"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Thursday, July 24, 2008

Layakkah Anwar Menerajui Perubahan?

Apabila rakyat memberikan signal perubahan melalui penafian majoriti 2/3 dalam Pilihanraya Umum yang lepas,ramai bertanggapan bahawa pengaruh DS Anwar Ibrahim adalah antara faktor dominan yang menggerakkan fenomena ini. Ramai melihat bahawa DSAI adalah 'Pemimpin Harapan Rakyat' yang mampu menggerakkan elemen sedar dalam masyarakat Malaysia yang sejak sekian lama bersifat kaku dan beku.Ramai yang menaruh harapan kepada DS Anwar Ibrahim walaupun beliau juga sebenarnya lahir dari 'rahim' parti pemerintah (UMNO).

Media alternatif seringkali menggembar-gemburkan impian DSAI yang mahu kembali memimpin negara.DS Anwar baru-baru ini membuat kenyataan bahawa jumlah Ahli Parlimen Barisan Nasional yang akan melompat parti sudah melebihi jumlah yang diperlukan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih kerajaan pusat.Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tengku Razaleigh Hamzah adalah antara pemimpin UMNO yang memandang berat kenyataan Anwar itu.

Persoalannya, layakkah Anwar menerajui perubahan?

Dato' Seri Anwar bin Datuk Ibrahim adalah penasihat (dibaca:De facto leader) Parti Keadilan Rakyat (PKR).Beliau juga adalah mantan Timbalan Presiden UMNO dan mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dari tahun 1993 hingga 1998.Sebelum itu,beliau merupakan bekas aktivis utama dalam pergerakan mahasiswa dan belia. Beliau pernah menjadi presiden PBMUM,PKPIM,ABIM dan MBM.

Dato' Seri Anwar Ibrahim lahir pada 10 Ogos 1947 di Ceruk Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Anwar bermaksud 'Cahaya-cahaya'. Ayahnya Datuk Haji Ibrahim bin Abdul Rahman adalah merupakan bekas ahli Parlimen dan Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan Malaysia. Manakala ibunya,Datin Hajah Che Yan Hussein (Allahyarham) merupakan ahli pidato Pergerakan Wanita UMNO. Anwar sering dibawa ke majlis-majlis ceramah wanita UMNO.Pendedahan pidato yang diberikan kepadanya semenjak kecil memungkinkan beliau diiktiraf sebagai antara pemimpin Nusantara yang handal berhujah.

Pendidikan

Semasa kecil, beliau bersekolah rendah di Sekolah Stowell, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Kemudian, beliau meneruskan pengajian persekolahan menengahnya di belajar di Maktab Melayu Kuala Kangsar(MCKK) dari tahun 1960 hingga 1966 . Semasa di MCKK, beliau aktif dalam Persatuan Bahasa Melayu dan pernah mengasaskan Badan Revolusi Ugama.Beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Pengawas MCKK.Semasa di MCKK , Anwar mengenali Sanusi Junid, Kamaruddin Jaafar dan Yahya Ahmad (Allahyarham).Selepas itu pada tahun 1967, beliau melanjutkan pelajaran tinggi di Universiti Malaya dalam Pengajian Melayu (Sastera).

Zaman Belia

Pada tahun 1969, Anwar pernah berganding dengan Dr Mahathir Mohamad berdiri di pentas PAS menghentam kepimpinan Tunku Abdul Rahman.Sewaktu itu, Dr Mahathir telah dipecat daripada UMNO kerana lantang mengkritik pentadbiran tunku Abdul Rahman yang lemah dan goncang.

Anwar pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari tahun 1974 hingga 1976 kerana menganjurkan demonstrasi jalanan di Baling dan di Universiti Malaya berhubung kemiskinan tragis di Baling, Kedah. Kejatuhan harga komoditi getah menyebabkan rakyat Baling tidak mampu menyara hidup dengan baik.Penduduk pedalaman Baling pada ketika itu dibiarkan 'melarat' kerana dipercayai tempat persembunyian komunis.

Meninggalkan ABIM dan tidak menyertai PAS

Apabila DS Anwar Ibrahim meninggalkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada 29 Mac 1982 untuk menyertai UMNO,sesetengah pemimpin ABIM bertindak menjauhkan diri daripada ABIM kerana menganggap ABIM tidak mempunyai maruah lagi, pengasasnya mudah dibeli. Kekuatan ABIM 'lumpuh' dengan ketiadaan Anwar Ibrahim. Difahamkan sebelum itu bahawa Datuk Paduka Ibrahim Ali dan Tengku Razaleigh Hamzah telah membawa Anwar Ibrahim berjumpa dengan Dr Mahathir Mohamad di Seri Perdana, Kuala Lumpur.

Pada masa yang sama,kekuatan PAS sedikit tergugat kerana Anwar Ibrahim telah mengubah haluan.Sebelum itu, Anwar diramalkan akan menyertai Parti Islam Se-Malaysia (PAS).Haji Subky Latif dalam bukunya "Siapa Ganti Asri" menamakan Anwar Ibrahim akan mengambil teraju PAS daripada Datuk Mohd Asri Haji Muda. Calon ini layak kerana idealisme dan prinsip perjuangan yang sama dengan PAS.

Sebelum itu juga,Anwar cukup sinonim dengan perjuangan PAS.Dalam pilihan raya umum 1978, Anwar dan ABIM pernah membantu Datuk Mohd Asri Haji Muda mempertahankan kerajaan PAS di Kelantan. Malahan Datuk Asri Muda sanggup mengundurkan diri dari jawatan Yang di Pertua PAS untuk memberi laluan kepada Anwar Ibrahim.

Rentetan penghijrahan mengejut Anwar ke dalam UMNO,beberapa pemimpin kanan ABIM telah menyertai PAS menjelang pilihan raya dan bertanding atas tiket PAS. Antaranya ialah Nakhaei Haji Ahmad , Datuk Fadzil Noor (Allahyarham), Abdul Halim Arshat, Haji Abdul Hadi Awang dan Ustaz Yahya Othman.

Keengganan Anwar menyertai PAS menyebabkan ada yang menuduh Anwar sebagai kecewa dan mengaku kalah sebelum berperang dengan UMNO.Anwar juga sedar bahawa ribuan pejuang Islam menitiskan air mata kecewa dengan keputusan itu.Selain daripada keputusan itu, tindakan Anwar yang tidak menghargai pengorbanan Ezam Mohd Nor juga adalah antara kesilapan besar beliau.Anwar kadang-kadang dilihat terlalu manipulatif dan kurang menghargai ribuan jasa yang pernah dicurahkan kepadanya.

Penglibatan dengan politik UMNO


Anwar bertanding di kerusi parlimen Permatang Pauh di atas tiket UMNO pada tahun 1982. Beliau menang dengan majoriti yang besar. Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Dalam tahun yang sama Anwar menewaskan Haji Suhaimi Kamarudin, penyandang untuk menjadi ketua Pergerakan Pemuda UMNO. Anwar kemudiannya dinaikkan pangkat menjadi menteri penuh sebagai Menteri Belia, Kebudayaan dan Sukan.

Dua tahun kemudian Anwar dipindahkan kepada portfolio Kementerian Pertanian. Dalam tahun 1987 memenangi jawatan Naib Presiden UMNO dan kemudiannya dilantik sebagai Menteri Pendidikan. Beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan dalam tahun 1991. Dalam tahun 1993, Anwar menewaskan Ghafar Baba untuk menjadi Timbalan Presiden UMNO dan kemudian dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Anwar pernah dipilih menjadi Presiden Persidangan Tahunan UNESCO dan Pengerusi Jawatakuasa Pembangunan dalam mesyuarat bersama Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF). Kerana sumbangannya terhadap kesefahaman antara kebudayaan,beliau dianugerahkah ijazah Kedoktoran Kehormatan oleh Ateneo de Manila University dan anugerah Presiden oleh Georgetown University.

Jawatan dalam kerajaan

  • 1982 - 1983 : Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri

  • 1983 - 1985 : Menteri Belia dan Sukan

  • 1985 - 1986 : Menteri Pertanian

  • 1986 - 1990 : Menteri Pendidikan

  • 1990 - 1998 : Menteri Kewangan

  • 1993 - 1998 : Timbalan Perdana Menteri (Pernah memangku jawatan PM selama 2 bulan).

Memimpin perubahan dalam UMNO

Kemasukan Anwar telah menyisihkan pengaruh Tengku Razaleigh Hamzah, Ghafar Baba, Sanusi Junid, Abdullah Ahmad Badawi dan lain-lain secara perlahan-lahan. Kemasukan Anwar ke dalam UMNO merupakan panglima baru yang ditunggu-tunggu. Anwar adalah bukti UMNO sebuah parti Islam , bukan parti sekular. Selepas Anwar menyertai UMNO, penerapan nilai-nilai Islam telah dijalankan. Penubuhan Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa, Takaful dan lain-lain telah direalisasikan. Sebelum ini umat Islam hanya bermimpi dengan ekonomi Islam.

Anwar Ibrahim juga dilihat cuba mengABIMkan UMNO. Ramai pemimpin ABIM yang dilihat menyertai UMNO. Antaranya ialah saudara Anuar Tahir,Datuk Kamaruddin Mad Nor dan Datuk Kamaruddin Jaafar (KJ). Kehadirannya di dalam UMNO berjaya menyaingi pengaruh Islam yang dibawa oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS).Beliau menjadi perisai UMNO dalam isu-isu Islam.

Namun begitu,ramai pemimpin UMNO yang tidak senang dengan ketegasan beliau di dalam menegakkan sebahagian syariat Islam di dalam UMNO.Ramai pemimpin UMNO yang sentiasa merancang untuk menumbangkannya.

Langkah terlalu pantas

1993 Anwar Ibrahim bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO menentang Tun Ghafar Baba (Allahyarham) kerana Ghafar dianggap hanyalah tokoh sementara yang dilantik oleh Dr Mahathir selepas 'kekosongan' yang ditinggalkan oleh Datuk Musa Hitam.

Ghafar Baba bukanlah calon yang sesuai untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia. Beliau dilihat terlalu perlahan. Golongan muda lebih mahukan Anwar berbanding Ghafar. Anwar telah menguasai setiap sendi UMNO. Akhirnya, Ghafar tidak jadi bertanding kerana tidak bersedia dan kemenangan percuma diberikan kepada Anwar Ibrahim.

Penyingkiran

Malang tidak berbau. Akhirnya, Dr Mahathir Mohamad menyingkirkan Anwar Ibrahim dari jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 1998 dan kemudiannya dari jawatan Timbalan Presiden UMNO serta keahlian dalam UMNO.Isu salah laku seks dan rasuah telah menjadi senjata yang paling ampuh untuk memusnahkan karier politik Anwar Ibrahim.

Faktor utama penyingkiran Anwar kerana kemaraan Anwar tidak dapat dibendung lagi dan membahayakan kedudukan Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO. Jika Dr Mahathir Mohamad lambat bertindak , kemungkinan Dr Mahathir akan 'tersingkir' sebagaimana Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn.Isu 'Grand Design' diperkatakan di mana-mana dan wawasan Islam dibandingkan dengan Wawasan 2020. Dr Mahathir dilihat semakin malap.

Peluang terbaik untuk menyingkirkan Anwar ialah apabila tersebarnya surat layang 30 halaman di Perhimpunan UMNO dan kemudian terbitnya buku "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM" oleh Khalid Jafri (Allahyarham).Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa Dr Mahathir bertindak memecatnya kerana ketegasannya dalam menangani isu salah laku rasuah,kronisme,nepotisme yang membarah di kalangan pemimpin-pemimpin utama UMNO termasuklah Dr Mahathir sendiri.

Pada asalnya,beliau disabitkan dengan tuduhan salah laku seks iaitu liwat dan persetubuhan haram dengan Shamsidar Taharin,isteri Azmin Ali.Namun apabila pihak pendakwaraya tidak mampu mensabitkan beliau dengan tuduhan itu,Anwar akhirnya disabitkan dengan tuduhan bahawa beliau cuba mempengaruhi penyiasatan polis di dalam tuduhan beliau seorang homoseksual.

Beliau dipenjarakan dan diperlakukan dengan tindakan yang zalim dan tidak bermaruah.Ketua Polis Negara ketika itu,Tan Sri Rahim Nor didakwa telah membelasahnya sehingga lebam mata kirinya.Beliau juga dipukul,diterajang dan ditelanjangkan tanpa sebarang perikemanusiaan.

Sewaktu beliau mahu dipecat daripada UMNO,tidak ramai pemimpin UMNO tertinggi yang berani mempertahankan beliau.Hanya Datuk Zahid Hamidi,Datuk Dr. Afifuddin Omar dan beberapa pemimpin UMNO yang lain sahaja yang cuba membela beliau.Teman seperjuangan di dalam UMNO hanya memandang sayu dari kejauhan.Mujurlah,ramai penyokong setia dan sahabat lama di luar UMNO yang bangkit mempertahankan beliau.

Dato' Fadzil Noor(Allahyarham) yang memimpin Parti islam Se-Malaysia telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat malaysia (GERAK) yang disertai oleh PAS,DAP,PRM,15 NGO dan individu-individu dari pelbagai latarbelakang.Pada ketika ini,barulah beliau mula mengenali siapa kawan dan siapa lawan yang sebenar.

Anwar Ibrahim dibebaskan.

Berkat doa dan perjuangan tanpa henti penyokong dan pendokong keadilan di seluruh negara,beliau akhirnya dibebaskan.Pada tahun 2004, Mahkamah Persekutuan menerima rayuan Anwar terhadap pensabitan atas tuduhan liwat dan beliau seterusnya dibebaskan. Selepas dibebaskan beliau pergi ke Munich, Jerman untuk menjalani pembedahan dan rawatan. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ahli Bersekutu Kanan di Kolej Santo Anthony, Universiti Oxford. Selepas tamat tugasnya di Oxford beliau pergi ke Washington untuk mengambil jawatan sebagai profesor pelawat di School of Advanced International Studies (SAIS) dan kemudiannya di Universiti Georgetown.

Pandangan bukan Melayu

Pada dasarnya ,segelintir kaum Cina dan India dan Melayu sendiri tidak senang dengan idealisme yang mungkin menjejaskan perpaduan kaum sebagaiman Tun Dr Mahathir yang pernah dianggap sebagai 'Ultra Malay' oleh Lee Kuan Yew.Masyarakat bukan bumiputera lebih berminat dengan pemimpin yang sederhana dan tidak taksub dengan agenda kaum sendiri.

Anwar Ibrahim dilihat sebagai pemimpin yang Islamik.Penampilan isterinya yang bertudung serta kefahamannya tentang agama yang lebih mendalam berbanding pemimpin-peminpin UMNO yang lain memberikan markas bonus buat beliau.Walaupun gaya hidupnya sedikit berubah sewaktu menjadi pemimpin UMNO,namun ramai penyokongnya yang masih setia meyakini komitmennya dalam mempertahankan agama Islam.

Anwar tidak menolak integriti sejagat. Anwar sering menghadiri majlis perayaan Tahun Baru Cina dan Deevapali.Malahan pendiriannya tentang hubungan antara kaum di Malaysia sangat komprehensif dan boleh diterima ramai.Beliau menolak Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan alternatif Agenda Ekonomi Malaysia (AEM) yang dikatakan lebih menyeluruh dan tidak mendiskriminasi kaum-kaum tertentu.

Namun,penolakan DEB sedikit sebanyak mengguris hati bangsa Melayu.Dalam soal ini,beliau dilihat terlalu mengejar keuntungan politik sehingga leka dengan hak dan keistimewaan Melayu yang perlu dijaga.

Selain itu,kewujudan Parti Keadilan Rakyat yang 'multi racial' juga membuktikan bahawa beliau tetap memperjuangkan kesejahteraan semua kaum.Namun,ramai masih meragui adakah formulanya dalam menyusun struktur organisasi parti yang terlalu bersifat 'mee segera' tanpa dasar utuh yang meyakinkan boleh terus konsisten diterima.

Anwar harus mempersiapkan sebuah PKR yang berpasak kuat untuk menghadapi zaman selepasnya kerana dibimbangi bahawa kekuatan PKR adalah terletak pada Anwar semata-mata.Ramai juga yang menjangkakan bahawa hayat PKR adalah sama dengan jangka hayat DS Anwar sendiri.

Keistimewaan

Beliau terkenal sebagai pemidato yang sangat hebat.Gaya pidatonya yang bersemangat,meyakinkan dan menarik menyebabkan sesiapa pun terpukau dan yakin dengan agenda yang dibawa oleh beliau.Selepas Sukarno,beliau dan Dato' Seri Abdul Hadi Awang (sewaktu muda) sahajalah pemimpin politik yang mampu mewarnai politik Nusantara dengan pidato yang sangat memukau dan hebat.

Anwar Ibrahim adalah pemimpin yang berpegang dengan ajaran Islam yang sebenar.Walaupun beliau tidak berlatar-belakangkan pendidikan Islam sewaktu di universiti, beliau tetap mampu membawa imej dan wawasan Islam yang jelas dan komprehensif.Sebab itu,apabila beliau difitnah dengan tuduhan seks luar tabi'e,ramai ulama-ulama dan cerdik pandai agama yang tampil membela.

Antaranya adalah Ustaz Fadzil Nor,Datuk Dr. Hasan Ali,Dr. Haron Din,Ustaz Ismail Kamus,Ustaz Ahmad Awang,Dr Badrol Amin dan sebagainya.Di peringkat antarabangsa,beliau disokong oleh Sheikh Yusuf Al Qardhawi yang sehingga hari ini tidak menjejakkan kaki ke Malaysia lantaran protesnya kepada tindakan fitnah yang masih belum dibersihkan dengan maaf dan maruah.

Beliau juga bijak di dalam percaturan politik.Anwar Ibrahim adalah politikus yang optimistik dan pintar.Beliau tidak menggunakan pengaruh sesiapa untuk dijadikan batu loncatan dalam menggapai jawatan yang lebih tinggi sebaliknya dengan menggunakan karisma dan kredibilitinya yang tersendiri.Anwar membina pengaruhnya semenjak di bangku sekolah lagi.Beliau tidak boleh disamakan dengan saudara Khairy Jamaludin yang cepat meningkat naik dengan 'subsidi' pengaruh bapa mentua.

Beliau juga dikatakan tidak mudah terpengaruh dengan wang ringgit dan rasuah.Pernah bapa beliau mahu dianugerahkan tanah balak seluas beberapa ekar oleh kerajaan Sabah.Namun, beliau tanpa berlengah terus mengarahkan agar kelulusan itu ditarik balik kerana bertentangan dengan prinsipnya dan kepentingan rakyat.

Penutup

DS Anwar mungkin figura politik utama yang hampir mempunyai kesemua ciri-ciri yang Perdana Menteri Malaysia diimpi-impikan rakyat.Namun,beliau juga harus sedar bahawa pelapis pemimpin negara 'citra-Malaysia' harus segera dipersiapkan.Kita khuatir jika Pakatan Rakyat yang mengambil alih teraju kepimpinan negara,siapa lagi pemimpin selepas Anwar yang mampu memenuhi aspirasi dan selera rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Walaupun Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah mampu menampilkan pelapis-pelapis pemimpin politik berwajah Malaysia seperti Datuk Paduka Husam Musa,saudara Salahuddin Ayub,saudara Ezam Mohd Nor,saudara Khalid Samad dan saudara Mujahid Yusuf Rawa, namun kemunculan seorang lagi 'Prime Minister in waiting' yang benar-benar kompeten selain DS Anwar masih kabur dan sukar ditelah.

Walau apapun tanggapan umum tentang DSAI,hakikatnya rakyat sedang menantikan seorang pemimpin utama negara yang bukan sahaja baik, malahan punya kekuatan untuk memimpin.Pemimpin yang kuat mampu membina kerajaan yang kukuh dan perkasa.

Malaysia perlu dipimpin oleh seorang perdana menteri yang bukan sekadar mampu mengimamkan solat,tetapi juga mampu menerajui kebangkitan Malaysia yang gagah.

Sebagaimana yang disebutkan oleh Tun Dr. Mahathir dalam blognya bahawa "sebuah kerajaan yang lemah tidak sesuai untuk sebuah masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa".

Oleh itu, Anwar bukan hanya perlu mempersiapkan dirinya, tetapi juga Pakatan Rakyatnya!

sumber - ladangnet

No comments: