"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Sunday, August 31, 2008

Peruntukan Terhad, Hujan Tidak Halang Kemeriahan Sambutan Ambang Merdeka

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Peruntukan terhad yang disediakan oleh kerajaan bagi sambutan ulang tahun ke-51 Hari Kebangsaan dan hujan renyai-renyai tidak melunturkan semangat patriotik rakyat untuk keluar meraikan sambutan Ambang Merdeka yang tetap meriah di beberapa lokasi di ibu negara Sabtu malam.

Bagi kira-kira 30,000 warga kota, lokasi utama ialah Dataran Merdeka yang juga satu-satunya lokasi tahun ini yang mempamerkan persembahan bunga api pada kiraan detik 12 malam.

Memeriahkan acara sambutan di Dataran Merdeka ialah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah yang tiba kira-kira 11.45 malam, disambut Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan merangkap Pengerusi Jawatankuasa sambutan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri Datin Seri Shuryani Shuaib.

Turut hadir beberapa menteri kabinet, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Abdul Hakim Borhan serta perwakilan asing yang turut serta menyambut kedatangan tanggal 31 Ogos 2008.

Acara kemuncak Ambang Merdeka dihangatkan dengan laungan "MERDEKA" sebanyak tujuh kali oleh Perdana Menteri diikuti upacara menaikkan Jalur Gemilang oleh peserta Program Latihan Khidmat Negara dan nyanyian lagu Negaraku secara beramai-ramai oleh orang ramai yang hadir.

Sambutan Ambang Merdeka diakhiri dengan pertunjukan bunga api selama 10 minit yang menyerikan langit ibu kota ketika para hadirin menyanyikan secara beramai-ramai lagu tema sambutan perayaan kali ini iaitu 'Perpaduan Teras Kejayaan'.

Terdahulu, sambutan Ambang Merdeka yang bermula seawal 8 malam dimeriahkan dengan persembahan pentas termasuk persembahan kesenian dan kebudayaan pelbagai kaum di Malaysia dan nyanyian artis jemputan seperti Datuk M. Daud Kilau, Dayang Nurfaizah, Raihan dan Meet Uncle Hussein.

Selain Dataran Merdeka, pelbagai program turut diadakan bagi menyambut ketibaan ulang tahun kemerdekaan negara termasuk di Taman Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Jalan Bukit Bintang.

Di KLCC lebih 10,000 orang mula berhimpun sejak 8 malam bagi menanti detik 12 malam yang menjadi tradisi upacara menyambut ulang tahun kemerdekaan negara.

Acara di KLCC diserikan lagi dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Acara kemuncak Ambang Merdeka turut diserikan dengan persembahan artis tempatan antaranya Faizal Tahir, Aisyah, Rabbani, Sheila Majid, Reshmonu, Jacklyn Victor dan Butterfingers.

Di BUKIT BINTANG pula, sambutan ulang tahun kemerdekaan negara turut dikongsi bersama warga asing yang membanjiri kawasan pelancongan popular itu. Turut hadir ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Sementara menunggu detik 12 malam, warga kota yang berhimpun dihiburkan dengan pelbagai acara termasuk nyanyian daripada artis tanah air seperti Kumpulan Hijaz, Winnie Kok dan Manivanam selain persembahan kesenian.

Di SEREMBAN, Ambang Merdeka 2008 peringkat negeri diadakan di Jalan Yam Tuan iaitu di hadapan Bangunan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan di padang MPS di sini bermula 9 malam.

Sambutan di Jalan Yam Tuan itu diserikan dengan persembahan kebudayaan dan kesenian pelbagai kaum sama ada melalui seni suara, seni muzik, seni tari dan bela diri, persembahan kanak-kanak pelbagai kaum dari Tabika Perpaduan serta persembahan tarian berirama oleh kanak-kanak seni Persatuan Soka Gakkai.

Turut menyerikan lagi sambutan di Jalan Yam Tuan itu ialah perarakan Kembara Jalur Gemilang oleh Jabatan Perpaduan Negeri Sembilan di mana para peserta telah menjelajah seluruh Negeri Sembilan dengan diiringi 100 peserta 'Super Bike'.

Di padang MPS pula diadakan persembahan oleh Kumpulan Seni Budaya, Angkatan Seni Baru Yayasan Negeri Sembilan dan persembahan puisi Merdeka, selain persembahan artis terkenal seperti Ramli Sarip, Hattan, Ito, Syikin, Kopratasa, Ally Nor dan Mastura, Helmi D' Gimik, Abyshek, Kenny Lee, Nurul Azua serta pengacara dan pelawak Abby Yus.

Acara kemuncaknya ialah kiraan detik 12 tengah malam di mana Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan menaikkan Jalur Gemilang serta melaungkan 'Merdeka' sebanyak tujuh kali, diikuti nyanyian Negaraku, bacaan doa, persembahan lagu-lagu patriotik sebelum diakhiri dengan persembahan bunga api.

Di KUANTAN, lebih 10,000 orang membanjiri Dataran Jalan Tun Ismail, di sini untuk turut bersama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob melaungkan "Merdeka!" sebanyak tujuh kali.

Sambutan digamatkan lagi dengan persembahan bunga api kira-kira 15 minit yang menerangi bandar Kuantan.

Sebelum itu, pelbagai acara menarik diadakan bermula 9.30 malam, antaranya persembahan kebudayaan pelbagai kaum, nyanyian lagu patriotik, deklamasi sajak dan puisi selain persembahan hiburan.

Di PULAU PINANG, sambutan Ambang Merdeka diadakan di Jalan Ria berhampiran Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) dengan dihadiri Ketua Menteri Lim Guan Eng, ribuan rakyat negeri Pulau Mutiara itu dan para pelancong.

Acara malam ini dimulakan dengan tarian pembukaan pada 7.30 malam diikuti persembahan orkestra Cina dan nyanyian sebelum kiraan detik 12 malam yang turut dimeriahkan dengan percikan bunga api.

Di SHAH ALAM, sambutan Ambang Merdeka berlangsung dengan upacara perbarisan yang diadakan di Dataran Kemerdekaan.

Sejumlah 68 kontinjen dari pasukan keselamatan, agensi kerajaan persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan dan pancaragam sekolah menyertai perbarisan yang bermula kira-kira 10.30 malam.

Sambutan itu yang dihadiri Menteri Besar Tan Sri Khaled Ibrahim dan exco-exco kerajaan negeri turut disaksikan kira-kira 10,000 warga Selangor.

Acara itu turut dimeriahkan dengan perarakan 25 buah kereta antik Volkswagen daripada ahli forum Volkswagen Malaysia.

Acara kemuncak sambutan Ambang Merdeka di Selangor turut diserikan dengan percikan bunga api selama kira-kira tujuh minit selepas detik 12 malam.

Di TERENGGANU, sambutan Ambang Merdeka buat julung kalinya diadakan di Mini Stadium Majlis Perbandaran Kemaman dengan dihadiri oleh lebih 5,000 orang termasuk Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said serta barisan Exco dan Ketua-ketua jabatan.

Pelbagai acara menarik seperti Forum Perdana Kemerdekaan bertajuk Perpaduan Teras Kejayaan', bacaan al-Quran oleh peserta Akademi al-Quran TV9, persembahan nasyid oleh kumpulan UNIC, perarakan Semarak Merdeka yang turut disertai oleh pasukan berkuda seramai 51 orang daripada Persatuan Equine Terengganu diadakan sebelum menanti detik 12 malam.

Ia diikuti perarakan pembawa bendera disertai oleh 51 anggota Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Seberang Takir, Kuala Terengganu sebelum Jalur Gemilang berkenaan diberikan kepada Ahmad untuk diserahkan kepada Ketua Komander Perarakan.

Tepat detik 12 tengah malam, Ahmad mengetuai laungan "merdeka" sebanyak tujuh kali diikuti dengan persembahan bunga api.

Di KUCHING, sambutan Ambang Merdeka berlangsung di Panggung Udara, Jalan Taman Budaya di sini dengan acara kemuncak menanti detik 12 tengah malam.

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud bersama-sama kenamaan lain antara lebih 5,000 orang yang berkumpul di situ.

Taib pada acara yang sama juga turut menerima penyerahan Jalur Gemilang daripada Ketua Konvoi Kembara Jalur Gemilang 2008 (KMJG08) yang juga Pengarah Penerangan Sarawak Resat Salleh.

KMJG08 bermula pada 17 Ogos lepas dan berakhir pada malam ini bertujuan memeriahkan serta menyemarakkan lagi sambutan 45 tahun Sarawak maju dalam Malaysia dan bulan kemerdekaan tahun ini.

Program itu membabitkan 12 kenderaan dengan 47 perserta dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta swasta, dan juga badan-badan bukan kerajaan, berkonvoi ke destinasi terpilih sepanjang tempoh itu.

No comments: