"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Saturday, November 29, 2008

Banjir: Penduduk Di Terengganu Dan Kelantan Mula Dipindahkan

Hujan lebat yang berterusan sejak tiga hari lepas menyebabkan beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu mula dinaiki air dan sehingga tengah hari ini kira-kira 900 orang dipindahkan di kedua-dua negeri itu.

Kira-kira 700 orang dari 109 keluarga di daerah Jeli dipindahkan ke pusat pemindahan banjir dan rumah keluarga mereka di Kelantan manakala jumlah yang dipindahkan di Terengganu sehingga pukul 12 tengah hari ini ialah 295 orang.

Di KELANTAN, seramai 34 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Lubok Bongor manakala 75 keluarga lagi berpindah ke rumah keluarga masing-masing apabila air mulai naik di Kampung Lubok Bongor, Kuala Balah dekat sini Sabtu pagi.

Sehingga 11 pagi ini, Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana Banjir Kelantan berkata kesemua mereka mula dipindahkan pada pukul 8.30 pagi.

"Sehingga kini hanya pusat pemindahan di jajahan Jeli yang dibuka manakala belum ada laporan mengenai jajahan lain di negeri ini," katanya.

Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan berkata Sungai Golok di Jenob kini melebihi paras bahaya iaitu 24.04 meter (paras bahaya 23.5 meter), manakala lima daripada lapan sungai utama di negeri ini -- Sungai Galas di Dabong, Sungai Lebir di Tualang, Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Kelantan di Kusial dan Sungai Golok di Rantau Panjang -- melebihi paras berjaga-jaga.

Di KUALA TERENGGANU, empat daerah di Terengganu yang terlibat setakat ini ialah Setiu, Marang, Besut dan Hulu Terengganu.

Seramai 178 orang mangsa ialah dari daerah Setiu, 88 orang dari Marang, 19 orang dari Kampung Buluh di Besut dan sepuluh orang dari Kampung Bukit Diman, Hulu Terengganu.

jurucakap bilik gerakan banjir Pejabat Daerah Marang berkata setakat pukul 12 tengah hari ini, seramai 53 mangsa ditempatkan di Sekolah Rendah Kebangsaan Marang manakala 35 penduduk lagi di Sekolah Kebangsaan Kubu.

Kejadian tanah runtuh juga dilapor berlaku di Jalan Batangan ke Gong Beris pada pukul 11.15 pagi ini, katanya.

Pegawai Deerah Setiu, Mohd Kamil Othman berkata 59 mangsa banjir di daerah ini kini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Kampung Bukit, 70 orang di masjid Kampung Bukit, surau Tok Nandong (22) dan surau Kampung Merbau Menyusut (27).

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Supt Farid Mahmud ketika dihubungi berkata dua jalan di Setiu iaitu jalan Langkap-Sungai Tong dan jalan Kampung Sungai Tong ditutup kepada kenderaan ringan hari ini setelah dinaiki air.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu berkata paras air sungai di Kampung La di Besut, Kampung Kubu di Marang serta Kampung Langkap, Setiu mula meningkat hari ini.

Beliau berkata paras air sungai Kampung La setinggi 21.41 meter iaitu melepasi paras bahaya (19.2 meter), Kampung Kubu setinggi 13.76 meter (13.2 meter) manakala Kampung Langkap memasuki paras waspada setinggi 17.58 meter.

No comments: