"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Sunday, July 13, 2008

Transkrip penuh temubual Abdullah mengenai peralihan kuasa

Oleh Bernama
Ahad, 13 Julai 2008

BERIKUT ialah transkrip penuh temubual Bernama dan RTM dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai pelan peralihan kuasa kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak.

S:Kelmarin, Datuk Seri mengumumkan tarikh peralihan kuasa akan diadakan pada tahun 2010. Kenapa Datuk Seri memilih 2010 sebagai tarikh peralihan kuasa dan bukan tahun-tahun lain?

J:Itu adalah tahun penamat Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Tahun 2010 itu juga saya berharap tahun kejayaan menghapuskan kemiskinan tegar.

S:Ada yang kata tempoh dua tahun itu terlalu lama dan ada juga dalam masa yang sama berkata tak cukup untuk Pak Lah untuk menyelesaikan kerja-kerja yang hendak dilakukan?

J:Banyak yang perlu dikerjakan dan pembangunan perlu diteruskan dan kerja-kerja yang hendak saya laksanakan itu adalah kerja-kerja yang ada hubungkait dengan yang dijanjikan dalam manifesto, yang perlu saya laksanakan. Tambahan pula ada pembangunan Koridor (pembangunan wilayah) masih belum lagi dilaksanakan.

S:Jadi, pada 2010 itu Pak Lah merasakan waktu itu segala-galanya akan nampak hasil dan kejayaan?

J:Harapan saya ialah pada tahun 2010 banyak dah (kerja diselesaikan), dah pun bergerak dengan baik, itu harapan saya.

S:Dari segi kepuasan diri, adakah Datuk Seri merasakan pada 2010 segala apa yang dirancang, dibina dan dilaksanakan sudah menampakkan kejayaan dan ia satu tempoh yang mencukupi bagi semua itu?

J:Seperti saya katakan tadi, janji-janji kepada rakyat telah dibuat, janji di dalam manifesto dan antaranya ialah janji-janji yang dilihat sebagai janji saya (walaupun) manifestonya adalah manifesto Barisan Nasional. Saya rasa worth it untuk saya melaksanakannya.

S:Nampaknya dalam hati kecil Datuk Seri, masih ada rasa tanggungjawab untuk menyelesaikan kerja-kerja yang dimulakan dan janji yang dibuat.

J:Saya masih ada tanggungjawab pada waktu ini dan sebab dua tahun lamanya itu, memang saya akui memang tanggungjawab Perdana Menteri itu adalah tanggungjawab saya. Kuasa ada pada saya, dan saya perlu gunakan dengan sebaik-baiknya untuk menjayakan pembangunan dan lain-lain lagi.

S:Mungkin Pak Lah boleh jelaskan sekali lagi tentang tidak adanya sebarang tekanan luar sehingga keputusan ini dibuat.

J:Sebenarnya begini. Sayalah orang yang mula-mula sebut perkara ini iaitu pada satu pertemuan tertutup dengan pegawai-pegawai penerangan Umno dari seluruh negara. Saya sebut tentang proses peralihan kepimpinan parti sebagai proses biasa apabila tiba pemilihan parti. Seperti biasa, yang nak pergi pergilah, yang patah, patahlah tetapi yang ganti mesti ada. Inilah proses yang berlaku di dalam Umno yang dah lama, jadi, bila dah sebut yang lama itu, apa jadi pada kita? Ada yang kata you also dah berumur, dah lama, dah lama terlibat dalam parti pun, dah mula menjadi anggota parti sejak tahun 1965, mula aktif dalam pentadbiran pada 1978. Satu hari saya akan pergi juga dan saya juga mahukan proses peralihan itu berjalan dengan baik, daripada saya kepada pengganti saya. That was the one that makes the people talk (Itulah yang membuatkan orang mula bercakap).

S:Bolehkah Datuk Seri jelaskan kebaikan pelan peralihan kuasa yang diumumkan berbanding dengan jika ada pertandingan di peringkat tertinggi parti yang boleh menggugat kestabilan parti?

J:Lebih baik pada parti (jika tiada pertandingan). Orang yang bergaduh (bertanding) ni, bila lihat orang atas berkelahi, semua habis terlibat daripada cawangan sampai ke bahagian. Ini menyusahkan, dengan orang bawa macam-macam teori, pandangan.

S:Jadi, pelan peralihan kuasa yang diumumkan adalah bagi mengekalkan tradisi yang sedia ada di dalam Umno?

J:Tradisinya ialah supaya peralihan itu berjalan dengan baik, jika peralihan itu berjalan dengan baik, kita perlu rancang.

S:Apa signifikannya Pak Lah umumkan pada waktu ini apabila menjelang hanya sehari dua sebelum bermula mesyuarat Umno di peringkat cawangan.

J:Jika nak buat pengumuman, lebih baik dibuat sebelum bermulanya pemilihan di peringkat cawangan. Let's the people get settled first (Biarkan mereka bertenang dahulu). Sebelum pemilihan cawangan, buat siap-siap, supaya semua orang tahu awal-awal, jadi inilah keadaannya. Bila ada pertandingan, yang menang tak rasa selesa, yang kalah lagi rasa tak selesa. Kita mahu pastikan pemilihan dalam parti berjalan lancar.

S:Adakah Pak Lah yakin ahli parti di semua peringkat dapat menghayati niat baik Pak Lah itu atau menghormati apa yang diputuskan oleh Pak Lah?

J:Ramai yang telahpun menunjukkan bahawa mereka puas hati.

S:Bila sebenarnya Datuk Seri buat keputusan tentang peralihan kuasa itu?

J:Bila tarikh pemilihan mesyuarat cawangan dah nak bermula, pada masa itulah pada saya ia perlu dipercepatkan.

S:Ada yang menganggap proses peralihan kuasa itu hanya satu strategi Datuk Seri untuk memberi masa memperkukuhkan kedudukan Datuk Seri sendiri?

J:Memang dah nak retire (bersara), yang pentingnya kita buat kerja. Dalam period (tempoh) ini pun, saya buat kerja, Datuk Seri Najib pun buat kerja. Dan jika kerja-kerja yang dilaksanakan bakal membuahkan hasil yang dapat dinikmati oleh rakyat yang bakal diterima baik oleh rakyat. Dengan itu, ia juga membantu menguatkan lagi parti untuk mendapat sokongan rakyat.

S:Adakah Datuk Seri Najib akan diberi peranan yang lebih dari sekarang sehingga 2010?

J:Adalah peranan-peranan yang saya akan bagi kepada dia. Saya juga perlu melakukan lebih lagi. Dalam kombinasi presiden dan timbalan, ia tentang membantu untuk memperkukuhkan parti. Ia mengenai pelaksanaan banyak perkara yang kami ingin lakukan. Kami juga perlu memperoleh sokongan daripada rakyat. Kita akan membuat kerja untuk menguntungkan mereka.

S:Adakah kemungkinan Pak Lah akan melanjutkan tempoh sebagai Perdana Menteri (selepas 2010) sekiranya sesuatu berlaku seperti krisis ekonomi atau perkara lain?

J:Saya sama sekali tidak akan berbuat demikian. Saya tidak akan pergi kepada Najib dan berkata kepadanya "Mereka sukakan saya sekarang, bolehkah anda benarkan saya teruskan untuk setahun lagi?" Kalau ada apa yang berlaku (seperti krisis ekonomi), dia yang selesaikanlah. Kalau (ada apa yang) berlaku (pada ketika itu) dan bila tiba masanya untuk saya pergi, saya akan pergi. Paling buruk, beliau perlu menanganinya. Dan dengan sesiapa sahaja yang beliau pilih untuk menjadi gandingannya.

S:Siapakah tokoh-tokoh dalam dalam UMNO yang layak untuk menjadi Timbalan Presiden yang baru kemudian?

J:Saya tidak mahu menyebut nama sesiapa. Ada beberapa orang yang akan menjadi calon yang baik.

S:Pak Lah mahu dikenang sebagai apa?

J:Tak payahlah. Saya tidak tahu. Terpulang kepada orang ramai untuk menilai. (Masih terlalu awal dan saya masih Perdana Menteri) dan dalam masa dua tahun akan datang kita tidak tahu apa yang akan berlaku. Secara jujur, I tak pernah fikir. Saya mahu bersara dengan rasa puas bahawa saya telah melakukan sesuatu.

S:Ada orang kata Pak Lah akan dikenang sebagai orang yang membawa negara ke tahap lebih demokratik?

J:Satu-satunya perkara perkara yang saya boleh beritahu anda ialah pandangan popular yang saya telah dengar.

No comments: