"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Wednesday, October 01, 2008

Exco Selangor kecewa pegawai MPAJ digantung tugas

SHAH ALAM 30 Sept. - Exco Kerajaan Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad terkejut dengan tindakan kerajaan campuran negeri menggantung tugas Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaraan Ampang Jaya (MPAJ), Abdul Hamid Hussain berhubung isu merobohkan Kuil Sri Maha Kaliamman terletak di Kampung Tasek Tambahan baru-baru ini.



Beliau berkata, perkara tersebut sepatutnya dibincang terlebih dahulu di kalangan semua Exco sebelum membuat sebarang keputusan dan bukan dilakukan oleh individu-individu tertentu.



Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cempaka itu berkata, sepanjang pengetahuannya, tiada sebarang mesyuarat atau perbincangan melibatkan semua Exco diadakan berhubung tindakan tersebut.



"Saya amat terkejut bila mengetahui Abdul Hamid digantung tugas berhubung isu kuil Hindu yang dirobohkan di Ampang.



"Setahu saya, tiada mesyuarat atau perbincangan di kalangan Exco diadakan bagi memutuskan tindakan disiplin ke atas Abdul Hamid," katanya dalam kenyataan akhbar yang dihantar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada wartawan di sini hari ini.



Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu mengumumkan bahawa Abdul Hamid digantung tugas selama seminggu bagi membolehkan siasatan dilakukan berhubung kejadian merobohkan kuil Hindu oleh MPAJ, dua minggu lalu.



Menurut Ronnie, Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam Selangor yang dianggotai oleh tiga Exco, iaitu Teresa Kok, Dr. A. Xavier Jayakumar dan beliau sendiri telah pun memulakan siasatan mengenai kes itu.



Abdul Samad memberitahu, walaupun isu berkenaan amat sensitif, kerajaan negeri sepatutnya tidak menjadikan pegawainya yang melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab sebagai mangsa.



Katanya, penggantungan Abdul Hamid hanya akan menyebabkan para pegawai kerajaan negeri berada dalam keadaan serba salah dan sukar untuk menjalankan tugas seharian.



"Sekiranya mereka berdepan dengan sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang pada masa depan, adakah mereka perlu menutup sebelah mata kerana tidak mahu tindakan mereka dianggap tidak sealiran dengan politik semasa?" ujarnya.



Beliau khuatir tindakan disiplin itu akan menjatuhkan moral pegawai-pegawai kerajaan negeri yang sentiasa berusaha untuk mencapai objektif organisasi.



Iskandar berharap isu berkenaan dapat diselesaikan secepat mungkin kerana beliau menerima banyak maklum balas daripada pelbagai pihak yang menyuarakan kemarahan serta kekecewaan berhubung isu tersebut.

No comments: