"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Tuesday, December 02, 2008

BANJIR: Amaran Dan Liputan Kawasan Terlibat - malaysiakini

Jabatan Meteorologi memberi amaran kemungkinan berlaku banjir di Kelantan dan Terengganu berikutan hujan sederhana kadangkala lebat di kedua-dua negeri yang dijangka berterusan hingga malam ini.

Jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, keadaan tersebut boleh menyebabkan banjir di kawasan tanah rendah dan tebing-tebing sungai.

Menurut kenyataan itu, daerah yang terbabit di Kelantan ialah Tumpat, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah dan Machang.

Di Terengganu, ia melibatkan daerah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu dan Dungun.

"Pada masa sama, hujan sederhana kadangkala lebat juga dijangka turun di kawasan sama termasuk di Jeli, Kuala Krai dan Kemaman mulai 5 hingga 8 Disember ini," katanya.

Di Pahang, hujan lebat diramalkan berlaku di Jerantut, Kuantan, Maran, Bera, Rompin dan Pekan.

Jabatan Meteorologi turut mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebar berserta angin kencang yang dijangka berterusan di Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

KUALA TERENGGANU - Sebuah rumah di Kampung Bukit Datu, Bukit Tunggal di sini roboh dihanyutkan air apabila tebing Sungai Terengganu runtuh akibat arus deras berikutan hujan lebat hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang ini, bahagian dapur sebuah lagi rumah berhampiran sungai itu turut terhakis dan hanya menunggu masa untuk roboh.

Bagaimanapun dalam kejadian itu, tiada kecederaan atau kematian dilaporkan kerana rumah yang dihanyutkan sungai itu tidak berpenghuni kerana pemiliknya berada di Johor.

KUANTAN - Semua 87 mangsa banjir daripada 17 keluarga di Kampung Bukit Kapur, Temerloh di sini telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing petang ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang berkata, kesemua mangsa dibenarkan pulang selepas banjir di kawasan kediaman mereka didapati pulih.

''Ekoran itu, pusat pemindahan di sebuah sekolah rendah di Kampung Bukit Kapur telah ditutup pada pukul 3.15 petang ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, seramai 13 mangsa daripada dua keluarga masih ditempatkan di Dewan Orang Ramai Ringlet ekoran banjir lumpur di kawasan tersebut.

KUALA TERENGGANU - Kampus Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Gong Badak hari ini terpaksa ditutup menyebabkan semua urusan pentadbirannya lumpuh berikutan banjir melanda kawasan itu sejak awal pagi ini.

Pihak pengurusan universiti itu mengisytiharkan hari ini sebagai cuti bencana alam berikutan jalan masuk ke universiti ditenggelami air sejak awal pagi menyebabkan kakitangan tidak dapat memasuki bangunan untuk memulakan tugas mereka pagi ini.

Hujan lebat yang bermula sejak pukul 1.30 pagi menyebabkan air naik setinggi 0.4 meter dalam tempoh sejam dan paras air kekal hingga tengah hari ini.

Bagaimanapun, tiada penuntut terlibat dalam banjir itu kerana sekarang ini mereka bercuti semester.

KOTA BHARU - Keadaan banjir di Rantau Panjang semakin buruk dengan jumlah mangsa yang terpaksa meninggalkan rumah meningkat kepada 962 orang.

Kesemua mereka kini berada di lapan buah pusat pemindahan di daerah itu.

Bagaimanapun, jurucakap Bilik Gerakan Banjir negeri ketika dihubungi di sini hari ini memberitahu, paras air Sungai Golok sehingga pukul 5 petang ini surut sedikit kepada 10.26 meter berbanding 10.31 meter petang semalam.

Dalam keadaan hujan yang berterusan, ia masih menimbulkan kebimbangan penduduk.

Jurucakap itu berkata, jumlah mangsa yang dipindahkan ke 18 pusat pemindahan akibat banjir di seluruh negeri ini adalah seramai 1,238 orang yang melibatkan 295 keluarga.

Jumlah tersebut menunjukkan sedikit penurunan setelah keadaan banjir di jajahan Jeli, Tanah Merah dan Kuala Krai hampir pulih.

“Di Jeli, hanya 47 mangsa daripada 13 keluarga masih ditempatkan di sebuah pusat pemindahan berbanding semalam iaitu seramai 123 daripada 32 keluarga.

‘‘Di Kuala Krai, hanya terdapat 92 daripada 18 keluarga di dua pusat pemindahan, manakala 91 lagi mangsa di Tanah Merah,” ujar beliau.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran negeri pula berkata, dua sungai utama di Kelantan menunjukkan peningkatan paras air.

Bacaan paras air Sungai Dabong di Kuala Krai setakat pukul 5 petang ini, meningkat kepada paras 29.67 meter, namun masih pada peringkat waspada.

Dalam pada itu, Sungai Jenob di Tanah Merah menunjukkan paras air meningkat kepada 21.47 meter dan diletakkan pada peringkat yang sama.

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 1,909 penduduk di empat daerah yang dilanda banjir di negeri ini masih berada di pusat pemindahan banjir berikutan air yang melimpahi kampung mereka masih tidak surut sehingga pukul 5 petang ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir negeri berkata, kesemua mangsa ditempatkan di 20 pusat pemindahan banjir iaitu lapan di Marang, Kuala Terengganu (sembilan), Setiu (satu) dan Besut (dua).

''Seramai 1,147 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Kuala Terengganu, manakala di Setiu (tujuh orang), Besut (69 orang) dan Marang (686 orang)," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

KOTA BHARU - Korban terbaru membabitkan seorang kanak-kanak, Nor Amalia Ayob, 11, dan seorang remaja, Salman Hakimi, 16, apabila mereka lemas setelah dihanyutkan arus deras.

Dalam kejadian di Kampung Kayu Rendang, Melor, dekat sini, mayat Nor Amalia ditemui di dalam tali air kira-kira 200 meter dari tempat dia terjatuh, kira-kira pukul 1.30 petang ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi ketika dihubungi di sini hari ini berkata, mangsa ditemui penduduk kampung yang bersama dengan pihak bomba dalam operasi mencari mangsa.

No comments: