"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Wednesday, July 23, 2008

UMNO KHIANATI ISLAM DAN KETUANAN MELAYU

PENDEDAHAN Pesiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa telah berlaku tiga pertemuan antara beliau dengan pimpinan PAS telah menambahkan lagi kekecohan politik negara. Tidak cukup dengan isu krisis dalaman Umno dan kes Altantuya, membawa pula kepada isu pembentukan kerajaan alternatif sebelum 16 September dan kes liwat Anwar Ibrahim. Kemudian, Pak Lah dan Najib Razak bersetuju supaya peralihan kuasa dibuat pada 2010. Dalam hiruk-pikuk ini, Pak Lah mengumumkan bahawa PAS sedang brmuzakarah dengan Umno dalam isu Islam dan ketuanan Melayu.

Tidak sedikit pemerhati politik, penyokong Pakatan Rakyat (PR) dan pimpinan PR malah ahli dan pimpinan PAS turut marahkan PAS dalam soal ini. Setidak-tidaknya mereka memberi ingat supaya pimpinan PAS tidak terperangkap dengan permainan politik desprate Umno dalam mempertahankan survival mereka. Ini telah menjadi persoalan yang besar kepada rakyat. Adakah PAS benar-benar serius ingin mengalih pendekatannya dengan menyertai kem BN dan mengapa PAS harus tinggalkan PR setelah pakatan ini mendapat kepercayaan rakyat? Benarkah PAS bermaksud demikian atau ia hanya manipulasi media untuk menjayakan drama yang dipilot oleh Pak Lah.

Mursyidul Am PAS sudah membuat penegasan bahawa ini bukan kerjasama politik. Ia hanya satu perundingan peribadi yang tidak menjejaskan hubungan PAS dalam PR. Tuan Guru mengingatkan PAS supaya berhati-hati jangan sampai terlanjur kerana tidak mahu titik hitam bersama BN berulang. Ini bukan pertama kali Umno mempermainkan PAS dalam menyelamatkan politik mereka. Ketika Umno berpecah dengan Dato’ Onn pada 1951, Tunku Abdul Rahman berusaha menarik PAS menyertai Persidangan Pertubuhan Melayu di Johor Bahru, diikuti oleh penyertaan PAS dalam National Convention pada 1953. Tujuan utama Tunku Abdul Rahman berbuat demikian kerana bimbang Umno terkubur setelah National Conference tajaan Dato’ Onn mendapat sokongan parti-parti politik ketika itu.

Pemain utama yang menyebabkan PAS menyertai National Convention dan membuatkan Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Haji Ahmad Fuad meninggalkan PAS ialah Tuan Haji Ahmad Badawi, bapa Presiden Umno. Selepas memecahkan PAS pada 1953, beliau meninggalkan PAS untuk terus bersama Umno. Melalui National Convention tajaan Tunku Abdul Rahman juga, Umno telah memperdayakan parti-parti Melayu seperti PAS dan PMS dengan memberikan hak mengundi kepada warga asing mengikut jus soli, selain menolak usul PAS untuk menambahkan wakil Melayu dalam Majlis Perundangan Persekutuan. Selepas tiga bulan, PAS meninggalkan National Convention yang diperalatkan oleh Umno ini.

Selepas pelbagai fitnah dilemparkan Umno ke atas PAS seperti komunis, agen asing, pro Indonesia dan lain-lain sehingga membawa kepada penyalahgunaan ISA dalam isu takfir dan konfrantasi 1963, Umno dengan tiba-tiba merujuk kepada PAS selepas tragedi 13 Mei 1969. Sudah ramai pengkaji sejarah yang telah mengetahui siapa sebenarnya di sebalik 13 Mei ini sehingga ada tulisan berkaitannya diharamkan. Atas isu ketuanan Melayu, sekonyong-konyong Tun Razak menemui Datuk Asri untuk meminta kerjasama PAS. Selepas Kerajaan Campuran PAS-Perikatan dibentuk pada 1973 dan Barisan Nasional (BN) ditubuhkan pada 1974, Umno kembali kuat. Akhirnya PAS disingkirkan denga cara yang tragis juga.

Pimpinan PAS sering kali ikhlas setiap kali diajak berunding oleh mana-mana pihak. Mungkin kerana itu menjadikan PAS parti yang paling banyak kerjasama politik. Tetapi kerana ’terlalu lurus’ juga, mungkin membuatkan PAS sering menjadi mangsa politik licik Umno. Selepas Peristiwa Memali yang membunuhkan 14 ahli PAS pada November 1985, Umno mengajak PAS bertemu secara sulit dalam ’pertemuan 10 mata’, tetapi belum apa-apa mereka sudah mengumumkan kepada media. Orang-orang Cina dalam CCC cukup terkilan dengan tindakan PAS ’tikam belakang’, tetapi sebenarnya PAS yang ditikam oleh Umno dari belakang. PAS tidak mengkhianati orang Cina ketika itu. Kesannya, PAS kalah teruk dalam pilihan raya 1986.

Dr Mahathir sendiri beberapa kali cuba memancing PAS pada 1999, tetapi rundingan itu gagal apabila beberapa tuntutan PAS tidak dapat dipenuhi. Selepas 2004, ketika Umno kuat, beberapa permintaan Pemuda PAS untuk bermuzakarah dengan Pemuda Umno tidak dilayan. Tiba-tiba, apabila Umno kembali nazak, mereka ’merindui’ semula PAS. Mereka mencari PAS dan berusaha bertemu PAS secara sulit, kononnya kerana mahu membincangkan kepentingan Islam dan ketuanan Melayu. Apabila beberapa pimpinan PAS hadir untuk mendengar apa yang hendak diperkatakan oleh Umno, Pak Lah mengambil kesempatan untuk mengeruhkan hubungan PAS sesama PAS dan PAS dengan PR. Sedangkan PAS tidak pernah membuat apa-apa persetujuan atau keputusan berkaitan pertemuan ini. Ia hanya sekadar pertemuan untuk mendengar apa rintihan dari Umno. Tidak lebih dari itu.

PAS amat sedar, jika kita ingin memperkatakan tentang ketuanan Islam, maka Umnolah yang bertanggungjawab menghancurkannya, bukan orang lain. Umno mengasaskan aqidah baru yang dinamakan ’Islam Hadhari’ sehingga Presiden PAS terpaksa menulis buku ’Hadharah Islamiyah bukan Islam Hadhari’ untuk menolak agama baru ini. Pada zaman Pak Lah inilah boleh dilihat bagaimana kejadian murtad melata dengan banyak, institusi agama diperkecilkan, para ulamak dihina, sekolah-sekolah agama terpinggir, jenayah dalam negara semakin serius serta hiburan melampau terus bebas dianjurkan. Malah Pak Lah juga tidak ada hak untuk menjadi hero dalam membela ketuanan Islam di Malaysia kerana dalam perlantikan Menteri-Menteri Kabinet selepas PRU ke 12 baru-baru ini, Pak Lah masih boleh memberi kepercayaan kepada YB Senator Zaid Ibrahim untuk menjadi menteri sedangkan siapakah yang tidak kenal dengan pengkhianat agama ini yang pernah memfailkan saman terhadap kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu apabila meluluskan enakmen jenayah syariah, hudud dan Qisas. Bahkan, pengikut-pengikut yang bermazhab Imam Hadhari inilah yang telah mengharamkan tazkirah di masjid dan surau, menyekat pendakwah dan bertanggungjawab dalam meruntuhkan masjid di Kg. Bujal, Terengganu dan beberapa masjid di Selangor. PAS juga tidak pernah lupa tentang isu Batu Burok yang hampir-hampir meragutkan 2 nyawa orang Melayu Islam. Maka atas asas apa untuk Umno mengajak PAS bermuzakarah tentang kepentingan agama. Seumpama pencuri mengajak polis berunding untuk mengurangkan kes pecah rumah!

Dalam soal ketuanan Melayu juga, Umnolah juara dalam menghapuskannya. Bukankah dahulu pimpinan Umno berkata bahawa orang Melau tidak patut diberikan hak istimewa kerana nanti orang Melayu menjadi Red Indian di negara ini. Atas sikap ini Umno menghapuskan biasiswa untuk orang Melayu, memencilkan bahasa Melayu, menyahkan adat kebudayaan Melayu dan menggadaikan tanah rezab Melayu. Negeri Pak Lah sendiri yang dikuasai BN lebih 50 tahun, orang Melayu terpencil dan terpinggir sehingga menjadi seperti pelarian. Di Kuala Lumpur, orang Melayu hanya menguasai kawasan hitam di Chow Kit, sedangkan kawasan pertumbuhan ekonomi di Bukit Bintang dikuasai oleh orang bukan Melayu. Mereka cuba menggambarkan bahawa Umno itu Melayu, dan Melayu itu Umno. Selamat Umno, selamatlah Melayu kononnya. Walhal kerana adanya Umnolah maka Melayu benar-benar layu!

Isu yang cuba diketengahkan oleh Umno dan agen-agennya semenjak Mac 2008 adalah untuk menjerat PAS supaya berasa simpati terhadap nasib bangsanya. Seolah-olah PAS kini mengenepikan kepentingan orang Melayu sebelum ini. Umno beranggapan bahawa punca tergugatnya Islam dan terpinggirnya Melayu disebabkan kemenangan PR dan persepakatan PAS bersama dengan PKR dan DAP. Dan kesemua bebanan ini ditujukan kepada PAS dan PR sebagai punca sedangkan PR baru menjadi kerajaan selama 4 bulan serta pada masa yang sama terpaksa merawat kudis buta tinggalan kerajaan BN sebelum ini. Adakah Umno sudah lupa, Melayu di Pulau Pinang bukan terpinggir kerana DAP tetapi kerana kezaliman kerajaan BN yang telah menguasai negeri tersebut sejak 50 tahun dahulu. Adakah Umno sudah lupa, merekalah yang telah merobohkan masjid / surau di Selangor malah merekalah yang menjadikan Melayu dungu, pak angguk dan jahil dengan agama selama ini. PAS sudah beratus kali menegaskan bahawa orang Melayu akan selamat jika Islam berdaulat. Kemahuan Umno untuk bermuzakarah dengan PAS ini bukan kerana kepentingan Islam atau ketuanan Melayu, tetapi kerana survial politik mereka. Dalam keadaan PAS hanya baru mendengar apa luahan hati Umno dan tidak ada sebarang keputusan pun dibuat oleh PAS mengenainya, Umno sudah memanipulasikan muzakarah ini. Ia satu bukti yang cukup jelas bahawa Umno tidak ikhlas dan mereka hanya mahu memerangkap PAS.

Saya menyeru pimpinan dan ahli-ahli PAS supaya berhati-hati dengan permainan politik kotor ini. Ia bukan terbit dari hati ikhlas pemimpin Umno, tetapi ia satu strategi politik untuk memecahkan PAS daripada PR dan menghapuskan kepercayaan rakyat kepada PAS. Kita mesti belajar dari sejarah bahawa dulu, kini dan selamanya adalah pengkhianat dan mereka tidak melakukan sesuatu melainkan untuk mengkhianati perjuangan PAS. Jika tiada apa-apa, masakan tempua bersarang rendah. Kita jangan tergoda oleh isu-isu yang cuba ditimbulkan untuk memerangkap PAS. Biar kita menjadi pembangkang yang dimuliakan rakyat, daripada mendapat kuasa dalam penghinaan rakyat!

YB Tn Hj Mahfuz Omar
Ahli Parlimen Pokok Sena
Ketua Penerangan PAS Pusat

-Parti Islam SeMalaysia

No comments: