"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Thursday, August 07, 2008

Cabaran Besar Menjadi Speaker Wanita Pertama Di Negara Islam, Kata Dr Fehmida

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Dr Fehmida Mirza, wanita pertama dilantik sebagai Speaker Dewan Kebangsaan Pakistan, berkata ia merupakan satu penghargaan dilantik ke jawatan itu walaupun dibebani tanggungjawab yang berat.

"Dalam kes saya, menjadi speaker wanita Pakistan pertama merupakan satu penghormatan dengan tanggungjawab yang berat, cabaran besar tetapi sudah banyak perubahan berlaku sejak pilihan raya umum lepas.

"Sebelum ini, semua isu-isu penting negara dibawa di luar Parlimen tetapi sekarang buat pertama kali, isu-isu berkenaan tanah, tenaga, air dan kemiskinan dibawa ke Parlimen," kata wanita yang wajahnya mirip bekas Perdana Menteri Pakistan Benazir Bhutto kepada pemberita di sini, Rabu.

Dr Fehmida, 51, yang turut menyertai Persatuan Parlimen Komanwel (CPA) berkata beliau gembira untuk menyatakan usaha-usaha yang dilakukan anggota-anggota Parlimen Komanwel diiktiraf oleh negara-negara mereka berikutan perkembangan kemanusiaan, masyarakat dan ekonomi.

Doktor perubatan itu yang menjadi anggota Parlimen sejak 1997 berkata beliau sangat gembira dengan peningkatan penerimaan terhadap status wanita menyamai lelaki.

Berbicara mengenai wajahnya yang mirip Benazir, Dr Fehmida berkata ramai yang mengatakan beliau seperti Benazir dan baginya ia satu penghormatan.

"Orang di kawasan saya juga merasakan begitu," katanya ketawa, sambil mendedahkan bahawa Benazir adalah orang yang memperkenalkan beliau kepada politik pada 1997.

"Benazir Bhutto adalah inspirasi kepada kami semua. Apa yang ada pada saya hari ini kerana perjuangan beliau," kata anggota Parti Rakyat Pakistan, sebuah parti politik sosialis Islam berhaluan kiri di Pakistan yang mencapai kejayaan cemerlang pada pilihan raya negara itu 18 Feb lepas.

Pada masa ini, 75 daripada 342 wakil dalam Dewan Kebangsaan Pakistan adalah wanita. Pakistan adalah negara Islam kedua terbesar selepas Indonesia.

No comments: