"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Tuesday, July 29, 2008

Pemuda PAS anggap syor Nik Aziz jenaka, MB Kelantan mahu Karpal hormati PAS

(Mutakhir) GUA MUSANG: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta Pengerusi DAP Karpal Singh supaya menghormati hasrat PAS untuk mengadakan muqabalah dengan Umno.

"Karpal macam saya juga, usianya telah tua, dan kita hormati dia, maka dia pula perlu menghormati kita," katanya kepada pemberita di sini semalam ketika diminta mengulas kenyataan pemimpin DAP itu yang mahu supaya kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat dikaji semula kerana menganggap perbincangan PAS dengan Umno boleh menggugat perpaduan dalam pakatan itu yang turut melibatkan Parti Keadilan Rakyat.

Nik Aziz berkata, Karpal sepatutnya memahami mengenai muqabalah yang merupakan perbincangan bersemuka antara PAS dan Umno kerana pengalaman politiknya yang lama dan untuk menjaga kepentingan bersama antara Pakatan Rakyat.

Beliau juga berkata isu muqabalah antara PAS dan Umno itu tidak akan diperjelaskan kepada Karpal kerana perkara itu pernah dibincangkan dengan pemimpin DAP itu sebelum ini.

"Saya tak nak komen, lagi pun dalam dua, tiga minggu dulu saya dah tutup fail menyentuh perkara itu yang membabitkan saya dengan Karpal," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub menyifatkan cadangan Nik Abdul Aziz Umno dan PAS dibubarkan hanya sebagai satu jenaka.

“Bagi saya tuan guru (Nik Aziz) hanya buat ‘joke’, tak lebih dari itu,” katanya kepada mStar Online.

Salahuddin turut beranggapan kenyataan Nik Aziz itu sebagai sindiran dalam politik memandangkan situasi sekarang yang heboh dengan isu muzakarah antara PAS-Umno sedang hangat diperkatakan.

Ditanya jika kenyataan Nik Aziz itu sememangnya serius dan benar-benar bermatlamat untuk penyatuan orang Melayu dan Islam, beliau berkata, perkara itu tidak mungkin menjadi kenyataan.

Beliau turut diminta mengulas mengenai isu PAS yang ‘diasak’ oleh rakannya dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP yang mendesak agar status keahlian mereka dikaji semula, beliau berkata: “Biasalah Karpal Singh”.

“Itu memang caranya dari dulu lagi yang suka mengeluarkan kenyataan seperti itu,” katanya lagi.

Kelmarin, Karpal ragu dengan keanggotaan PAS dalam Pakatan Rakyat kerana mengadakan perbincangan bersama Umno secara senyap.

Salahuddin bagaimanapun menafikan dakwaan yang mengatakan berlakunya keretakan antara komponen Pakatan rakyat itu.

“Hubungan PAS dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga DAP masih kuat seperti dulu, tiada perubahan,” katanya yang beranggapan kenyataan Karpal itu bersifat peribadi tanpa melibatkan DAP secara keseluruhannya.

Ditanya sama ada ketiga-tiga komponen Pakatan Rakyat akan berbincang mengenai isu ini, beliau berkata: “Tidak, tidak perlu dibincangkan apa-apa kerana tiada sebarang perubahan, kami masih bersama Pakatan Rakyat.”

-mSTAR Online

No comments: