"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Wednesday, August 13, 2008

Naib Canselor 'warning' MB, jangan kacau UiTM

SA: Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Datuk Seri Prof Dr Ibrahim Abu Shah meminta Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya tidak mencampuri dan mengacau pentadbiran pusat pengajian tinggi itu.

Dalam nada keras beliau berkata Abdul Khalid boleh menggunakan Universiti Industri Selangor (UNISEL), kolej-kolej komuniti dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta lain jika mahu menolong golongan bukan Bumiputera tetapi jangan kacau UiTM.

UiTM merupakan satu-satunya institusi terakhir bagi orang Melayu untuk mengubah nasib mereka menerusi pendidikan dan tidak ada sebab mengapa ada pihak cuba mencampuri atau mengacau pentadbirannya selama ini, katanya pada sidang akhbar di sini, Selasa.

Beliau menyifatkan kenyataan Abdul Khalid pada Ahad lepas supaya 10 peratus kuota kemasukan ke UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera dan pelajar asing, adalah berunsur politik semata-mata.

Dr Ibrahim berpendapat Menteri Besar Selangor menggunakan isu itu bagi meraih sokongan orang bukan Melayu, seolah-olah kerajaan Pakatan Rakyat ini baik dan hendak menolong golongan berkenaan yang mungkin tidak faham mengenai penubuhan UiTM.

"UiTM merupakan salah satu daripada hak-hak istimewa orang Melayu di bawah Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dan Canselornya ialah Yang di-Pertuan Agong sendiri.

"Apa yang pelik ialah isu pembukaan (kemasukan) ke institusi pengajian untuk Bumiputera ini kepada bangsa asing dibangkitkan oleh seorang Melayu sendiri, bukannya bangsa asing," katanya.

Pendapat Abdul Khalid bahawa cadangannya itu akan dapat menjadikan para pelajar UiTM lebih mesra kepada masyarakat berbilang bangsa di luar kehidupan kampus, menyediakan mereka kepada suasana pekerjaan dan meningkatkan daya saing, kata Dr Ibrahim hanya merupakan pandangan dan bukannya fakta.

Naib Canselor itu berkata ini kerana pelajar UiTM merupakan antara graduan pilihan majikan terutama swasta baik dari dalam negara mahupun antarabangsa dan sebilangan daripada mereka kini menjadi pemimpin dalam sektor korporat.

"Jika mereka tidak boleh bergaul dan bekerja dengan bangsa asing di sektor pekerjaan bagaimana mereka dapat pergi jauh di dalam kerjaya mereka dan perlu diingat 12 peratus daripada tenaga pengajar UiTM ini adalah bangsa asing dan mereka dihormati dan disenangi oleh para pelajar Bumiputera di dalam institusi ini," katanya.

Dr Ibrahim berkata jika dirangkumkan semua kaum Bumiputera yang menuntut di seluruh institusi pengajian tinggi awam dan swasta dan universiti di luar negara, pelajar UiTM hanyalah 35 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar universiti di Malaysia dan ini menunjukkan orang Melayu masih ketinggalan berbanding dengan kaum lain.

"Kes dia ini (Abdul Khalid) pada anggapan saya mungkin ada kaitan dengan pilihan raya kecil akan datang di Pulau Pinang (Parlimen Parmatang Pauh) supaya semua orang Melayu menyokong Anwar (Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan menang agaknya.

"Saya mungkin silap (tetapi) rayuan saya kepada rakan-rakan bukan Melayu supaya jangan mudah terpengaruh dan jangan berfikir secara sempit," katanya.

Dr Ibrahim juga berkata kira-kira 5,000 pelajar UiTM telah berhimpun di depan bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini pagi tadi bagi menyerahkan memorandum bantahan mereka mengenai isu itu kepada Menteri Besar Selangor.

Katanya memorandum itu diserahkan oleh Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Luqmanulhakim Mohd Idris kepada Pegawai Berita Menteri Besar Selangor, Hazril Abu Hassan.

Dr Ibrahim percaya kira-kira 119,000 penuntut UiTM di seluruh negara dan 350,000 ahli alumninya juga tersinggung atau marah dengan kenyataan Abdul Khalid.

"Insya Allah saya akan mengadap Canselor (UiTM) Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin bagi memaklumkan baginda mengenai perkembangan ini," katanya.

-KLpos

No comments: