"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Friday, October 17, 2008

Reformasi Umno menjelang PAU 09, 'signal' salah dari ahli parti

Oleh Zukri Aksah



BAGI kebanyakan pendokong Umno, Pilihanraya Umum 8 Mac yang lalu adalah tragedi, sementara Pilihanraya Kecil Permatang Pauh selepasnya pula adalah pengesahan kepada tragedi tersebut.



Maka tersentaklah Umno, di sana-sini riuh ahli-ahli Umno dari yang tinggi kepada yang rendah bercakap soal perubahan, Umno perlu berubah, sefaham mereka inilah signal yang ditunjuk oleh rakyat dalam kedua-dua pilihanraya tersebut.



Sementelah lagi, Barisan Nasional yang diterajui Umno berada dalam keadaan paling lemah sejak penubuhannya ini menyaksikan pula munculnya ramai “Lee Kim Sai” baru dari kalangan parti komponennya, maka suara-suara perubahan dalam Umno menjadi semakin kuat.



Lalu atas nama perubahan Abdullah Ahmad Badawi si Presiden parti merangkap Perdana Menteri yang dilihat semakin hilang kawalan dipaksa berundur awal (tuduhannya Abdullahlah yang berjasa besar atas prestasi dan kemelut terburuk Barisan Nasional ini).



Tersenyum lebarlah Najib Tun Razak, sudah hampir pasti dia akan bergelar Presiden parti dan Perdana Menteri Mac ini, Tengku Razaleigh Hamzah akan terus kekal menjadi gurkha Umno paling setia. Suara perwakilan suara keramat, kata Najib, inilah perubahan!



Berlumba-lumbalah pula orang seperti Muhammad Muhd Taib dan Ali Rustam menawarkan diri untuk menjadi Timbalan Presiden parti, kononnya inilah kehendak akar-umbi Umno yang mahukan perubahan.



Mukhriz Mahathir, Khairy Jamaluddin dan Khir Toyo nampak ghairah sangat akan jawatan Ketua Pemuda Umno, kesemuanya ada sokongan perwakilan, masing-masing membawa moto tersendiri, tetapi yang jelas semuanya bercakap tentang mengubah Umno.



Hari ini, “reform” atau reformasi bukan lagi hak eksklusif Anwar Ibrahim atau Parti Keadilan, bukan juga lagi hanya menjadi laungan Gobalakrishnan, Tian Chua, Chegu Bard mahupun Jonah (teringat saya tarikh 4 April 2006, saya menganjurkan sebuah acara deklamasi puisi, di mana dewan dikepung di segenap penjuru oleh Unit Anti Rusuhan (PORU), Pasukan Gerakan Am Kem Galing dengan kekuatan empat trak dan saya bersama tujuh sahabat yang lain ditahan, hanya kerana programnya bernama “Baca Puisi REFORMASI”).



Hari ini reformasi juga sudah menjadi genre lagu politik nyanyian hampir segenap lapisan pimpinan Umno. Kalau dulu perkataan ini begitu traumatik buat mereka, hari ini mereka berebut-rebut untuk menyebutnya.



Ya, perubahanlah yang dimahukan rakyat, perubahanlah yang dituntut rakyat. Perubahan juga yang dimahukan ahli Umno, maka Umno perlu dipimpin Presiden baru, Timbalan Presiden baru, Ketua Pemuda baru dan Ketua Wanita baru.



Tetapi jika perubahan yang dimahukan rakyat itu A dan perubahan yang dimahukan ahli Umno itu B, apakah A=B? Saya rasa satu ujian hipotesis perlu dilakukan.



Apa yang berubah bila Umno nanti diubah presidennya dari Abdullah Ahmad Badawi kepada Najib Tun Razak (yang dituduh berkendak dengan Mendiang Altantuya Sharibu - sekurang-kurangnya inilah yang terkandung dalam akuan bersumpah pertama Bala si penyiasat persendirian itu, juga belum reda isu Sukhoi dan Scorpene, muncul pula Eurocopter)?



Apa pula harapan perubahan yang disandarkan oleh akar-umbi Umno Selangor kepada orang seperti Muhammad Muhd Taib yang terus dikenang sebagai orang yang suka membawa duit tunai yang banyak?



Ali Rustam sudah tentu akan membanyakkan filem Shah Rukh Khan dalam siaran televisyen kita nanti (sebahagian perubahan?).



Atau apakah aspirasi perubahan yang boleh dipenuhi oleh orang seperti Isa Samad yang sudah terbukti perasuah dan pernah digantung oleh Umno sendiri kerana politik wang?



Perubahan untuk pembaharuan yang macam mana pula yang boleh dijanjikan oleh orang seperti Mukhriz Mahathir atau Khairy Jamaluddin jika mereka sendiri mewarisi legasi “lama” tinggalan bapa dan bapa mertua mereka?



Rakyat (baca: bukan ahli Umno) yang mahu melihat kelangsungan hidup Umno tetapi telah menolak Umno kerana mereka mahu Umno berubah SISTEMnya, berubah BUDAYAnya, berubah MORALnya, berubah DASARnya! Safnya boleh siapa sahaja, asalkan iltizamnya ada.



Saya kata mustahil, tetapi Datin Ismalina (calon Ketua Puteri Umno) kata boleh, namun janganlah harap perubahan ini berlaku semalaman, seperti perokok mahu berhenti, kata Datin Ismalina, ia ambil masa, mungkin bertahun-tahun.



Jika tidak drastik, bertahun-tahun itu berapa tahun? Setahun, sepuluh tahun atau seratus tahun? Bagi rakyat, buat apa menunggu kalau ada pilihan lain untuk memenuhi aspirasi perubahan mereka?



Bagi saya, selagimana ahli-ahli bawahan Umno yang katanya mahukan perubahan masih lagi boleh memilih seorang penyeludup dan bekas penagih ubat batuk, serta gagal SPM sebagai Ketua Pemuda bahagian mereka, saya tidak nampak jalan, gelap gambar kata orang sekarang.

1 comment:

goddamn those who should b damn said...

umno sudah berubah,berubah jadi lebih ekstrem,berubah jadi lebih racist,berubah jadi lebih haramjadah dan bangsat.memang betul umno sudah berubah.