"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Friday, July 18, 2008

'Saya enggan, takut gambar saya tersebar luas di You Tube' - Anwar

18-07-2008 07:45:28 AM
Oleh NURUL AIN HUSSAIN, ARIFFUDDIN ISHAK dan LEE YAN XIU

ANWAR Ibrahim (dua dari kanan) menjawab soalan wartawan pada sidang media selepas dibebaskan atas jaminan polis petang tadi di rumahnya di Bukit Segambut, Kuala Lumpur. Bersama beliau ialah Dr. Wan Azizah Wan Ismail (kanan), anak mereka, Nurul Izzah (paling kiri, berdiri) dan salah seorang peguamnya, R. Sivarasa (dua dari kiri). - foto The Star CHUA KOK HWA

(Dikemas kini) KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menolak untuk menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dengan alasan tidak yakin akan ujian itu dan atas nasihat peguam dan juga pakar dalam dan luar negara.

Anwar percaya pemalsuan terhadap bukti DNAnya boleh berlaku berdasarkan tuduhan palsu kes liwatnya pada 1998 dan juga kerana orang yang menuduhnya, Mohd Saiful Bukhari Azlan masih di dalam tahanan polis.

“Mengenai isu pengambilan darah, saya dinasihatkan oleh peguam dan pakar-pakar DNA dari dalam dan luar negara untuk tidak membenarkannya,” kata beliau pada sidang media yang diadakan di rumahnya di Bukit Segambut pukul 2 petang ini selepas dibebaskan pagi tadi.

Alasan yang diberikan ialah simpanan sampel darah beliau sudah ada dalam simpanan polis dan takut kemungkinan berlaku manipulasi terhadap sampel tersebut oleh pihak-pihak tertentu.

Anwar ditahan dan dibawa ke Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada pukul 2.30 petang semalam untuk diambil keterangan dan dibebaskan pada pukul 9.50 pagi hari ini selepas polis mengambil lagi keterangannya pukul 7.30 pagi.

Katanya beliau diletakkan di lokap di tingkat tujuh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala dan dilayan dengan baik.

Beliau juga mempersoalkan prosedur polis dengan mendakwa polis tidak membebaskannya berikutan keenganannya memberikan sampel darah tetapi membebaskannya pagi ini walaupun beliau masih tidak berbuat demikian.

Ketika ditanya sama ada beliau mahu berjumpa Saiful, Anwar berkata:
"Ia sekadar episod dalam drama. Ini tuduhan serius, melibatkan kesalahan jenayah. Ada bukti dan asas patut disiasat, jika tiada asas dan bukti, penuduh yang patut ditahan dan tertuduh harus dilepaskan."

Semalam Anwar dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira pukul 8.35 malam tadi untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Bagaimanapun beliau bertanya kepada pegawai perubatan HKL mengapa sampel darah beliau mahu diambil, pegawai tersebut memaklumkan bahawa sampel tersebut akan dikirimkan untuk tindakan polis.

“Oleh itu saya inginkan jaminan apakah proses tersebut dapat dipastikan tiada sebarang unsur atau percubaan seperti tindakan sebelumnya (kes 1998) iaitu menipu meletakkan DNA terawal di tempat-tempat tertentu,” katanya.

Beliau juga inginkan jaminan kerajaan untuk melihat keterangan yang ada bagi memastikan kes ini disiasat dengan telus dan profesional.

Mengenai pemeriksaan kesihatan yang dilakukan, Anwar berkata beliau telah ditelanjangkan bagi menjalankan pemeriksaan seluruh badan.

“Saya dibogelkan. Seluruh badan saya diperiksa termasuk kemaluan. Mereka juga ukur apa yang perlu dan saya ikut semuanya.

"Namun saya enggan gambar saya diambil kerana takut akan tersebar luas dalam You Tube,” katanya sambil tersenyum.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga hairan dan kesal kerana sehingga kini beliau masih belum menerima salinan laporan polis yang dibuat bekas pembantunya Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Jelasnya, jika selepas ini atau esok beliau menerima laporan itu, adalah sukar untuknya memastikan sama ada laporan itu benar-benar asli ataupun tidak.

“Kalau lepas ini saya terima, siapa boleh pastikan laporan itu asli atau tidak? Mana ada siasatan dijalankan terhadap tertuduh tanpa melihat laporan tuduhan terhadapnya?,” kata beliau.

Anwar juga tidak menolak kemungkinan pindaan akan dilakukan terhadap laporan polis terhadapnya selepas beliau selesai memberikan keterangan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Kuala Lumpur semalam.

Ditanya sama ada beliau meminta kebenaran polis untuk melihat laporan itu semasa siasatan dijalankan semalam, beliau berkata, polis memberikan pelbagai alasan untuk tidak memberikannya.

Bercerita mengenai apa yang berlaku sehingga beliau perlu ditahan di lokap, beliau berkata, pada mulanya polis berjanji akan membebaskannya semalam selepas selesai menjalankan ujian kesihatan di HKL.

“Sebelum itu saya diberi jaminan oleh pegawai atasan polis untuk merekodkan keterangan, buat pemeriksaan kesihatan di HKL dan kembali semula ke IPK untuk diberikan bon polis agar saya dibebaskan semalam juga, namun perkara sebaliknya berlaku,” katanya.

Semalam beliau ditempatkan di lokap tingkat tujuh IPK dan diarah tidur di lantai simen tanpa alas.

“Lokap itu adalah lokap yang menempatkan penjenayah besar. Saya disuruh tidur dilantai simen tanpa alas hingga menyebabkan pinggang saya kembali sakit kerana tidak tahan dengan sejuk,” katanya.

Namun kira-kira pukul 1 pagi, isterinya Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail datang memberikan tuala bagi dijadikan alas.

Selepas keterangan sambungan diberikan kepada polis hampir 30 minit, beliau dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 9.30 pagi.

Sejurus sampai ke rumah, beliau diberikan suntikan ubat penahan sakit oleh doktor peribadi kerana mengadu terlalu sakit dan beliau perlu berehat sebelum bersedia mengadakan sidang media kira-kira pukul 2.05 petang.

Diminta mengulas mengenai tindakan PAS yang bersedia bermuzakarah dengan pemimpin Umno, beliau menyokong usaha PAS untuk berjumpa sesiapa sahaja.

Penasihat Umum Pakatan Rakyat itu juga menegaskan hubungan PKR dan PAS masih utuh seperti dahulu tanpa masalah.

Beliau turut ditanya mengenai keputusan untuk bertanding dalam mana-mana pilihanraya kecil bagi memberi laluan untuknya, beliau berkata hasrat itu akan tetap dilakukannya.

“Saya baru dibebaskan. Bagilah saya sedikit masa,” katanya yang turut mengakui detik 16 September (umum ahli BN lompat parti) yang dijanjikan pasti akan dibuktikan.

Dalam sidang media tersebut beliau turut ditemani isteri, peguamnya Sakaran Nair dan beberapa ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

-mSTAR Online

No comments: