"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Monday, September 01, 2008

Siasatan Rasuah ADUN Lenggeng, BPR N.Sembilan perlu telus

Gambar Kiri: Sidang Akhbar bersama pemimpin Pakatan Rakyat Negeri Sembilan di Pejabat YB Loke Siew Fook , Seremban pada Isnin 1 September 2008 mengenai siasatan rasuah ADUN Lenggeng YB Mustafa Salim berkaitan projek melombong pasir.

Seremban - Pemimpin Pakatan Rakyat Negeri Sembilan hari ini menggesa pihak Badan Pencegah Rasuah agar mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan siasatan kes penahanan ADUN Lenggeng yang dikatakan telah menerima wang suapan sebanyak RM2,000 dari seorang kontraktor yang menjalankan kegiatan melombong pasir agar tidak dilaporkan kegiatannya kepada Pejabat Tanah dan Galian Negeri Sembilan.

Menurut YB Loke Siew Fook yang juga merupakan Ketua Pembangkang Negeri Sembilan, pendakwaan haruslah dilakukan dengan segera serta dihadapkan ke mahkamah untuk perbicaraan sepertimana yang dilakukan terhadap 2 orang EXCO Pakatan Rakyat di Perak baru-baru ini.

YB Loke juga mengharapkan agar pihak BPR tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk mendakwa pihak yang terlibat. Ini adalah kerana menurut beliau sebelum ini BPR telah menahan bekas ADUN Palong lebih kurang 5 tahun lalu tetapi hingga ke hari ini kes tersebut masih belum dilakukan pendakwaan apatah lagi dibicarakan di mahkamah.

Di samping itu menurut beliau lagi terdapat beberapa kes lain yang melibatkan wakil rakyat dan ahli politik Barisan Nasional Negeri Sembilan yang belum dilakukan sebarang pendakwaan walaupun BPR telah melakukan penahanan untuk siasatan sebelum ini.

YB Loke juga menggesa agar pihak BPR tidak mengamalkan dasar pilih kasih dalam kes siasatan yang melibatkan ahli politik Barisan Nasional dimana dalam kes penahanan ADUN Lenggeng tersebut BPR telah didapati tidak memberikan kerjasama kepada pihak media untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes tersebut. Ini menurut beliau akan memberikan pelbagai spekulasi kepada umum.

Ini amat berbeza sekali dengan kes penahanan 2 orang EXCO Perak baru-baru ini di mana pihak BPR telah membenarkan pihak media menyiarkan gambar 2 orang EXCO tersebut digari , ditahan reman selama beberapa hari , diikat jamin dan dihadapkan ke mahkamah untuk pendakwaan dalam tempoh kurang seminggu. Sedangkan dalam kes penahanan YB Mustafa Salim , beliau telah dibebaskan dengan jaminan mulut sahaja dan ditahan tidak sampai setengah hari.

Sementara itu Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan , Zulkefly Mohamad Omar menyatakan PAS Negeri Sembilan sebelum ini telah banyak membuat laporan BPR terhadap pimpinan Barisan Nasional di negeri ini, namun tiada sebarang penahanan serta pendakwaan yang dilakukan terhadap kes-kes yang dilaporkan. Malah beliau menyatakan laporan BPR yang dibuat oleh pemimpin Umno sendiri terutamanya oleh bekas ADUN Lenggeng iaitu Dato Ishak Ismail dalam beberapa isu , juga hingga ke hari ini tiada sebarang pendakwaan dilakukan oleh pihak BPR.

YB Tuan Hj Aminuddin ADUN Sikamat pula menegaskan bahawa rakyat di Negeri Sembilan ini sudah mula hilang keyakinan terhadap keberkesanan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mohamad Hasan kerana banyak kes perlombongan pasir dan pembalakan yang dijalankan tanpa lesen telah dilaporkan oleh media perdana akhir-akhir ini di Negeri Sembilan.

Ianya menunjukkan bahawa hasil bumi Negeri Sembilan begitu mudah ‘dirompak’ oleh mereka yang rakus. Justeru itu penguatkuasaan agensi yang berkaitan haruslah diperkemaskan dari masa ke semasa.

Sementara itu YB Rashid ADUN Ampangan yang turut hadir dalam sidang media juga menyatakan bahawa tanggapan rakyat pada ketika ini ialah rasuah begitu sinonim dengan wakil rakyat. Justeru itu semua wakil rakyat haruslah memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat serta mengelakkan diri dari terbabit dengan rasuah di semua peringkat.

Antara yang hadir dalam sidang media tersebut ialah YB Loke Siew Fook Pengerusi DAP N.Sembilan, Sdr Sabaruddin Setiausaha PKR N.Sembilan, Sdr Zulkefly Mohamad Omar Pesurujaya PAS N.Sembilan, ADUN Temiang, ADUN Bukit Kepayang, ADUN Sikamat dan ADUN Ampangan.

-PAS N9

Imam Saiful kembali tugas esok Zahid tunggu laporan Jakim, Jawi

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya kini menunggu laporan lengkap mengenai kedudukan Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi - yang menjadi saksi upacara bersumpah Mohd. Saiful Bukhari Azlan - ekoran penglibatannya dalam membantu 'berkempen' pilihan raya kecil Permatang Pauh minggu lalu.

Kelmarin Ramlang memberitahu mStar Online bahawa beliau akan kembali bertugas esok selepas bercuti hampir seminggu.

"Buat masa ini (sehingga hari ini) saya masih belum dapat apa-apa maklumat lanjut mengenai perkara ini.

"Saya perlu tunggu laporan yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dahulu," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Menurut Ahmad Zahid, kedua-dua laporan itu nanti akan dibawa untuk dibincangkan dalam mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh beliau sendiri.

"Kita tak boleh nak putuskan apa-apa keputusan lagi sekarang. Tindakan lanjut hanya akan dibuat selepas mesyuarat itu nanti," katanya.

Ditanya apakah bentuk tindakan yang boleh dikenakan terhadap Ramlang, beliau enggan mengulas lanjut.

Ramlang yang menjadi saksi angkat sumpah Mohd Saiful yang didakwa diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim mengejutkan banyak pihak apabila muncul di Permatang Pauh dengan membuat pengakuan sumpah itu tidak sah.

Beliau muncul di tiga ceramah dihadiri Anwar dua hari sebelum hari pengundian.

Beliau turut mendakwa 'dipaksa' oleh pihak atasan untuk menjadi saksi sumpah laknat Mohd Saiful pada 15 Ogos lalu.

Sementara itu mStar Online cuba mendapatkan maklum balas Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan, Abdul Malek Salleh namun beliau tidak dapat memberi penjelasan lanjut.

"Maaflah, saya baru balik dari mengerjakan umrah. saya belum menerima laporan rasmi lagi.

"Tunggu saya masuk kerja esok, kemudian baru saya boleh beri komen," katanya yang hanya mengetahui perkara ini setelah dimaklumkan oleh beberapa orang rakan.

-mSTAR Online

Gerakan terbaru BPR bukti tekad banteras rasuah

KUALA LUMPUR: Ketika tersiarnya rencana ini, mungkin banyak lagi orang telah ditahan Badan Pencegah Rasuah yang nampaknya semakin bertekad membanteras amalan rasuah di negara ini.

Beberapa tangkapan oleh BPR dalam dua bulan lepas boleh dilihat sebagai "previu" kepada apa yang akan dibawa oleh Suruhanjaya Antirasuah, yang akan lahir pada 1 Jan tahun depan, yang dikatakan lebih bebas daripada yang ada sekarang.

Dengan lahirnya badan pencegah rasuah serba baru itu nanti, maka akan tercapailah citacita murni Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk melakukan pembaharuan terhadap BPR.

Malah, dalam beberapa minggu kebelakangan ini, agensi itu mempamerkan kepada umum kesungguhannya dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan kepadanya selama ini.

Dalam tempoh itu, antara orang ternama yang telah dibawa ke muka pengadilan bagi tuduhan rasuah oleh BPR ialah bekas ketua pengarah Jabatan Imigresen Datuk Wahid Md Don dan Ketua Pengarah Pelancongan Datuk Mirza Mohamad Taiyab.

Belum sampai lima bulan kerajaan baru Perak mengambil alih pentadbiran negeri itu, dua anggota exconya Mohd Osman Mohd Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi diberkas BPR dan dihadapkan ke mahkamah minggu lepas bagi menghadapi tuduhan menerima rasuah.

Selepas itu, timbul pula laporan berpuluh kakitangan dan ejen Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) ditahan kerana disyaki terlibat dengan amalan rasuah.

Abdullah sendiri merestui tangkapan yang dibuat itu dan berkata BPR berada di landasan betul dalam usaha membasmi rasuah di segenap peringkat.

"Ini menunjukkan bahawa BPR bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih, walaupun suspek menyandang jawatan yang berpengaruh," kata Perdana Menteri.

Ketua Pengarah BPR Datuk Seri Ahmad Said Hamdan dilaporkan berkata lebih banyak "ikan besar" akan dihadapkan ke mahkamah tidak lama lagi berhubung tuduhan rasuah.

Amaran itu, yang dikeluarkan tidak lama selepas penangkapan orang penting di jabatan imigresen dan pelancongan, menggoncang kedudukan perkhidmatan awam beberapa minggu kebelakangan ini dan menyebabkan orang ramai tertanyatanya "ikan besar" manakah pula yang akan memasuki pukat BPR.

Suruhanjaya Antirasuah yang akan ditubuhkan itu akan bertanggungjawab kepada sebuah lembaga pengarah yang dianggotai Anggota Parlimen.

Ketua Pengarah badan baru ini pula akan bertanggungjawab kepada lembaga pengarah berkenaan.

Antara ciri paling penting suruhanjaya ini ialah ia diberi kuasa mutlak untuk membawa kes ke mahkamah tanpa perlu merujuk kepada Pejabat Peguam Negara.

Beberapa pejuang antirasuah seperti Tunku Abdul Aziz, yang merupakan bekas presiden Transparency International Malaysia, dan pengganti beliau,Tan Sri Ramon Navaratnam sering mendesak agar BPR dijadikan sebuah badan yang benarbenar bebas seperti badan antirasuah yang terdapat di Hong Kong.

Seorang bekas pegawai kanan Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) Hong Kong yang berada di sini ketika tersebarnya berita BPR menahan beberapa pegawai tinggi kerajaan akhir bulan lepas, mempunyai pandangan positif terhadap perkembangan itu.

Tony Kwok Manwai, bekas timbalan pesuruhjaya ICAC, berkata orang ramai patut melihat secara positif tangkapan berprofil tinggi itu serta perihal "ikan besar" yang dikenakan tuduhan rasuah.

"Saya rasa adalah sesuatu yang amat positif apabila hampir setiap hari akhbar menyiarkan banyak pegawai kanan kerajaan didakwa di mahkamah. Ini menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam membasmi rasuah," katanya.

Turut gembira dengan perkembangan berkenaan ialah Navaratnam yang menyifatkan penangkapan itu sebagai "sesuatu yang agak luar biasa", dan pada waktu yang sama, berharap BPR, yang bosbosnya kelihatan lebih proaktif kebelakangan ini, akan meningkatkan gerakannya.

Pengerusi Transparency International Malaysia itu turut menyentuh "politik wang", yang beliau sifatkan sebagai "ibu dalam amalan rasuah".

Politik wang melahirkan apa yang dikenali sebagai "masa untuk membayar balik" selepas sesuatu pemilihan, yang boleh menjahanamkan politik dan tadbir urus yang baik, katanya.

Ahmad Said berkata BPR menerima beberapa laporan tentang amalan rasuah yang didakwa berlaku dalam pemilihan peringkat cawangan dan bahagian Umno sekarang dan pihak beliau sedang mengambil langkah sewajarnya berhubung laporan itu.

Sama seperti tindakannnya dalam menangani kes rasuah melibatkan kakitangan awam, BPR kini turut bertanggungjawab membasmi penyakit rasuah yang melanda ahli politik.

Sebagai permulaan, amalan menggunakan wang bagi mempengaruhi sesuatu keputsuan pemilihan parti, tidak lagi wajar dianggap sebagai politik wang.

"Sebenarnya, ia jelas merupakan perbuatan rasuah dan patut disebut begitu, sekurngkurangnya untuk menimbulkan rasa takut atau fobia dalam kalangan mereka yang terlibat dengannya," kata Tunku Abdul Aziz.

-mSTAR Online

Gear "R": Selepas Gerakan, MCA juga mahu keluar dari BN

KUALA LUMPUR, 25 Ogos: Selepas Gerakan, MCA pula mengugut untuk mengkaji kedudukan mereka dalam Barisan Nasional (BN) jika Umno terus menerus dengan slogan ketuanan Melayunya.

Calon Presiden MCA yang disokong oleh kepimpinan parti itu sekarang, Datuk Ong Tee Keat ketika bercakap di Pahang berkata, jika Umno terus dengan slogan ketuanan Melayu dan tidak membuat reformasi, anggota BN yang lain termasuk MCA akan meninggalkan BN.

Sebelum ini, Pemangku Persiden Gerakan, Datuk Dr Koh Tsu Koon memberitahu, bukan sahaja Gerakan mengkaji untuk keluar BN, parti-parti lain juga membuat kajian yang sama.

Penasihat Gerakan, Tun Lim Keng Yaik pula berkata, ia terserah kepada perwakilan parti itu yang akan bermesyuarat tidak lama lagi.

"Jika kami keluar BN nanti, kami tidak akan memperjuangkan satu kaum sahaja bahkan menjadi parti pelbagai kaum," kata Ong Tee Kiat, Naib Presiden MCA sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar Cina, Nanyang Siangpau.

Sebelum ini, seorang lagi calon Presiden MCA, Datuk Dr Chua Soi Lek, berkata, "MCA perlu mengkaji sikapnya seumpama 'orang gaji' kepada Umno."

Ong Tee Kiat dan Chua Soi Lek, ketika mereka berlumba untuk merebut hati perwakilan MCA menjadikan Umno sebagai tempat mereka memukul (punching bag), tulis Leslie Lau, wartawan laman web malaysiainsider.com.

-SIASAH

TP - "Jika kami keluar BN nanti. kami tidak akan memperjuangkan satu kaum sahaja bahkan menjadi parti pelbagai kaum."...PAS boleh, PKR boleh, DAP pun boleh... Kalau BN memang tak sesuai sangat-sangat... banyak sangat parti... masing-masing nak perjuang bangsa masing-masing... majmuk kejadahnya macam tu?

Lim Sokong Cuti Umum 16 Sept Untuk Lima Negeri Ditadbir Pakatan Rakyat

PULAU PINANG, 1 Sept (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang akan menimbang cadangan penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya 16 Sept setiap tahun dijadikan cuti umum untuk lima negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat sebagai memperingati hari pembentukan Malaysia.

"Perkara ini akan dibincangkan dulu dengan exco kerajaan negeri kerana ia akan melibatkan operasi pihak industri di negeri ini," kata Ketua Menteri Lim Guan Eng kepada selepas pada ceramah umum mengenai 'Enzim Sisa Makanan Menyelamatkan Dunia Kita' di Pasar Awam Tanjung Bungah di sini hari ini.

Cadangan cuti umum untuk lima negeri Pakatan Rakyat iaitu Pulau Pinang, Perak, Kedah, Selangor dan Kelantan itu dibuat oleh Anwar pada majlis kesyukuran sempena kemenangan beliau pada pilihan raya kecil Permatang Pauh 26 Ogos lepas.

Kerajaan negeri Pulau Pinang telah memberikan cuti umum pada 26 Ogos lepas sempena pilihan raya kecil berkenaan.

"Kalau kita hendak ambil 16 Sept sebagai cuti umum mungkin pada tahun depan," kata Lim.

Beliau berkata kerajaan pusat sepatutnya menjadikan 16 Sept sebagai cuti umum.

Lim juga bersetuju dengan cadangan badan bukan kerajaan untuk melakukan eksperimen enzim sisa makanan di tapak pelupusan sampah di Pulau Burung.

Beliau berkata enzim sisa makanan itu berupaya membersihkan kawasan dan sungai tercemar akibat pembuangan sampah isi rumah, kilang dan premis perniagaan.

Enzim yang dihasilkan dari bahan terbuang seperti kulit buah-buahan mampu menyahtoksin kotoran yang terkandung dalam air.

"Ia mampu menjaga ekosistem dan sekaligus memelihara alam sekitar kerana enzim ini diperbuat dari sisa bahan organik," katanya.

Tulis semula sejarah untuk perbetulkan fikiran rakyat

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu mengharapkan agar konsep kemerdekaan dapat diperbetulkan dalam pemikiran rakyat Malaysia dengan adanya penulisan semula sejarah kemerdekaan.

Katanya, sejarah kemerdekaan perlu diperbetulkan khususnya dalam pengajian sejarah di Institusi Pengajian Tinggi dan di sekolah-sekolah.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ceramah pada majlis Ambang Merdeka anjuran Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Dewan Pemuda PAS Pusat, dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Pandan di Dataran MPAJ, Pandan Indah, malam semalam.

Turut serta dalam ceramah tersebut ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan Tantawi dan Exco Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi.

Mohamad turut mengharapkan sebagai pengisian kemerdekaan , penonton tidak hanya sekadar dihidangkan dengan filem-filem seperti Sarjan Hassan dan Bukit Kepong yang disiarkan saban tahun.

"Tiada sesiapa pun yang berminat untuk membuat filem mengenai pejuang kemerdekaan yang sebenar seperti Ahmad Boestaman, Abu Bakar Bakir, Mat Kilau dan Dr Burhanuddin al Helmy. Dan jika ada pun yang membuat filem seperti ini, barangkali Lembaga Penapis Filem akan mengharamkan filem -filem mengenai pejuang ini kerana mereka yang terlibat dalam penapisan filem ini di kalangan orang Umno.

"Kita bersyukur kepada Allah di atas kemerdekaan tersebut walaupun sejarah kemerdekaan tersebut banyak diselewengkan. Apabila menjelang kemerdekaan, nama Tunku Abdul Rahman disebut sebagai bapa kemerdekaan. Memang kita mengakui Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak mengambil alih kemerdekaan. Kita bukan hendak menafikansumbangan mereka. Tetapi mereka bukan pejuang kemerdekaan yang sebenar.,"katanya.

Tambahnya, sukar bagi PAS untuk memperbetulkan sejarah kemerdekaan selagi PAS belum menaungi kerajaan pusat.

Sementara itu katanya, sejak ditubuhkan 57 tahun lalu, PAS sentiasa mencari jalan untuk memperkenalkan parti dan jemaah kepada seluruh masyarakat.

"Dr Mahathir pernah menyebut PAS lebih bahaya daripada komunis. Dato' Onn pula pernah menyatakan antara dua gunung, iaitu gunung komunis dan Gunung Semanggol, Gunung Semanggol lebih bahaya. Di Gunung Semanggol inilah lahirnya gerakan Islam Hizbul Muslimin.

"Pelbagai label diberi, terutama label PAS kepada bukan Islam sekiranya mereka memberi sokongan kepada PAS. Begitu juga kepada kaki tangan kerajaan. Biro Tatanegara memainkan peranan menggambarkan betapa buruknya negara jika Umno tidak memerintah selepas merdeka,"katanya.

Dalam pada itu katanya, PAS akan terus bergerak atas landasan perjuangan mengharapkan perpaduan dengan semua kaum akan terus terpelihara.

Perutusan Mursyidul Am PAS sempena Ramadan

Alhamdulillah kita dipertemukan kembali dengan bulan penuh rahmat dan keampunan daripada Allah Subhanawataala. Saya merakamkan ucapan selamat menyambut Ramadan al-Mubarak kepada seluruh rakyat Malaysia dan umat Islam di pelusuk dunia.

Menjadi kebiasaan kita orang Melayu mengenali Ramadan sebagai bulan puasa. Tanpa disedari sebutan yang sudah lama berakar umbi itu tidak tepat dengan pengertian sebenar Ramadan.

Ramadan bukan sekadar dihiasi dengan ibadat puasa yakni menahan diri daripada makan, minum dan apa sahaja yang membatalkan puasa kerana takrifan sebenarnya lebih luas lagi.

Puasa juga sebenarnya boleh dilakukan pada bulan lain, seperti yang menjadi amalan sesetengah daripada kita iaitu bulan Rejab dan Syaaban. Sebab itulah penggunaan istilah Ramadan lebih tepat bagi menggambarkan maksud dalam melaksanakan amal ibadat sepanjang bulan penuh berkat ini.

Ramadan juga membawa maksud bulan kebajikan di mana di dalamnya ada zakat fitrah yang menjadi kewajiban dilaksanakan setiap umat Islam. Umat Islam amat digalakkan bersedekah sebagai melengkapkan amalan ibadat puasa kita di siang hari.

Ini kerana di sekeliling kita ada mereka yang kurang bernasib baik. Maka pada kesempatan ini kita hulurkan sedikit sumbangan kepada mereka. Oleh itu saya mengajak umat Islam menggunakan kesempatan Ramadan kali ini bagi menggandakan amal ibadat serta memohonkan keampunan daripada Allah Taala.

Perkhidmatan Kereta Api Masih Belum Beroperasi, Pengeluaran Minyak Terjejas

BANGKOK, 1 Sept (Bernama) -- Perkhidmatan kereta api antara Bangkok dan Pulau Pinang masih digantung sehingga kini, semasa protest anti-kerajaan terus melumpuhkan perkhidmatan itu sekaligus menjejaskan pergerakan ribuan penumpang, di samping menjejaskan pengeluaran minyak di kawasan perairan di utara Thailand.

Ketua Perkhidmatann Pusat Selatan Kereta Api Thailand (SRT), Thanongsak Phongprasert berkata para pekerja perkhidmatan itu masih enggan datang bekerja sejak Jumaat lepas, dan tidak ada sebarang tanda yang dapat menunjukkan bila perkhidmatan itu akan pulih.

Beliau berkata selain perjalanan harian Bangkok-Pulau Pinang yang mengambil masa kira-kira 20 jam, kira-kira 20 perkhidmatan kereta api turut terjejas di wilayah selatan negara itu.

"Kira-kira 7,000 penumpang terjejas setiap hari memandangkan perkhidmatan kereta api kami beroperasi sehingga ke Sungai Golok di Narathhiwat (sempadan Malaysia-Thailand)," katanya ketika dihubungi di Hatyai.

Sejak Jumaat lepas, ramai pekerja-pekerja SRT mengambil cuti sakit bagi menyokong Pakatan Rakyat Bagi Demokrasi (PAD) yang mengadakan tunjuk perasaan menentang pentadbiran kerajaan Samak Sundaravej sejak 25 Mei lepas, yang membawa kepada tindakan ribuan penunjuk perasaan menduduki pusat pentadbiran kerajaan di tengah bandar raya, atau dikenali sebagai bangunan Rumah Kerajaan.

Di Bangkok, para penumpang yang menempah tiket untuk perjalanan Bangkok-Pulau Pinang dimaklumkan supaya mencari alternatif lain untuk ke destinasi masing-masing.

"Mereka yang sudah membeli tiket boleh datang ke stesen kereta api Hua Lamphong untuk mendapatkan kembali wang mereka," menurut seorang jurucakap SRT di sini.

Sementara itu Lapangan terbang antarabangsa Phuket dan Krabi kembali beroperasi seperti biasa selepas ia ditutup oleh penunjuk perasaan pada hari Jumaat dan Sabtu lepas, manakala lapangan terbang Hatyai pula memulakan operasinya pada hari Sabtu selepas ditutup selama sehari.

Demonstrasi berlarutan perkhidmatan keretapi itu juga menjejaskan pengeluaran minyak di telaga minyak terbesar negara itu, Medan Sirikit, yang terletak di wilayah Phitsanulok, 377 kilometer utara Bangkok.

Syarikat PTT Exploration and Production (PTTEP) mengurangkan pengeluaran minyak hariannya daripada kira-kira 20,000 tong kepada hanya 3,000 tong ekoran kesukaran dalam menghantar bekalan minyak ke kawasan kilangnya di Bangkok.

Jurucakap PTTEP yang mengesahkan pengurangan pengeluaran itu berkata mereka tidak dapat mengangkut bekalan minyak mentah itu tanpa perkhidmatan kereta api.

Menurutnya syarikat itu mengalami kerugian jutaan ringgit ketika ini memandangkan hanya 3,000 tong gas dapat diedarkan setiap hari menerusi perkhidmatan lori tangki.

Hurricane Gustav From Satellite


This satellite image released by the US National Oceanic and Atmospheric Administration yesterday shows Hurricane Gustav moving northwest towards the Gulf Coast. The storm was set to crash ashore late today with frightful force, testing the three years of planning and rebuilding that followed Katrina’s devastating blow to the Gulf Coast. — AP pic

Umno hadapi krisis moral dan budaya yang serius - Ku Li

KUALA LUMPUR, 1 Sept ( Hrkh) - Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah (Ku Li) berkata, Umno sekarang ini menghadapi krisis budaya dan moral yang sangat serius akibat penularan rasuah dalam parti itu.

Berucap dalam satu majlis anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan di Kota Bharu, Sabtu lepas, Ku Li menegaskan, selain berleluasa dalam parti yang memerintah rasuah juga sudah menjadi masalah besar dalam perkhidmatan awam.

"Masalah ini sudah menjadi 'open secret', yakni bukan rahsia lagi. Baru-baru ini Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mendedahkan bahawa rasuah beli undi ini sudah menjalar ke seluruh akar umbi Umno.

"Saya anggap ini sebagai krisis budaya dan moral yang sangat serius, dan boleh memusnahkan Umno dan menjadikannya parti politik usang," tegasnya.

Teks ucapan Ku Li selaku Penaung MTRK dihantar kepada Harakahdaily menerusi emel.

Ku Li yang akan mencabar Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam Perhimpunan Agung parti itu Disember depan turut melontarkan kebimbangan beliau, bahawa rasuah politik dalam Umno, hanya akan menyebabkan parti itu diterajui orang yang tidak layak.

Image"Dapatkah kita menjamin bahawa melalui rasuah politik dalam UMNO itu, hanya orang yang baik, cekap, bersih, jujur atau yang mempunyai kelayakan dan kemampuan yang kuat untuk memperjuangkan kepentingan parti dan anggota parti atau untuk menjadi pemimpin kerajaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang?", soal beliau.



Ku Li turut memetik kata popular di kalangan Umno yang mengatakan, 'dalam Umno kalau anda tidak punya wang (tidak kira dari mana datangnya wang itu) jangan cubalah bertanding melawan calon yang kaya'.



Beliau turut memberi perumpamaan bahawa rasuah rasuah adalah seperti anai-anai yang boleh memakan asas atau tiang rumah.



Katanya, tiang (Umno) dan rumah (negara) akan roboh dan porak peranda jika 'anai-anai rasuah' tidak dibunuh dengan segera.



Dalam ucapannya juga Ku Li turut menegur kepimpinan Umno supaya menyelesaikan segera masalah ekonomi, perhubungan antara kaum dan pelbagai isu yang boleh menjejas kestabilan dan kedaulatan negara.



"Masalah inilah yang mesti kita tangani secara serius kalau kerajaan atau parti yang memerintah sekarang tidak mahu kehilangan keyakinan rakyat yang lebih teruk lagi daripada yang dialaminya selepas PRU ke-12," tegasnya.