"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Saturday, August 23, 2008

Siasat Kickdefella Dibawah Akta Hasutan

Laman web pro UMNO tajaan seorang Menteri memanggil rakyat Malaysia untuk menyembelih saya dan untuk membunuh saya. Tidak mengapa, saya hanya insan kecil berbanding dengan mereka ahli-ahli UMNO yang berkuasa lebih dari pihak polis. Perjuangan saya pun sekadar membela nasib insan-insan kerdil tentu sekali berbeza dengan perjuangan segelintir pengunjung laman web tersebut yang perjuangan mereka membela elit-elit di dalam UMNO.

Tentu sekali saya halal untuk disembelih dan dibunuh kerana saya menebalikkan bendera Malaysia yang tidak salah disisi undang-undang. Sebab itu kes saya disiasat di bawah akta hasutan bukan kerana menghina bendera Malaysia. Tentu sekali elit-elit UMNO yang merampas hak dari rakyat Malaysia yang lebih layak tidak bersalah. Tentu sekali elit UMNO yang mengarahkan supaya perwakilan di Kubang Pasu di sogok supaya tidak memilih Tun Dr. Mahathir sebagai perwakilan yang serius mahu bersuara di Perhimpunan Agung UMNO tidak bersalah, kerana tindakan mereka ini semua adalah demi agama, bangsa dan negara.

Suatu ketika pada sewaktu negara dilanda kegawatan ekonomi, saya terbaca secebis berita di akhbar. Berita itu mengisahkan bagaimana mayat seorang lelaki bersama anaknya ditemui di bawah bangunan. Lelaki itu dipercayai terjun dari puncak bangunan bersama anaknya. Menurut berita itu, pihak polis menemui satu botol susu di puncak bangunan. Adalah dipercayai, lelaki itu menyusukan anaknya sebelum memeluk anaknya dan terjun bersama-samanya. Lelaki itu dan anaknya adalah warganegara Malaysia. Siasatan polis mendapati lelaki itu mengalami masalah rumahtangga dan berpisah dengan isterinya setelah kehilangan kerja. Apakah benar dia rakyat Malaysia atau dia sekadar statistik?

Beberapa minggu yang lalu, secebis berita di dada akhbar melaporkan bahawa seorang lelaki dan anak-anaknya ditemui mati di dalam rumahnya. Anak-anaknya diberi minum racun dan setelah anak-anaknya mati, lelaki itu mengambil tindakan membunuh diri. Siasatan polis mendapati lelaki itu mengalami masalah rumahtangga setelah hilang pekerjaan. Lelaki itu dan anak-anaknya adalah warganegara Malaysia yang bernaung dibanwah Jalur Gemilang yang kita banggakan. Tetapi lelaki itu hanyalah statistik.

Saya boleh bayangkan betapa sedih dan sebaknya kehidupan mereka. Ramai yang turut memahaminya tetapi tidak bersetuju dengan tindakan mereka mencabut nyawa anak-anak mereka. Tetapi selain dari sekadar merasa tidak bersetuju pernahkan kita bertanya kepada diri kita, apakah yang telah kita lakukan bagi membantu mereka supaya mereka tidak mengambil tindakan sedemikian?

Tentu sekali jawapan kita ialah kita pasti membantu mereka jika kita kenali mereka, malangnya kita tidak mengenali mereka. Mereka hanya insan kecil. Tak lebih sekadar statistik.

Tetapi apakah yang kita lakukan untuk mengelakkan dari perkara yang sama berulang. Apakah yang mampu kita lalukan supaya insan-insan kerdil ini tidak hilang pekerjaan. Supaya mereka tidak mengalami masalah rumahtangga dan supaya tidak mereka mengambil jalan singkat bagi menyelesaikan masalah mereka itu?

Mungkin juga jawapan kita ialah bagaimana kita mahu membantu mereka kerana kita sendiri sudah nyawa-nyawa ikan.

Apakah sudah tiada penyelesaiannya? Setiap insan kecil atau besar pasti akan rasa jatuh bangun di dalam hidup kita. Bagi yang mempunyai kekuatan pegangan agama, di saat-saat jatuh itulah kita akan merasa begitu hampir dengan Pencipta kita. Bagi mereka yang tidak berkesempatan memiliki pengangan sekuat itu, kekucar-kaciran hidup waktu itu pasti begitu menekan. Bagaimana kita menyelesaikannya?

Saya kesal dan saya risau. Perkembangan ekonomi yang tidak menentu ini sudah pasti melahirkan pelbagai kerumitan. Ramai rakyat Malaysia yang bernaung di bawah Jalur Gemilang akan mengalami tekanan ekonomi dan sebahagiannya akan menjangkiti rumahtangga mereka.

Tindakan kerajaan menurunkan harga minyak sebelum Pilihanraya Kecil Permatang Pauh amat saya yakin tidak akan dapat menurunkan kos harga barang keperluan, kos pengangkutan awam dan kos sara hidup yang telah meningkat akibat tindakan Kerajaan menaikkan kos bahan bakar pertengahan tahun ini. Bagaimana penurunan harga minyak ini tetap akan membantu menurunkan sedikt bebanan rakyat Malaysia yang memiliki kenderaan.

Bagaimana dengan mereka yang tidak memiliki kenderaan? Saya menyokong tindakan Kerajaan menurunkan harga minyak ini. Ini membuktikan bahawa seruan Pakatan Rakyat bahawa harga minyak tidak sepatutnya dinaikkan dan harga minyak boleh diturunkan terbukti benar.

Berbalik kepada laporan polis yang dibuat ke atas saya dan seterusnya siasatan di bawah akta hasutan yang menyusul menyebabkan saya musykil. Mengapa saya tidak didakwa kerana menebalikan bendera Malaysia? Adakah saya ini penghasut? Adakah dengan mengenengahkan persepsi saya terhadap sikap Kerajaan yang menindas golongan kecil ini adalah satu cubaan menghasut yang boleh memporak-perandakan negara?

Saya protes terhadap ahli-ahli politik yang tidak serius menangani masalah yang dialami rakyat akibat ekonomi yang tidak menentu yang mengakibatkan kos hidup melonjak. Saya menyeru rakyat Malaysia di alam maya supaya turut serta protes terhadap ahli-ahli politik ini supaya rakyat-rakyat kerdil tidak terus kekal sebagai statistik. Saya tidak menyeru rakyat Malaysia berhimpun tanpa permit. Saya tidak menyeru rakyat Malaysia merasuah dan saya tidak menyeru rakyat Malaysia menghuru-harakan negara. Saya juga tidak menyeru supaya pemimpin negara atau mana-mana umat manusia disembelih dan dibunuh.

Foto bendera Malaysia yang terbalik bersama bendera Kelantan yang disiarkan diblog saya pada posting saya yang lalu di ambil oleh saya pada pertengahan tahun 2007. Insiden ini saya sedari sewaktu menghisap rokok di puncak bangunan pejabat saya. Kedua-dua bendera itu berada dihadapan Kompleks Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan. Setelah mengambil foto itu, saya menghubungi seorang pegawai di kompleks itu dan memberitahu bahawa bendera Malaysia berkibar secara terbalik. Seketika kemudian bendera itu dibetulkan semula. Tarikh sebenar kejadian itu masih ada didalam simpanan saya walaupun tiada pada saya pada saat ini. Pegawai yang menerima panggilan dari saya juga masih berkhidmat di Kelantan.

Saya juga diberitahu foto saya disebarkan di Permatang Pauh oleh pihak yang mengaku mewakili PEKIDA dengan arahan supaya saya dibelasah oleh sesiapa yang terjumpa saya di Permatang Pauh.

Saya hanya statistik dan rela menjadi sekadar statistik jika saya tidak dapat menyumbangkan secebis pun sumbangan supaya insan-insan kecil Malaysia tidak tinggalkan kita sebagai statistik.

Saya mengaku saya sedih dan derita melihat Jalur Gemilang dikibarkan terbalik tetapi saya lebih sedih dan tersiksa mengenangkan nasib rakyat Malaysia sekadar statistik. Tetapi saya tidak sedih dengan ugutan untuk disembelih dan dibunuh oleh segelintir penyokong UMNO. Saya takut, tetapi tidak sedih.

Salaam saya buat Timbalan Ketua Polis Negara.

-Kickdefella

1 comment:

Anonymous said...

Assalamualaikum W.B.T.

Saya bukan nka berhujah tetapi membetulkan tanggapan.
Saya adalah ahli Pekida dah juga terlibat dalam PRK Permatang Pauh.
Saya adalah orang yang bertanggungjawab untuk menyusun stategi untuk PRK tersebut. Kami membuka markas Pekida di Permatang Pauh.

Untuk membetulkan keadaan, kami di amanahkan unutk menjaga keselamatan semua pengundi termasuk pro kerajaan dan pembangkang. “TIADA SATU ARAHAN” pun yang membabitkan yang menyuruh pihak kami untuk membuat kacau dan saya sendiri tidak membenarkan seorang pun ahli Pekida membawa bendera atau menggantung bendera bagi mewakili PKR mahupun BN. Malah tiada arahan yang di terima untuk mengedarkan gambar unutk tujuan membunuh. Ia adalah satu fitnah.
Kepada yang membuat fitnah, baiklah segera bertaubat kepada Allah S.W.T.

Begitu juga ketika berada di Markas Pekida di Permatang Pauh. Tiada satu bendera PKR atau BN pun yang di gantung di kawasan kami. Bukan setakat bendera, air minuman pun tiada logo dari mana-mana parti.
Kami berdiri dan berkampung di situ adalah untuk menjaga jemaah Islam kawana parlimen tersebut. Bukan menjaga parti bertanding.

Alhamdulillah, ada pelbagai jemaah Islam yang datang memberi sumbangan tidak kira parti. Ada dari UMNO, ada dari PAS dan tak kurang juga dari ahli PKR sendiri.
Markas Pekida adalah untuk semua bukan untuk politik.

Jangan salah anggap dan mendengar sebelah pihak mengenainya. Tiada apa yang harus di takutkan. Kami menjaga keselamatan di samping menjalinkan siratulrahim di antara kita yang bersaudara.

1) Sabda Rasulullah S.A.W : “tidak akan masuk syurga bagi orang yg memutuskan silatulrahim” (hadis hasan soheh riwayat Imam Al-Tirmizi).

2) Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: “Janganlah kamu saling benci membenci, dengki mendengki dan sindir menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Haram seseorang muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga hari lamanya.”

Ada banyak hadis yang melarang kita semasa Islam bermusuhan.

Di akhir kata, saya mewakili Pekida Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang mengkhabarkan bahawa segala yang tertulis adalah fitnah.

Allah melihat apa yang kita lakukan.

Sekian

Wassalamualaikum W.B.T

-= hamba Allah =-

Perjuangankan Daulah Khilafah untuk kemakmuran Islam yang abadi.