"Kita Menang, We Won". Begitulah tajuk kenyataan akhbar yang dipaparkan dalam blog Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak tengah malam tadi.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu awal pagi tadi telah menuju ke Kuala Lumpur untuk membuat persiapan susulan melangkah ke Parlimen esok - premis yang beliau tinggalkan 10 tahun lalu. Majlis angkat sumpah dijadual berlangsung pagi esok.
Sehingga September 1998 beliau berada di kerusi nombor dua barisan hadapan di bahagian blok kerajaan selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, bertentang mata dengan pemimpin-pemimpin pembangkang, antaranya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Karpal Singh dan Lim Kit Siang serta Lim Guan Eng.
Esok, kedudukan Anwar akan berubah di Dewan Rakyat yang landskapnya lebih meriah dan ceria berbanding satu dekad lalu.
Beliau pula akan mengetuai barisan pembangkang - bertindak sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen. Pemimpin-pemimpin yang disebutkan itu masih berada di Parlimen, tetapi Anwar akan mengepalai mereka di Parlimen bertentang mata dengan barisan kerajaan. Inilah politik! Tiada sesuatu yang kekal dalam arena politik negara.
Perkara ini juga seringkali disentuh oleh Anwar ketika ceramah kempennya dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh. "Pada 26 Ogos kita menang, insya-Allah, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat sudah bersetuju untuk melantik saya menjadi Ketua Pembangkang dan 28 Ogos saya masuk Parlimen, 29 Ogos Perdana Menteri membentangkan Bajet (2009), saya akan duduk bertentangan mata dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Saya akan duduk tengok, tak tutup mata... ," kata Anwar dalam beberapa ceramah yang diikuti sepanjang 10 hari kempen di Permatang Pauh. Pasti beliau telah mengulangi perkara yang sama dalam ceramahnya yang tidak sempat dijejaki.
Berdasarkan tinjauan mStar Online yang dibuat, Anwar khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah pun melakukan kerja-kerja asas bagi memastikan beliau kembali ke Parlimen dari dulu lagi. Maklumat yang diperoleh menunjukkan Anwar sudah pun merancang untuk kembali bertanding di Permatang Pauh selepas beliau keluar penjara empat tahun lalu.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada salah satu ceramahnya minggu lalu, Anwar ada menyebut bahawa isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sudah pun meminta yang beliau harus bertanding semula di Permatang Pauh.
Jadi, ia menunjukkan Dr. Wan Azizah hanya menjadi "penjaga" atau "caretaker" kerusi berkenaan yang disandang Anwar dari 1982 atas tiket Barisan Nasional (BN).
Larangan tidak boleh memegang jawatan politik dan bertanding telah membataskan beliau daripada bertanding sehingga April lalu. Pilihan raya umum diadakan 8 Mac, lima minggu lebih awal sebelum larangan itu berakhir.
Strategi untuk Anwar bertanding dan memenangi kerusi berkenaan telah disusun rapi sejak setahun lalu sebagai tambahan apa yang telah dibuat sejak April 2004. Pendek kata langkah untuk membolehkan Anwar kembali sebagai Ahli Parlimen telah dilakukan dengan terperinci dan tersusun. Pemerhatian ke pusat-pusat operasi PKR juga menunjukkan situasi tersebut.
"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment