"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Thursday, July 24, 2008

BPR ambil keterangan pemandu exco T'ganu

Jul 24, 08 6:21pm Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah mengambil keterangan daripada empat pemandu exco kerajaan negeri Terengganu berhubung kos penyenggaraan Proton Perdana V6 Executive yang terlalu tinggi.

Enam pegawai BPR berkenaan telah datang ke Wisma Darul Iman, pusat pentadbiran kerajaan Terengganu, sejak petang semalam dan pagi tadi bagi mengambil dokumen-dokumen berkaitan untuk diteliti.

Bernama memetik Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong sebagai mengesahkan perkara itu tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya.

"Saya mengesahkan pegawai BPR telah mengambil keterangan daripada empat pemandu Exco berhubung perkara berkenaan dan pada hari ini mereka selesai berbuat demikian kira-kira pukul 1.15 tengah hari tadi," katanya kepada pemberita di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu hari ini.

Bagaimanapun, difahamkan pegawai BPR berkenaan turut mengambil keterangan daripada pegawai-pegawai kanan di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Dua hari lalu, pejabat Menteri Besar Terengganu dalam satu kenyataan memberitahu, kerajaan negeri itu terpaksa membayar kos yang tinggi untuk menyenggara kereta nasional itu sejak 2004 hingga sekarang.

Kos senggaraan yang tinggi itu dijadikan alasan oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Said bagi meluluskan pembelian 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri itu.

Ambil keterangan

Pembelian kereta Mercedes itu yang berharga RM245,000 sebuah adalah untuk kegunaan 10 Anggota Exco kerajaan negeri, sebuah untuk Speaker Dewan Undangan Negeri dan tiga lagi untuk Setiausaha Kerajaan, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang negeri.

Ketika ditanya sama ada BPR akan mengambil keterangan daripada beberapa individu lagi, Mokhtar berkata: "saya tidak tahu...(bagaimanapun) kerajaan negeri akan memberi kerjasama kepada BPR bagi memastikan siasatan kes ini berjalan lancar.

"Jika ada penyelewengan, kerajaan negeri tiada mempunyai masalah dengan BPR untuk mengambil tindakan," katanya.

Beliau menjelaskan kereta Proton Perdana V6 Executive itu, telah dihantar sendiri oleh pemandu exco atau pegawai kanan kerajaan negeri itu untuk diselenggara di bengkel-bengkel yang dilantik dan pihaknya akan membuat bayaran berdasarkan tuntutan yang dikemukakan.

Mokhtar berkata setiap exco kerajaan negeri mempunyai dua pemandu iaitu seorang yang merupakan kakitangan tetap dan seorang lagi yang dilantik sendiri oleh mereka secara kontrak.

Beliau berkata kerajaan Terengganu akan terus menggunakan kereta Mercedes E200 Kompressor sementara menunggu surat rasmi daripada Kabinet berhubung arahan tidak membenarkan penggunaan kereta berkenaan sebagai kenderaan rasmi kerajaan negeri.

"Sebanyak 15 buah kereta Proton Perdana V6 Executive exco dan pegawai kanan kerajaan negeri itu masih digunakan untuk kegunaan bersama (pool)," katanya.

-malaysiakini

No comments: