"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Saturday, September 06, 2008

Pengerusi Gerakan Wilayah Sertai PKR

(Dikemas kini) PETALING JAYA: Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Tan Kee Kwong (gambar) yang digantung keahlian dua bulan lalu hari ini secara rasmi menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Saya menyertai parti ini kerana sudah hilang kepercayaan kepada kepimpinan Gerakan, Umno dan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Jelas Dr. Tan, beliau telah menghantar surat letak jawatan secara rasmi kepada Ibu Pejabat Gerakan semalam.

"Saya telah memfakskan surat kepada Gerakan pada pukul 11 pagi semalam," katanya yang juga anak kepada ahli politik terkenal era 60 dan 70 an tanah air mendiang Tan Sri Tan Chee Khoon.

Bekas Ahli Parlimen Segambut itu mengumumkan perkara tersebut di Ibu Pejabat PKR, Kuala Lumpur pada sidang media yang turut dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Dr. Tan pernah menjadi Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi dari 1999 hingga 2004 dan merupakan Ahli Parlimen Segambut selama tiga penggal iaitu dari 1995 hingga 2004.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim; Ketua Penerangan PKR, Tian Chua dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.

Beliau mengadakan sidang media di Ibu Pejabat PKR pukul 1 tengah hari tadi.

Tegas Dr. Tan, keputusan untuk keluar Gerakan dibuat setelah beliau lihat parti itu tiada perubahan selepas berlakunya tsunami politik pada pilihan raya umum ke-12, 8 Mac lalu.

"Sampai satu tahap saya rasa bukan sukar tapi mustahil untuk mengubah Barisan Nasional (BN). Jadi saya pernah bertanya kepada parti komponen BN yang lain seperti MIC, MCA, SUPP dan Gerakan sendiri mereka bersifat jujur kepada perjuangan politik mereka," katanya.

Tambahnya, beliau berkata sedemikian kerana Umno sudah jauh daripada perjuangan asal mereka.

Ketika ditanya mengapa beliau memilih untuk menyertai PKR sedangkan DAP juga memperjuangkan hak kesamaratan semua kaum di negara ini, beliau berkata:

"Saya memilih PKR adalah sebuah parti untuk masa depan yang dibuka untuk semua kaum. Mereka punya pemimpin yang dedikasi untuk mengubah masa depan Malaysia," katanya.

Ditanya adakah beliau berasa sedih untuk meninggalkan Gerakan, Dr. Tan berkata:

"Perkataan yang sesuai untuk mentafsirkan perasaan saya bukan sedih tetapi penyertaannya ke dalam PKR telah memberi satu nafas baru kepada saya."

Tambahnya politik hanyalah sebagai satu platform untuk meletakkan diri seseorang sebagai pemimpin.

Dr. Tan berkata tindakannya yang diambil oleh beliau dan isterinya tidak pernah didesak oleh mana-mana pihak.

Gerakan menggantung keahlian Dr. Tan berikutan tindakannya menerima jawatan dalam pentadbiran kerajaan Selangor yang dikuasai Pakatan Rakyat.

Dr. Tan menerima tawaran menyertai kerajaan Selangor bagi mengetuai pasukan petugas untuk memperbaiki pentadbiran serta dasar berhubung pemilikan tanah.

Tindakan bekas Timbalan Menteri Pembangunan Tanah dan Koperasi itu adalah yang kedua membabitkan pemimpin Gerakan, selepas Datuk Lee Kah Choon.

Sementara itu, Dr. Wan Azizah berkata PKR mengalu-alukan kemasukan Dr. Tan ke dalam parti itu.

"Saya mengalukan-alukan dan berbesar hati dengan kemasukan Dr. Tan ke dalam PKR. Diharapkan selepas ini akan ada lebih ramai lagi akan menyertai PKR," katanya.

-mSTAR Online

No comments: