"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Wednesday, October 01, 2008

Muhyiddin Belum Putuskan Jawatan Untuk Ditandingi

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Walaupun satu atau dua bahagian Umno menyuarakan hasrat mereka untuk mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanding bagi salah satu daripada dua jawatan tertinggi parti, naib presiden Umno itu berkata beliau masih belum membuat keputusan mengenai jawatan yang akan ditandinginya dalam pemilihan parti yang dijadualkan Mac depan.

"Semua ini (mengenai siapa yang akan bertanding bagi apa-apa jawatan) bergantung kepada kata putus muktamad yang akan dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi," kata beliau apabila diminta mengulas akan pelan peralihan kuasa dan pemilihan parti.

Oleh itu, Muhyiddin berkata, beliau hanya akan mengumumkan keputusannya selepas perdana menteri membuat keputusan.

"Saya perlu melakukannya. ia perlu dibuat cepat, sebelum mesyuarat bahagian-bahagian bermula. Sebab itulah saya mahukan isyarat atau keputusan daripada Perdana Menteri," kata beliau apabila ditanya akan jawatan yang beliau akan bertanding.

Abdullah, apabila mengumumkan penundaan mesyuarat agung Umno dari Disember 2008 ke Mac 2009, berkata beliau hanya akan membuat keputusan sama ada akan mempertahankan jawatannya sebelum 9 Okt. Mesyuarat bahagian-bahagian akan bermula pada 9 Okt.

Mengikut rancangan asal Abdullah, yang juga presiden Umno, sepatutnya menyerahkan kuasa kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Timbalan Presiden Umno pada Jun 2010. Tetapi tarikh itu telah dibawa ke hadapan.

Ditanya sama ada peralihan kuasa yang diwar-warkan pada Mac 2009 hanya satu andaian, Muhyiddin berkata: "Saya pengerusi jawatankuasa perlembagaan. Saya tidak percaya dengan andaian. Apabila ia sudah jelas, maka jelaslah."

Mengenai jawatan yang beliau akan bertanding, Muhyiddin berkata ia bergantung kepada apa yang dianggap sesuai oleh anggota parti bagi beliau.

Ditanya sama ada anggota-anggota parti bertindak wajar dengan mengumumkan calon-calon yang mereka akan sokong, beliau berkata itu adalah hak mereka. "Itu hak anggota, seperti yang dikatakan oleh Datuk Seri Najib.

Mereka boleh putuskan kepimpinan macam mana yang mereka mahu. Ia tidak bercanggah dengan perlembagaan.

"Bagaimanapun adalah baik jika dapat tunggu pengumuman perdana menteri akan keputusannya.

Dari situ, kita akan dapat isyarat sama ada presiden yang ada sekarang akan bertanding dan ini akan menghentikan pelbagai andaian dan ketidaktentuan," katanya.

Mengenai hasrat Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding bagi jawatan presiden, Muhyiddin berkata sebagai anggota Umno beliau bebas untuk bertanding bagi mana-mana jawatan tetapi terpulang kepada bilangan pencalonan yang beliau terima.

"Kita sebuah parti demokratik," katanya merujuk kepada Umno.

Muhyiddin juga menjelaskan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) akan dimaklumkan mengenai perkembangan rancangan peralihan kuasa apabila masanya sesuai.

No comments: