"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Tuesday, July 29, 2008

Usul tidak percaya: SAPP kekal pendirian jawab esok, BN bincang 6 Ogos

(Mutakhir) KOTA KINABALU: Hari ini, Parti Maju Sabah (SAPP) akan mengemukakan jawapan mereka terhadap surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN).

Presiden parti, Datuk Yong Teck Lee berkata, surat itu akan dihantar melalui kourier, cara ia diterima genap 30 hari, selepas ia diminta memberikan penjelasan mengenai tindakannya.

"Kandungan surat jawapan itu ialah untuk mengulangi sebab undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, deklarasi lapan perkara dan bahawa kita mengekalkan pendirian kita.

"Terpulanglah kepada BN untuk mengambil tindakan apa saja kepada kita. SAPP bersedia dengan sebarang kemungkinan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan anggota dan penyokong parti di sini malam ini.

Pada 20 Jun, Majlis Tertinggi SAPP membuat ketetapan mengenai keputusan menyokong satu usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tetapi tidak ada keputusan dibuat untuk keluar daripada campuran BN.

Deklarasi itu antara lain, kerajaan hendaklah berdasarkan politik bukan bangsa mengenai kemakmuran, masyarakat adil dan harmoni, Sabah mempunyai autonomi politik di mana kerajaan ditubuhkan dan ditadbir oleh rakyat Sabah, Sabah dan negeri pengeluar minyak lain layak menerima royalti petroleum 20 peratus dan Wilayah Persekutuan Labuan dipulangkan kepada Sabah dan ditadbir sebagai wilayah khas.

Sementara itu, Yong juga menyatakan bahawa sepanjang tempoh 30 hari itu, SAPP tidak dijemput pada tiga mesyuarat BN pada 19, 24 dan 26 Jun dan merasakan ia adalah tidak wajar, sambil menambah: "Ia seolah-olah (SAPP) tidak lagi sebahagian daripada campuran."

Beliau juga mendakwa ada rundingan antara Umno dan PAS yang dikatakan bukan untuk berhasrat mengadakan satu muzakarrah, tetapi ada agenda politik.

"Senario politik kini tidak menentu. Sebab itu SAPP mahu autonomi di Sabah supaya kita tidak dipermainkan oleh yang lain," tambah beliau.

Di PETALING JAYA: BN berkata, sehingga hari ini ia belum menerima apa-apa maklum balas berhubung surat tunjuk sebab yang diberikan kepada SAPP pada 30 Jun lalu walaupun tempoh 30 hari untuk menjawab surat itu akan berakhir esok.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pihaknya masih menunggu jawapan daripada SAPP dan jika tiada sebarang maklum balas diterima daripada mereka sehingga esok, Dewan Tertinggi BN akan memutuskan tindakan yang bakal dikenakan ke atas parti komponen BN itu.

“Kita akan membincangkan hal ini dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan yang akan diadakan pada 6 Ogos ini.

“Selepas itu, Dewan Tertinggi BN dalam mesyuaratnya selepas itu akan memutuskan tindakan yang akan dikenakan kepada SAPP,” katanya kepada mStar Online, hari ini.

Ketika ditanya sama ada SAPP ada menghubungi BN untuk meminta tempoh menjawab surat tersebut dilanjutkan, Tengku Adnan berkata, pihaknya tidak ada berhubung dengan Sekretariat SAPP sepanjang tempoh selepas surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada parti itu.

-mSTAR Online

No comments: