"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Sunday, December 28, 2008

Sekat blog ancam perpaduan

Pergerakan Puteri UMNO mahu pihak berkuasa terutama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak segera menyekat blog-blog yang menghina agama dan mengandungi unsur perkauman yang keterlaluan di negara ini.

Ketua Penerangannya, Datuk Shahaniza Samsuddin berkata, dengan perkembangan penggunaan Internet secara meluas kini, wujud satu bentuk bahaya besar yang boleh menggugat perpaduan kaum jika unsur-unsur tidak sihat di alam maya tidak dipantau rapi.

"Memang benar blog boleh dijadikan tempat untuk meluahkan pandangan yang terbuku di hati masyarakat, tetapi kewujudan blog-blog yang membahayakan perpaduan perlu diambil tindakan segera," katanya kepada wartawan di sini hari ini.

Beliau mengulas kewujudan sebuah blog yang didakwa dibangunkan seorang wanita Melayu yang penuh dengan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.

Blog itu sarat dengan pelbagai tohmahan dan penghinaan ditujukan kepada Rasulullah.

Menurut Shahaniza, blog yang cuba memesongkan akidah atau berunsur hasutan tidak seharusnya dibiarkan beroperasi.

Tegasnya, pengendali atau pemiliknya perlu dikesan dan diambil tindakan yang sewajarnya melalui akta-akta yang bersesuaian seperti Akta Hasutan.

Beliau yang juga seorang penulis blog berkata, tidak sukar untuk membezakan blog yang betul dengan blog mengandungi tujuan lain atau ancaman kepada masyarakat.

Mengulas lanjut kewujudan blog yang menghina Nabi Muhammad SAW itu, Shahaniza berkata, ia jelas mencerminkan sikap kurang ajar pihak yang membangunkannya.

"Mungkin wanita Melayu yang gambarnya itu diletakkan tidak terbabit dalam isu ini, tetapi pihak yang cuba menggenakan dirinya melalui cara seumpama itu amatlah hina dan jahat sekali motifnya,"katanya.

Beliau berkata, pihaknya bersedia untuk membantu mangsa berkenaan dalam apa cara yang difikirkan sesuai kerana yakin berkemungkinan besar wanita itu tidak terbabit dalam penubuhan blog berkenaan.

Sementara itu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Datuk Razali Ibrahim berkata, tindakan tegas perlu diambil oleh kerajaan menerusi peruntukan undang-undang sedia ada supaya menjadi pengajaran kepada anggota masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya mempermainkan perkara-perkara sensitif terhadap mana-mana kaum atau agama.

"Saya minta kerajaan mengambil tindakan tegas supaya masyarakat sedar dan boleh menilai bahawa perlakuan seperti itu tidak seharusnya dilakukan dan tindakan tegas juga sebagai pengajaran kepada golongan yang berhasrat berbuat demikian supaya tidak melakukannya.

"Saya yakin dengan kuasa mengikut peruntukan undang-undang yang ada, majoriti rakyat ternanti-nanti dan akan menyokong tindakan yang diambil kerajaan supaya perkara ini dihentikan," katanya.

No comments: