"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Friday, December 05, 2008

Zaid Ibrahim jadi mangsa politik Umno

DALAM era kepimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, kebiasaannya beliau dilihat cukup lemah dan lembik. Banyak perkara, rakan-rakannya dalam kabinet sendiri, kurang bersetuju dengan kelemahan dan kelembikannya itu.

Tetapi dalam kes Dato' Zaid Ibrahim yang dipecat dari Umno, 2 Disember 2008 yang lalu, Abdullah dilihat terlalu keras dan gopoh. Samalah dengan kegopohannya ketika beliau bertindak terhadap Dato' Ahmad Ismail.

Secara umumnya, ramai yang melihat Zaid memang mempelawa Umno memecatnya. Jika tidak, tentulah dia sendiri yang akan menulis surat meminta untuk keluar dari Umno, kerana dari segi prinsip berparti, Umno memang tidak dapat membenarkan anggotanya menjadi tetamu di mana-mana majlis rasmi parti pembangkang.

Dalam politik Umno, Zaid sebenarnya melalui laluan yang cukup sukar untuk menjadi Ketua Umno Bahagian Kota Bharu. Dia banyak kali kalah sebelum akhirnya menang.

Dalam Umno Kelantan, Zaid memang agak keras tindak-tanduknya walaupun, melihat kepada wajahnya, dia seorang yang mudah untuk diajak berkira.

Dalam Pilihan Raya Umum 2004, ketika semua Ketua Bahagian Umno sepakat mahu bertanding di peringkat Dun bagi melawan Pas, Zaid berkeras mahu bertanding di Parlimen. Kecoh seketika di Kota Bharu, kerana Umno mahu mencalonkan bekas KP DBKL, Dato' Nordin Razak sebagai calon MP Kota Bharu, tetapi Zaid tidak bersetuju.

Akhirnya, ketika Annuar Musa (Ketereh), Mustapa Mohamed (Jeli), Romzi Abdul Rahman (Kuala Krai), Kamaruddin Md Nor (Pasir Puteh), Dato' Norzaidi (Tumpat) dan beberapa orang lagi bersetuju bertanding di peringkat Dun, Zaid, tetap mahukan Parlimen.

Zaid pernah dilantik menjadi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan. Zaid pernah bercadang mahu bertanding kerusi Naib Presiden Umno.

Zaid akhirnya dilantik menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, walaupun ketika dia tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam Umno di peringkat bahagian mahupun Majlis Tertinggi (MT).

Namun, Zaid bukan 'budak-budak yang boleh dipujuk dengan gula-gula'. Dia merasakan dia tidak berjaya membawa apa-apa perubahan dalam Umno dan kerajaan ketika dia duduk di situ.

Akhirnya, selepas dia membuat kenyataan tidak bersetuju dengan ISA, Zaid menyatakan hasrat mahu berundur dari kabinet.

Ketika yang lain-lain, berebut-rebut melobi mahu menjadi Menteri, timbalan menteri, berbeza dengan Zaid. Dia tidak memerlukan semuanya itu, kecuali mahu melakukan perubahan.

Bila dia merasakan dia tidak boleh melakukannya, kerana halangan-halangan tertentu, dia memilih untuk berundur. Pendirian Zaid mengenai kehakiman di Malaysia, amat mengecilkan hati bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun pendirian Zaid, bukan untuk menjaga hati mana-mana individu. Zaid bercita-cita besar mahu membuat perubahan kepada sistem kehakiman dan sistem perlantikan hakim di negara ini.

Malahan, ramai yang percaya, rakan-rakan Zaid dalam kabinet juga tidak bersetuju dengan cita-cita dan keazaman Zaid itu. Tetapi, Zaid adalah Zaid. Dia berusaha melakukannya sehinggalah, dia pasti dia tidak akan termampu melakukannya.

Apakah iltizam yang Zaid ada ini turut ada di dada semua anggota kabinet yang mewajahi kerajaan Malaysia sekarang? Jawapannya tentulah tidak ada.

Di Malaysia, mereka bukan sahaja tidak bersetuju dengan suara-suara yang agak berlainan sedikit, malahan, mereka akan menginjak-injak citra baik yang ditinggalkan oleh seseorang.

Hari ini, citra Zaid Ibrahim mahu dihancurkan oleh mereka yang tidak bersetuju dengannya termasuk dalam isu ex-gratia dahulu. Sedaya upaya, mereka mahu melupakan kebaikan yang ada Zaid lakukan, tetapi mereka mahu memberi gambaran bahawa Zaid tidak tahu prinsip sebagai anggota parti yang menyebabkan dia akhirnya dipecat.

Zaid seorang yang vocal kalau bercakap. Dia pernah dikenakan tindakan disiplin bukan kerana kesalahan yang didakwa dilakukannya sebaliknya dia dikenakan tindakan kerana dia mengkritik Lembaga Disiplin Umno.

Barangkali, Zaidlah satu-satunya anggota Umno yang dikenakan tindakan kerana mengkritik Lembaga Disiplin.

Satu perkara lagi, ketika Zaid dikenakan hukuman pengantungan selama 18 bulan, jawatannya sebagai Ketua Umno Bahagian Kota Bharu 'dikorbankan'. Umno, ketika melakukan pengorbanan, tidak mengira ianya bulan 'korban' atau tidak.

Jawatan Zaid sebagai Ketua Umno Bahagian Kota Bharu tidak dikembalikan semula kepadanya, walaupun tempoh hukuman sudah selesai dijalani.

Kalau MT Umno faham makna perkataan 'pemangku'...tentulah jawatan Ketua Umno Bahagian Kota Bharu diserahkan kembali kepada Zaid. Dato' Mohd Fatmi Che Salleh yang ketika itu merupakan timbalan ketua bahagian, dilantik menjadi pemangku ketua bahagian, apabila Zaid kenakan hukuman.

Malangnya, Zaid yang dihukum selama 18 bulan, tetapi perlantikan Mohd Fatmi sebagai pemangku dilantik selama tiga tahun atau, sepenggal.

Kerana apa jadi begitu? Kenapa Zaid tidak dipecat sahaja ketika itu dan Mohd Fatmi terus diumumkan sebagai Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, menggantikan Zaid.

Disebabkan Mohd Fatmi dilantik menjadi pemangku, maka adalah hak Zaid menuntut semula jawatan itu dari pemangkunya, sebaik sahaja dia dilepaskan dari hukuman!

Biasanya penggunaan perkataan 'pemangku' diberikan kepada mereka yang memangku tugas seseorang sementara orang itu keuzuran, pergi mengerjakan haji dan sebagainya.

Bila mereka sudah pulih dari keuzuran dan pulang dari mengerjakan haji, kembalikanlah jawatan mereka semula.

Namun, Umno tidak faham apa makna perkataan pemangku dan menyebabkan Zaid 'dianiya' hinggalah dia akhirnya tidak layak untuk bertanding jawatan ketua bahagian, kerana gagal mendapat cukup kuota bagi pertandingan tersebut.
Di depan Zaid sekarang, ada tiga parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat. Pilihlah mana-mana satu yang dia suka, kerana agenda perjuangannya masih ada.

Hanya dengan berparti sahaja, suaranya akan menjadi lebih berkesan dan lebih didengar.

Dari segi logik mudah, PAS adalah yang paling sesuai buat Zaid, kerana dia orang Kelantan. Di Kelantan, jika tidak minat dengan Umno, PAS adalah pilihan yang paling sesuai.

Begitulah sebaliknya. Jika tidak bersetuju dengan PAS, pilihlah Umno kerana sejak dahulu, memang orang Kelantan hanya kenal PAS dan Umno sahaja, walaupun ada Berjasa, Hamim, Semangat 46, Keadilan dan DAP.

Untuk menjadi Ahli Parlimen semula, Zaid akan lebih mudah melalui PAS. Lihat sahaja bagaimana pengorbanan Pas kepada Dato' Ibrahim Ali di Pasir Mas.

Ibrahim Ali yang sudah dua kali kalah ketika bertanding menggunakan tiket BN, menang semula apabila bertanding atas tiket Pas. Ibrahim juga pernah tewas ketika bertanding atas tiket Bebas, dalam PRU 11, 21 Mac 2004 dahulu.

Jika Zaid merasakan dia perlu masuk ke Parlimen semua, untuk bersuara dan meneruskan agenda perjuangannya, pilihlah PAS. Cuma, bila berada di dalam PAS, kenalah ikut cara Islam kerana PAS adalah sebuah parti Islam yang tulin!

-HarakahDaily.Net

4 comments:

Anonymous said...

siapa yang lebih berkuasa?UMMO atau Zaid?.sudah semestinya UMNO.kenapa Zaid bising-bising tentang pemecatan dia dan kata dia tidak diberi peluang untuk menjelaskan diri walhal dia mesti tahu tindakan yang akan dikenakan berada di kempen/persidangan pihak lawan?

Zaid macam sengaja memperbesarkan isu ni.Zaid kenalah hormat pada UMNO dan bukan UMNO perlu mengikut telunjuk Zaid.

Anonymous said...

banyak bunyi pulak Zaid ni.bak kata torexxx,mesti dia dah tau tindakan yang akan dikenakan sebelum pergi ke persidangan tersebut.dia mungkin sengaja nak menghangatkan isu.kalau kita fikir semula,buat apa nak buat benda yang boleh memperjudikan karier kita.

Zaid apa nak dia risau.dia dah cukup mewah sekarang dengan law firm dia.mungkin ini juga taktik untuk dia dan firmanya dikenali ramai.

Anonymous said...

isu yang dibangkit oleh Zaid sememangnya tidak dapat diterima oleh sebilangan besar ahli-ahli UMNO.
Zaid tahu bahawa UMNO sekarang perlu lebih bersikap terbuka dan berani untuk menerima dan memperbaiki kelemahan mereka.
Tapi malangnya sesetengah orang lebih suka tutup mata dan berpura-pura semuanya ok.

Mr Joker said...

Cik Kiah - bukan tutup mata dan berpura-pura semuanya ok, tapi sebilanagn besar depa memang dok rasa semuanya ok... hati dah tetutup.