PP: Pakatan Rakyat yang yakin akan menubuhkan kerajaan persekutuan yang baru pertengahan bulan depan sudah pun memiliki dua kerusi tambahan di Parlimen?
Jika mengambil kira ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berkempen di kawasan Seberang Jaya malam tadi nampaknya Pakatan Rakyat sudah pun memiliki 84 kerusi.
Hendak mengatakan Anwar, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersilap sebut, tidak mungkin.
Dalam ceramahnya itu Anwar berkata: "Kita sudah ada 82 kerusi, bukan, kita sudah ada 84 kerusi (di Dewan Rakyat)."
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, Pakatan Rakyat akan berupaya membentuk kerajaan selepas beliau memenangi pilihan raya kecil kerusi Permatang Pauh.
Pengundian pilihan raya kecil ini akan berlangsung Selasa ini.
Pada pilihan raya umum Barisan Nasional (BN) memperoleh 140 kerusi manakala Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS mendapat 82 kerusi.
Salah satu perkara yang menjadi modal kempen ialah keupayaan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan menjelang 16 September ini.
Pakatan Rakyat memerlukan 30 kerusi lagi untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baru.
Dalam ucapannya sejak kempen bermula, Anwar telah berkali-kali menyebut bahawa pihaknya akan memperoleh sokongan besar ke arah itu. Ia termasuklah sokongan wakil rakyat BN dari Sabah dan Sarawak.
Ketua Penerangan PKR, Tian Chua ketika ditanya mengenainya mengesahkan kebenaran apa yang diperkatakan oleh Anwar malam tadi.
"Ya, betul," katanya.
Adakah Anwar merujuk kepada kemungkinan dua kerusi Parti Maju Sabah (SAPP), Tian Chua memberikan formula yang lain.
Katanya, dua kerusi itu tidak membabitkan SAPP, sebaliknya Gerakan.
Kata Tian Chua, pihaknya "sangat pasti dengan kemungkinan dua anggota Gerakan akan menyertai Pakatan Rakyat."
"Lagipun SAPP mengatakan bahawa parti itu akan kekal dengan BN walaupun tidak yakin dengan kepimpinan"(BN)," katanya.
Tiga hari lalu, Naib Presiden PKR, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan mendakwa 15 anggota Parlimen dari Sabah akan melompat parti menyertai Pakatan Rakyat jika Datuk Seri Anwar Ibrahim menang pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini.
Menurutnya, kesemua 15 anggota Parlimen itu sebenarnya telah menemui beliau secara peribadi dan menyatakan sokongan terhadap Anwar.
No comments:
Post a Comment