"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Wednesday, October 08, 2008

Kes Anwar: Mahkamah Tinggi tolak permohonan pendakwa

Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan pihak pendakwa dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen untuk mendengar merit permohonan pendakwa bagi memindahkan kes tersebut ke mahkamah lebih tinggi.

Pihak pendakwa memfailkan permohonan tersebut semalam untuk menyemak keputusan Hakim Mahkamah Sesyen SM Komathy Suppiah yang telah menolak bantahan mereka berhubung pendengaran permohonan memindahkan kes liwat Anwar itu ke mahkamah lebih tinggi.

Komathy telah memutuskan, beliau mempunyai budibicara untuk mendengar hujah-hujah berhubung bantahan peguambela yang mempersoalkan kesahihan sijil dari pihak pendakwa untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Sehubungan itu, beliau menolak bantahan awal pihak pendakwa yang berhujah bahawa adalah wajib bagi Mahkamah Sesyen, mengikut Seksyen 418A (3) Kanun Prosedur Jenayah, untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi sebaik sahaja sijil pemindahan dikeluarkan oleh pihak pendakwa.

Mahkamah Tinggi menolak untuk mendengar permohonan semakan tersebut melalui sepucuk surat bertarikh semalam dan dialamatkan kepada ketua pendakwaraya kes tersebut, Datuk Yusof Zainal Abiden.

Salinan surat tersebut turut dihantar kepada Komathy dan para peguam Anwar.

Hakim tidak puashati


Menurut surat tersebut - yang ditandatangani oleh penolong pendaftar kanan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Haslina Basarudin - permohonan pihak pendakwa untuk membuat semakan berkenana, telah ditujuk kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah semalam.

Haslina berkata, selepas meneliti surat tersebut, hakim berkenaan berpendapat bahawa semakan terhadap keputusan berhubung bantahan awal, yang dibuat oleh hakim Mahkamah Sesyen, telah seharusnya dibuat di peringkat ini.

Menurutnya, hakim Mahkamah Sesyen seharusnya diberi peluang untuk mendengar dan memutuskan merit bantahan awal pihak peguambela (dalam pemindahan kes) sebelum sebarang tindakan semakan dibuat.

Oleh itu, kata Haslina, pendengaran merit bantahan awal peguambela seharusnya diteruskan di Mahkamah Sesyen.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen, hakim Komathy hari ini meneruskan mendengar hujah peguam Anwar mengenai sebab-sebab mengapa mereka membantah permohonan pihak pendakwa untuk memindahkan kes tersbut ke Mahkamah Tinggi.

Anwar, 60, telah didakwa di Mahkamah Sesyen dengan tuduhan melakukan hubungan seks di luar tabii ke atas bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, di sebuah kondominium empat bulan lalu.

Pihak pendakwa kemudiannya memohon untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi tetapi pihak peguambela berhujah bahawa sijil pemindahannya tidak sah kerana ia ditandatangani oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung laporan polis yang dibuat oleh Anwar terhadapnya.

-malaysiakini

1 comment:

Anonymous said...

Perlembagaan Persekutuan dibawah Fasal/Article 145(3) sememangnya jelas memberikan kuasa budibicara kepada Peguam Negara dalam hal Pendakwaan. Budibicara dan kuasanya disahkan oleh banyak kes-kes (dulu lagi sehingga sekarang) yang telah diputuskan oleh Mahkamah Federal iaitu mahkamah tertinggi di Persekutuan Malaysia. Maka kuasa budibicara Peguam Negara tidak lagi perlu dipersoalkan.

Peguam Negara juga bertindak sebagai pendakwaraya dan dalam banyak hal Timbalan Pendakwa Raya dan Penolong Pendakwa Raya mempunyai juga kuasa yang terdapat pada Pendakwa Raya. Namun ada sesetengah kuasa hanya khas untuk kegunaan peribadi PendakwaRaya antaranya ialah memindahkan kes (seksyen 418A Kanun Prosedur jenayah)yang walaupun Mahkamah Rendah mempunyai bidang kuasa menentukannya, memandangkan minat orang ramai (high profile case) dan oleh kerana PendakwaRaya sendiri yang akan melakukan pendakwaan tersebut, adalah wajar kes didengar diMahklamah Tinggi sesuai dengan martabat dan kedudkan Peguam Negara yang juga merupakan sebagai Pendakwa nombor satu negara.

Filosofnya mudah, kedudukan dan martabat nya melayakkannya contohnya tinggal ditempat hotel 5 bintang atau naik kapalterbang business - jika tidak, jatuh lah standard beliau sebagai Peguam Negara. ini sekadar perumpamaan sahaja.

Mahkamah Sesyen memang mempunyai bidang kuasa mendengar kes yang tidak membawa hukuman mati, maka kes liwat dibawa seksyen 377B sememangnya boleh didengar dimahkamah Sesyen. namun itu tidak bermakna Mahkamah Tinggi tidak boleh ambil kes itu kerana Mahkamah Tinggi lebih berkuasa dan lebih luas bidangkuasanya berbanding majistret dan Tuan hakim mahkamah Sesyen. Tuan hakim mahkamah Sesyen dan Tuan majistret tidak dipanggil "Yang Arif" berbanding Hakim Mahkamah Tinggi.

Maka sekarang mudah kita nampak rasionalnya kenapa kuasa diberikan kepada Peguam Negara memindahkan kes diMahkamah Tinggi sesuai dengan kedudukan dan martabat Peguam Negara itu sendiri.

Pendakwaraya mempunyai kuasa luas dalam hal pendakwaan dan budibicaranya tidak tertakluk kepada budibicara Perdana Menteri. Peguam Negara memegang jawatan diatas perkenan/ lesen Yang DiPertuan Agung bukan atas perkenan/lesen Perdana Menteri. Maka kenyataan PM bahawa Peguam Negara sendiri tidak akan terlibat dalam pendakwaaan Dato Seri Anuar sebenarnya tidak mengikat Peguam Negara kerana PM tiada kuasa terhadap Peguam Negara.

Bahawa Peguam Negara mempunyai suatu laporan polis terhadapnya bersama IGP Musa Hassan atas tudohan Dato Seri Anwar nahawa mereka `mengada-adakan' keterangan terhadap kes liwat yang lalu terhadap Dato Seri Anwar adalah isu berbeza dan tiada kaitan langsung dengan kuasanya melakukan pendakwaan terhadap Dato Seri Anuar. Oleh kerana Perlembagaan Persekutuan itu sendiri secara jelas memberikan Peguam Negara kuasa Pendakwaan, hujah "legitimate expectation' peguam En Sulaiman tidak boleh dipakai kerana suatu doktrin estoppel tidak boleh mengatasi suatu peruntukkan undang-undang yang jelas apatah lagi kuasa yang telah dianugerahkan dibawah Perlembagaan Persekutuan - Undang2 Tertinggi diMalaysia.

Sememangnya keputusan Tuan Hakim mahkamah Sesyen Komathy silap kerana memindahkan kes ke mahkamah tinggi memang didalam kuasa peribadi Peguam Negara. Apahal pula beliau tidak boleh tandatangan sijil perpindahan kes tersebut?

Prof Madya Dr Abdul Rani Bin Kamarudin
Pensyarah Undang2 IIUM