"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Saturday, November 22, 2008

Gejala Rasuah Sukar Dibendung Walaupun Najib Jadi PM, Kata Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Gejala rasuah dan politik wang dalam Umno tetap sukar dibendung meskipun Datuk Seri Najib Tun Razak bakal menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno Mac depan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu turut mempersoalkan sama ada peralihan kuasa yang dicadangkan antara Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Najib mampu untuk memulihkan semula parti.

"Apakah dengan peralihan kuasa itu dapat memulihkan parti? Saya tidak boleh yakin lagi kerana saya belum lagi nampak Najib mampu menyelesaikan masalah rasuah dan politik wang.

"Kita tidak akan dapat semula Umno yang bersih untuk mewakili kita selagi ia tidak dibendung," katanya pada wacana "Dilema Melayu" anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) di sini hari ini.

Beliau berkata gejala itu agak sukar dikawal berikutan telah menjadi satu budaya dalam kalangan anggota Umno yang mahukan sesuatu jawatan terutamanya menjelang perhimpunan Agung Umno pada Mac depan.

Dr Mahathir juga berkata sekiranya Umno tidak kembali kepada perjuangan asal, parti itu akan dilihat tidak lagi relevan untuk bangsa Melayu.

Katanya kepimpinan melalui teladan adalah contoh yang terbaik di samping usaha berterusan membanteras rasuah.

"Kita mahukan pimpinan yang tegas dan mengambil sebarang tindakan terhadap sesiapa sahaja yang terlibat. Untuk ahli, kalau pemimpin itu terlibat dengan rasuah, jangan pilih dia.

"Kita tak boleh harap pembaharuan boleh dilakukan dalam Umno dan mereka harus ingat, kalau orang tidak memberi undi mereka tidak boleh menang atau sekiranya mereka menang dalam pemilihan parti, tak semestinya mereka akan menang pilihan raya," katanya.

Sementara itu, dalam sidang akhbar, Dr Mahathir ketika ditanya sama ada telah mengemukakan sebarang nama untuk dikenakan tindakan disiplin kerana terlibat dengan politik wang dan rasuah, hanya berkata beliau tidak ada berbuat demikian.

"Saya tidak ada cadangan untuk berbuat demikian (mengemukakan nama) kerana ramai yang telah hantar laporan salah laku kepada Jawatankuasa Disiplin parti," katanya.

Beliau berkata meskipun laporan telah dibuat, apa yang menjadi keutamaan adalah melihat laporan itu disusuli tindakan.

Mengulas mengenai keputusan Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz yang mahu mempertahankan jawatannya, Dr Mahathir berkata: "Itu terpulang kepada dia. Apa yang penting pilih pemimpin yang tak terlibat dengan rasuah."

Dr Mahathir turut mengingatkan anggota parti supaya mengundi seseorang pemimpin dengan berdasarkan kebolehan dan bukannya kewangan.

No comments: