Oleh Zukri Aksah
SAYA bukan ahli Umno, bukan juga penyokong Umno, kalau rasanya salah untuk saya menegur Datuk Seri, mencampuri urusan dalaman parti Datuk Seri, maka terlebih dahulu saya minta maaf.
Datuk Seri anggaplah surat ini di luar lingkup politik, jadinya saya adalah seorang rakyat biasa dan Datuk Seri selaku salah seorang penasihat Perdana Menteri adalah pemimpin negara, dari skop itu saya yakin ada kewajaran untuk saya memperkatakan sesuatu tentang Datuk Seri, termasuklah aktiviti Datuk Seri dalam parti yang Datuk Seri dukung, Umno!
Saya lihat senyum pahit Datuk Seri ketika Rafidah Aziz membuat pengumuman setelah bermesyuarat bersama Exco-Exco Wanita Umno, bahawa pelan peralihan kuasa Wanita Umno kekal pada Jun 2009.
Lucunya ia akan berlaku selepas hanya tiga bulan Perhimpunan Agung dan Pemilihan Umno berlangsung, iaitu pada Mac 2009, soalnya perlukan Rafidah Aziz bertanding sekali lagi untuk jawatan Ketua Wanita Umno kalau hanya akan memegangnya untuk tempoh tiga bulan?
Logiknya tiga bulan adalah satu tempoh yang amat singkat dan tidak cukup untuk Rafidah melakukan sesuatu yang mengesankan buat Umno.
Atau apakah benar seperti tilikan sesetengah pihak bahawa ini adalah perang taktikal Rafidah?
Saya kasihan melihat mendung di wajah Datuk Seri, saya dapat membaca yang kali ini politik telah meninggalkan luka yang sangat dalam di hati Datuk Seri, lebih parah berbanding dengan luka kekalahan pilihanraya umum 8 Mac yang lalu.
Bagi mewajarkan satu-satu peralihan kuasa yang berlaku tanpa pertandingan, orang sering menggunakan alasan muafakat, bahawa peralihan kuasa ini adalah bukti betapa tingginya semangat muafakat di kalangan wanita Umno, soalnya benarkah begitu? Saya tabik jika Datuk Seri menerima pelan peralihan kuasa ini atas dasar muafakat.
Datuk Seri mungkin secara naïf menerima bulat-bulat maksud muafakat itu, muafakat haruslah jujur, apakah mereka yang lain itu jujur?
Apakah mereka juga bermuafakat atau sedang berpakat-pakat untuk tujuan tertentu? Mengapa Datuk Kamilia Ibrahim menolak muafakat ini dan tidak hadir mesyuarat?
Saya difahamkan Datuk Kamilia ini sama bahagiannya dengan Rafidah Aziz, kalau muafakatlah anjuran Rafidah, kenapa dia tidak berupaya meyakinkan Datuk Kamilia untuk turut sama menerimanya?
Saya sebenarnya tertarik dengan ulasan seorang penganalisis politik bahawa ini adalah perang taktikal Rafidah Aziz, strateginya adalah untuk menjatuhkan dua orang dengan sekali serangan, serampang dua mata kata orang, menidakkan keupayaan Datuk Seri untuk memimpin dan menafikan peluang Azalina untuk bertapak dalam kepimpinan Wanita.
Walaupun ini hanyalah spekulasi, Datuk Seri harus punya pelan B untuk menghadapinya jika ia benar-benar berlaku.
Hari ini dalam sesetengah kes siasatan boleh dibuat hanya berdasarkan wujudnya surat layang! Jadi saya rasa Datuk Seri pun patut mula berstrategi sekarang.
Tidak boleh tidak, Datuk Seri perlu melakukan sesuatu demi kelangsungan dan masa depan politik Datuk Seri. Datuk Seri sudah berada dalam keadaan tersepit sekarang.
Menerima pelan peralihan kuasa bermaksud Datuk Seri kekal mempertahankan kedudukan Datuk Seri sebagai Naib Ketua Wanita Umno, tetapi kali ini Datuk Seri akan terpaksa berhadapan dengan pertandingan, menentang Datuk Kamilia Ibrahim!
Apakah Datuk Seri yakin yang Datuk Seri akan menang?
Bolehkah kita jangkakan akan wujudnya undi protes di kalangan Wanita yang telah mencalonkan Datuk Seri sebagai Ketua Wanita Umno, kerana marahkan sifat penakut dan berbaik sangka Datuk Seri, mereka akan mengambil keputusan memenangkan Datuk Kamilia, ke mana Datuk Seri selepas itu, dan apa akan jadi dengan pelan peralihan kuasa Jun 2009?
Satu lagi, jika Datuk Seri menentang Datuk Kamilia, Datuk Seri fikir Rafidah akan sokong siapa? Datuk Kamilia itukan sama bahagiannya dengan Rafidah.
Ya, jika Datuk Seri menolak pelan peralihan kuasa tersebut, Datuk Seri akan terpaksa menentang Rafidah Aziz, risikonya saya tahu sama, bila Datuk Seri kalah Datuk Seri tidak akan punya apa-apa lagi. Kalau dah ditelan mati mak, diluah mati bapak, baiklah kita lawan!
Sekurang-kurangnya angin perubahan yang sedang melanda Umno boleh Datuk Seri gunakan sebagai penyemarak kempen Datuk Seri. Rafidah bukan “iron lady” yang tidak boleh dikalahkan, carilah Dr. Siti Zaharah Sulaiman dan bergurulah dengannya.
Yang penting saya rasa orang akan lebih mengingat Datuk Seri sebagai pemimpin Wanita yang bermaruah jika ditakdirkan kecundang dalam pertembungan dengan Rafidah Aziz, berbanding jika Datuk Seri tewas secara memalukan di tangan Datuk Kamilia Ibrahim.
Mungkin orang akan kata saya ni mengarut, kenapa saya yang pembangkang ni sibuk-sibuk nak beri nasihat kepada Datuk Seri.
Tetapi seperti orang selalu cakap, apa-apa ribut, angin sangkakala, bahkan desiran bayu sekalipun yang melanda Umno, ia akan memberi kesan signifikan kepada pemerintahan negara ini.
Dan sebagai warganegara ini yang sah, saya berhak untuk berkata sesuatu.
Salam hormat.
Kalau ada jarum yang patah
Jangan disimpan di dalam peti
Kalau dah rasa serba-salah
Jangan bimbang ikutlah gerak hati
No comments:
Post a Comment