidul Am hanya bersifat ceremonial sahaja.

Ketiga, nak mengulangi pertanyaan dalam posting bertajuk "Main belakang". Tak pa, saya ulangi lagi apa yang saya persoalkan. Malaysian Insider yang menyiarkan dengan tepat tentang rancangan Perdana Menteri hendak mengaku kalah dan berundur pada Jun 2010 (berita berkaitan bapa mertua Khairy tentulah tepat) telah melaporkan:
Several nights ago, three senior leaders of Parti Islam SeMalaysia (PAS) sat across Prime Minister Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi in his private home, a short distance away from Istana Negara.
Sedangkan, sebelum ini, seorang pemimpin PAS yang melarang saya menyiarkan kerja-kerja dalam gelap tersebut telah mengingatkan saya:
"Tok sah tulis lagi la, bakaq. Mesyuarat (Jawatankusa PAS) Pusat dah buat keputusan mintak stop semua pertemuan (dengan Umno) yang hang tulis tu".
Jika benar apa yang dinyatakan oleh pemimpin PAS itu, dan jika benar laporan Malaysian Insider bahawa pertemuan terakhir diadakan beberapa malam yang lalu (several nights ago), tidakkah ia bermakna melanggar keputusan parti?!!

Berikut ialah temubual media dengan Tok Guru:
Husam Musa (21/7/08): Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengeluarkan ulasan berhubung isu wujudnya pertemuan antara pimpinan tertinggi parti dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga selaku Presiden Umno . Pertemuan itu dikatakan adalah untuk membincangkan isu-isu kepentingan bersama berkaitan umat Islam dan bangsa Melayu.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengakui perjumpaan tersebut diadakan. Katanya perjumpaan pertama dengan Perdana Menteri berlaku sejurus selepas PRU ke 12 yang lalu yang melibatkan Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa; Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustapha Ali dan Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad.

Bagaimanapun pertemuan ini telah pun dilaporkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak PAS. Ikuti temubual Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan ini bersama para wartawan di Kota Darulnaim, petang tadi.

Wartawan : Boleh Tok Guru jelaskan apa yang berlaku setakat ini?

Mursyidul Am : Isu muzakarah yang dibesar-besarkan oleh pihak tertentu, bagi saya tidak ada benda baru yang saya nak tambah. Apa yang saya nak sebut ialah mengulang kenyataan saya yang lepas kerana bila berlaku keadaan begini orang PAS tetap marah pada orang PAS dan orang Pakatan Rakyat pun marah pada PAS. Akhir sekali PAS akan jadi kera sumbang, kiri kanan jadi akan marah.

Ini bukan cara kita berpolitik, kita politik macam ini ertinya politik tuduh lawan; bukan kata pakat-pakat jaga kestabilan politik. Ini perangkap namanya. Yang timbul begini pun satu kejayaan kepada lawan.

Kedua, orang PAS kena tanya diri mereka sendiri sama ada nak jaga PAS (parti) ke atau nak jaga Islam? Kalau sekadar nak jaga PAS, ini bukan hala tuju PAS kerana kita nak jaga Islam. Nak berkawan dengan Umno apa yang kita dapat? Umno parti yang memusnahkan Islam. Mereka melonggarkn iman orang Melayu, longgarnya iman orang Melayu kerana Umno .

Jadi kalau nak jaga PAS, ini bukan perjuangan PAS. Tapi kalau PAS dibuat untuk jaga Islam itu bukan cara PAS kerana Umno parti sekular iaitu parti hanya semata-mata setakat hidup atas dunia. Tak ada dalam kepala mereka hidup ketika di Padang Mahsyar (akhirat) macam mana sedangkan Islam ni hidupnya hanya ialah merentasi kubur menuju Padang Mahsyar.

Wartawan : Pada pandangan Tok Guru, kenapa kenyataan isu ini diperbesarkan ?

Mursyidul Am : Bila ada di muka depan akhbar, ini bukan kerja individu itu tetapi orang surat khabar yang letak muka depan untuk lariskan akhbar mereka. Itu sajalah lagipun mereka ini tak fikir dari sudut berita itu adalah serangan terhadap PAS. Kita pun tak boleh lawan tapi apa yang kita ada hanya ceramah atau blog. Surat khabar yang ada semuanya pro Umno .

Wartawan : Adakah Tok Guru tak happy dengan perkembangan atau kenyataan ini?

Mursyidul Am : Tak happy, tak seronok. Saya kata berkali-kali tak boleh. Tak boleh kita nak berunding dengan Umno , kita terperangkap. Dahlah kita dah terperangkap sekali dalam tahun 70an dulu, takkan nak terperangkap semula?

Umno lemas lemas sekarang jadi dia nak minta tolong PAS sedangkan PAS bekerja keras untuk melemaskan Umno . Bila Umno sudah lemas sekarang kita nak angkat balik bukan kerja kita. Biar lemaslah dia, sudah 50 tahun kita lawan Umno. Nak lemas lagi, kita lanyaklah lagi.

Wartawan : Kenapa Presiden tidak beritahu buat perjumpaan itu?

Mursyidul Am : Wallahu a'lam saya tak boleh kata apa sebab itu orang lain yang buat.

Wartawan : Maksud tak happy tadi merujuk kepada kenyataan Presiden PAS atau Perdana Menteri?

Mursyidul Am : Kedua-dua lah (ketawa)

Wartawan : Jadi, apa tindakan seterusnya?

Mursyidul Am : Terserah pada parti lah.

Wartawan : Sekarang ini macam tidak ada persefahaman antara Presiden PAS dengan Tok Guru selaku Mursyidul Am PAS?

Mursyidul Am : Sehingga hari ini saya tak jadi masalah, hidup kita ni tak boleh duduk senyap saja, banyak mana kita boleh luah kita luah. Kemudian kita dengar balik reaksi balas. Sekarang orang tu luah masalah dia sekarang saya kita nak lawan balik. Tanda kita hidup demokrasi

Wartawan : Adakah Tok Guru berjumpa dengan Presiden dan beritahu dia apa patut lakukan?

Mursyidul Am : Tak beritahu, saya cuma dengar berita dan saya jawab. Saya tak boleh lah nak pandai-pandai sampai peringkat tu.

Wartawan : Adakah persefahaman antara Tok Guru dengan Presiden masih ada?

Mursyidul Am : Tetap ada, tak berpecah, kalau PAS berpecah ertinya menanglah Umno , seronoklah Umno kerana dia berjaya pecahbelahkan PAS. Oleh itu kita mesti bersatu.

Wartawan : Adakah Tok Guru rasa PAS dalam ambang atau akan hadapi perpecahan?

Mursyidul Am : Tak ada perpecahan. Kalau kita berpecah menanglah Umno , berjaya lah Umno dalam usahanya memecahbelahkan PAS.

Wartawan : Adakah Tok Guru rasa kecewa sebab tak diberitahu tentang perjumpaan itu (Presiden PAS dengan Perdana Menteri)?

Mursyidul Am : Tak juga…cara kita hidup atas dunia begitulah, macam suami isterilah tak semestinya kita buat kita tak sedar tetapi saya tetap menolak muzakarah tu.

Wartawan : Kalau mereka berkeras nak buat juga?

Mursyidul Am : Kalau nak buat juga kena tunggu lepas pilihanraya umum ke 13 (PRU 13) lah. Itupun kalau perlu (ketawa).

Wartawan : Apa pendapat Tok Guru untuk hentikan isu ini?

Mursyidul Am : Sebab itu saya kata tadi tak ada nak tambah benda baru, tak ada. Dengan tujuan nak berhentikan isu ini. Kecuali orang PAS terus perhidupkan benda ni. Akan terus hiduplah. Lepas pada ni takkan adalah perkataan yang keluar dari saya.

Wartawan : Apa harapan Tok Guru pada penyokong kita?

Mursyidul Am : Harapan saya supaya mereka bertenang dan jangan terpengaruh dengan taktik yang dibuat oleh musuh. Saya setuju supaya umno lenyap di muka dunia. Nak lenyap atas muka dunia payah juga sebab mereka manusia walau bagaimanapun biarlah dia duduk setaraf sebagai pembangkang selamanya.

Wartawan : Adakah ini kenyataan terakhir isu muzakarah?

Mursyidul Am : Saya ingat begitulah.

Wartawan : Kalau Presiden PAS dan parti masih nak terus rancangan untuk buat muzakarah?

Mursyidul Am : Mudah-mudahan berhenti sahajalah. Banyak lagi kerja lain, lagipun kita sudah dekat dengan Muktamar PAS. Tak payah buat debu tengah jalan sampai orang kelabu mata.

Wartawan : Adakah isu ini boleh dibincang pada Muktamar PAS nanti?

Mursyidul Am : Boleh jadi bincang. Terserah pada perwakilan.

Wartawan : Adakah Tok Guru nak adakan pertemuan dengan Presiden?

Mursyidul Am : Saya serah pada orang berkenaan. Saya tak suka masuk campur perkara macam ni.

Wartawan : Macam mana pula dengan perjumpaan lima Menteri Besar Pakatan Rakyat?

Mursyidul Am : Kita ni macam keluarga, takkan tak boleh nak berjumpa.

Wartawan : Apa tujuan perjumpaan ini?

Mursyidul Am : Dalam kepala saya dah ada rangka (pertemuan) walau bagaimanapun tujuannya untuk kukuhkan Pakatan Rakyat.
Berita lain di sini, di sini, di sini, di sini dan di sini. Berikut pula ialah ucapan Tok Guru Presiden dalam ucapannya di Banggol Peradong, Kuala Trengganu pada 7 April, 1981 :
Saudara-saudara sekalian, Percayalah! kita menentang Umno bukan kerana nama dia Umno, kita menentang Barisan Nasional, bukan kerana nama Barisan Nasional. Kita menentang dia kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan peraturan kafir, mengekalkan peraturan jahiliah.

Oleh kerana itulah kita berjuang melawan mereka. Percayalah saudara, perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad dan kerana kita berjuang dengan puak-puak ini, kalau kita mati kerana berlawan ini, mati kita adalah mati syahid, mati kita adalah mati Islam.

Kita tidak payah masuk Yahudi, kita tidak payah masuk Kristian, kita tidak payah masuk Hindu, kita tidak payah masuk Buddha, tetapi kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku agama suku.

~penarik beca

No comments: