"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Wednesday, October 01, 2008

220 penduduk sambut Aidilfitri dalam suasana banjir

YAN 30 Sept. - Kira-kira 220 penduduk terpaksa meraikan Aidilfitri dalam suasana sayu apabila rumah mereka ditenggelami air dalam kejadian banjir Kampung Titi Teras dan kepala Bukit di sini hari ini.



Pegawai Daerah Yan, Ahmad Fisol Md. Nor berkata, hujan lebat yang berterusan sejak petang semalam telah menyebabkan 44 buah rumah di kedua-dua kampung itu dinaiki air bermula pukul 2 pagi.



''Bencana banjir ini merupakan kejadian kedua dalam bulan ini yang turut melibatkan mangsa yang sama.



''Bagaimanapun, sehingga kini tiada mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan kerana paras air masih selamat iaitu berada di paras 4.6 meter," katanya yang sempat membuat tinjauan di kedua-dua buah kampung hari ini.



Menurut Ahmad Faisol, pihaknya membuat pelbagai persediaan termasuk Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), pasukan 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) yang diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sekiranya hujan masih berterusan.



Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Titi Teras, Minah Latif, 58, berkata, dia tetap akan membuat persiapan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri esok walaupun rumahnya ditenggelami air.



Bukan halangan



''Saya tetap menyediakan juadah seperti ketupat dan rendang seperti setiap kali ketibaan lebaran walaupun dalam bah (banjir).



''Lain rasanya berhari raya tanpa juadah wajib ini. Banjir bukan halangan untuk kami anak-beranak menikmati ketupat dan rendang terutama pada pagi 1 Syawal," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya.



Bagi Siti Khalijah Ishak,42, dia berasa hampa kerana berkemungkinan tidak sempat menyediakan juadah untuk sambutan Aidilfitri kerana tidak dapat ke kedai untuk membeli barang keperluan.



''Tak dan (sempat) nak pi (pergi) beli apa-apa. Hujan lebat sejak semalam. Rasanya tak masak apa-apa, tambah-tambah rumah pun dah tenggelam," ujarnya sayu.



Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Guar Cempedak, Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail yang sempat meninjau mangsa-mangsa banjir berkata, beliau berharap pihak yang berwajib perlu mengambil langkah yang sesuai bagi menangani masalah banjir yang sering berlaku di kawasan berkenaan.



''Mereka (pihak berkaitan) perlu mencari penyelesaian jangka panjang untuk mengatasi masalah banjir yang sering terjadi di kawasan ini.



''Banjir ini merupakan kali kedua yang perlu dihadapi oleh mereka (penduduk).



Tambahan pula dalam keadaan umat Islam menanti ketibaan 1 Syawal, bantuan segera amat diperlukan," katanya.



Beliau turut mencadangkan agar sebuah empangan atau kawasan tadahan air dibina berhampiran kawasan berkenaan bagi mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku.

No comments: