"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Tuesday, November 04, 2008

Pakej Rangsangan RM7 Billion Untuk Kukuhkan Ekonomi

Kerajaan hari ini mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM7 bilion dalam usaha mengukuhkan lagi daya tahan negara dan mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dalam menghadapi persekitaran global yang semakin mencabar.

Najib juga berkata kadar inflasi pada 2009 dijangka berada pada tahap 3 hingga 4 peratus, jika harga minyak dunia kekal dalam aliran menurun seperti sekarang.

Beliau berkata defisit fiskal kerajaan bagi 2009 masih pada tahap yang terkawal, yang dianggarkan sebanyak 4.8 peratus, memandangkan kerajaan memilih untuk terus menyediakan bajet yang mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi, yang tahap ini serupa dengan anggaran defisit tahun 2009.

"Defisit 4.8 peratus ini bersifat sementara, dalam lingkungan yang munasabah memandangkan negara mempunyai mudah tunai yang mencukupi untuk meminjam daripada pelbagai sumber dalaman," katanya.

"Kerajaan akan mengamalkan dasar "pengembangan" seperti yang diamalkan oleh negara-negara lain pada masa kini.

Mulai Februari 2009, Najib berkata biodiesel akan digunakan, bermula dengan kenderaan-kenderaan kerajaan, diikuti sektor industri dan pengangkutan.

Adunan itu dianggarkan memerlukan 500,000 tan minyak sawit setahun apabila dilaksanakan sepenuhnya pada awal 2010, katanya.

Bagi mengurangkan kos input pertanian terutama baja, kerajaan bersetuju memansuhkan duti import sebanyak 5 peratus yang dikenakan ke atas tujuh jenis baja.

Ini adalah tambahan kepada pemansuhan duti import ke atas satu jenis baja semasa pembentangan Bajet 2009.

Menerusi langkah itu semua baja mineral yang diimport tidak lagi dikenakan duti, kata Najib.

Beliau juga berkata selari dengan penurunan harga minyak mentah, industri pengeluar baja tempatan bersetuju membantu usaha kerajaan dalam mengurangkan sekurang-kurangnya 15 peratus harga baja serta-merta, katanya.

Najib berkata pembentangan Bajet 2009 yang lepas telah mengambilkira dan mengunjurkan senario global yang mencabar bagi tahun 2009.

Namun, perubahan perkembangan ekonomi global yang mendadak sejak akhir-akhir ini memerlukan kita mengambil tindakan proaktif untuk menangani kesan daripada krisis global semasa.

"Keadaan yang luar biasa memerlukan tindakan yang juga luar biasa ataupun dengan izin, "extraordinary times, require extraordinary measures", katanya.

"Perlu ditekankan bahawa jumlah perbelanjaan yang dibentang pada Bajet 2009 masih tidak berubah. Segala perbelanjaan yang digunakan untuk langkah-langkah tambahan ini adalah hasil penjimatan daripada subsidi minyak," katanya.

Dalam strategi melaksanakan dasar fiskal yang mengembang, Najib berkata kerajaan akan menyemak semula projek-projek dengan tujuan untuk memberi keutamaan kepada projek yang boleh dilaksanakan segera serta mempunyai kesan pengganda yang tinggi dan kandungan import yang rendah.

Ini akan dilaksanakan tanpa menjejaskan jumlah perbelanjaan pembangunan yang telah diperuntukkan bagi tahun 2009 sebelum ini.

Sebagai contoh, Kerajaan telah menangguhkan pembelian helikopter untuk Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri, supaya penjimatan ini boleh digunakan bagi projek pembangunan yang lain, kata Najib.

Bagi meningkatkan lagi pendidikan negara dan mengambil kira kehendak semua kaum, kerajaan akan memperuntukkan RM200 juta untuk empat kumpulan sekolah - RM50 juta untuk sekolah agama bantuan kerajaan, RM50 juta untuk sekolah mubaligh, RM50 juta untuk SJK Cina dan RM50 juta SJK Tamil.

Sebanyak RM300 juta diperuntukkan bagi mewujudkan dana untuk melaksanakan program latihan kemahiran yang ditumpukan ke arah memenuhi keperluan majikan dan industri, terutama di Koridor-koridor Pembangunan Wilayah.

Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM500 juta bagi menyelenggara dan memantapkan lagi sistem pengangkutan awam, khususnya sistem LRT, Komuter dan sistem bas di bandar-bandar utama memandangkan kos sara hidup di bandar adalah tinggi, termasuk untuk menampung kos pengangkutan.

Najib juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion bagi menubuhkan Dana Pelaburan bagi menarik lebih banyak pelaburan sektor swasta dengan tumpuan diberikan terhadap sektor strategik yang bernilai tambah tinggi dan projek berimpak besar dari segi nilai pelaburan.

Dana ini akan digunakan untuk memberi geran, pinjaman mudah atau modal ekuiti kepada pelabur.

Pendekatan itu berjaya menarik pelabur dalam sektor perkhidmatan berteknologi tinggi, seperti Dell, Hewlett Packard dan Satyam, ke Cyberjaya serta dalam sektor pembuatan bernilai tambah yang tinggi termasuk pengeluaran panel solar, industri aeroangkasa dan komponen kapal terbang, katanya.

Najib juga berkata sebanyak RM400 juta diperuntukkan bagi menyegerakan pelaksanaan Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi, dengan menyediakan perkhidmatan ini kepada 300,000 premis, terutama di Lembah Klang dan kawasan industri seperti di Bayan Baru, Senai dan Kulim, menjelang akhir 2009.

Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM200 juta untuk membangunkan modal insan melalui program-program latihan yang diurus oleh kementerian berkaitan, katanya, selain RM100 juta untuk memperkasakan golongan belia melalui program program baru.

Antara program yang akan disediakan ialah rakan muda sekolah, rakan muda sektoral yang melibatkan kampung baru Cina, estet untuk kaum India, kampung Orang Asli dan kaum pribumi di Sabah dan Sarawak.

Najib berkata bagi menggerakkan semula projek perumahan terbengkalai di kawasan strategik terpilih dan berdaya maju, kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM200 juta ringgit.

Projek ini akan diuruskan oleh Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB), katanya.

Kerajaan juga akan memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi menambah bilangan premis perniagaan, di samping memperindahkan suasana pekan-pekan kecil terpilih di seluruh negara.

"Ini akan dapat menambah bilangan usahawan kecil dan sederhana, termasuk memasarkan produk keluaran tempatan. Program ini akan dilaksanakan oleh MARA di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi," kata Najib.

Bagi melahirkan generasi masa hadapan yang lebih berkualiti, Najib juga berkata sebanyak RM200 juta diperuntukkan untuk pendidikan awal kanak-kanak di peringkat umur 1 hingga 6 tahun.

"Ini termasuk program seperti PERMATA negara, Tadika KEMAS, Tadika Perpaduan dan kelas prasekolah," katanya.

Najib berkata kerajaan akan menubuhkan Unit Pengurusan Projek (PMU) menerusi Kementerian Kewangan bagi memantau dan menyelaras pelaksanaan projek kritikal dan berimpak tinggi, bagi memastikan pelaksanaan yang cekap dan berkesan.

Ini kerana kerajaan sedar bahawa dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, kepantasan bertindak dalam melaksanakan semua program yang baru disebutkan itu sangat kritikal.

"Tumpuan akan diberi terhadap projek yang mempunyai kesan pengganda yang tinggi serta kritikal bagi menjana pertumbuhan ekonomi," katanya.

Unit ini akan melapor terus kepada Menteri Kewangan dan dianggotai para pegawai kanan kerajaan, badan kawal selia, dan syarikat berkaitan kerajaan terpilih, kata Najib.

Kerajaan bercadang menggunakan kaedah baru iaitu dengan memanggil tender terbuka yang melibatkan sektor swasta dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memajukan tanah di lokasi strategik yang boleh dimajukan.

Sekiranya konsep pembangunan ini dapat dilaksanakan, kerajaan dijangka memperoleh pendapatan yang besar.

Kerajaan akan mengenal pasti aset-aset dalam bentuk tanah yang strategik, yang boleh ditawarkan menerusi inisiatif ini, termasuk tanah Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buloh, tanah Kerajaan di Jalan Cochrane dan Jalan Ampang Hilir, Kuala Lumpur, kata Najib.

Kerajaan juga yakin dapat mencapai sasaran 110,000 orang yang akan mendapat bantuan kebajikan bulanan yang diumumkan pada Bajet 2009.

Najib juga berkata kerajaan akan membenarkan pekerja mengurangkan potongan caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara sukarela sebanyak tiga peratus selama dua tahun mulai 1 Jan 2009, bagi menambah pendapatan boleh guna pekerja.

Untuk memudahkan penjawat awam memiliki kereta, kerajaan akan meningkatkan had kelayakan pinjaman kereta iaitu RM60,000-RM70,000 bagi gred JUSA, RM55,000-RM65,000 untuk gred 41 hingga 54 dan RM45,000-RM55,000 untuk kumpulan sokongan.

Pekerja yang sudah membuat pinjaman perumahan, kini mempunyai pilihan untuk melanjutkan tempoh pembayaran pinjaman mereka sehingga 30 tahun berbanding 25 tahun pada masa ini.

Kerajaan juga akan meliberalisasikan sektor perkhidmatan mengikut Perjanjian Rangka Kerja Perkhidmatan ASEAN (AFAS), dengan semua sektor perkhidmatan akan dibuka kepada pegangan asing sehingga 70 peratus pada 2015.

Antara sektor yang akan dibuka termasuk logistik, aktiviti tertentu dalam sektor telekomunikasi, pelancongan, perkhidmatan hospital swasta dan sektor pengajian tinggi.

Untuk menggalakkan aktiviti sektor swasta, kerajaan akan memansuhkan duti import simen dan keluaran besi keluli panjang untuk sektor pembinaan dan pembuatan.

"Di samping itu, semua permit import (AP) bagi keluaran besi keluli panjang akan dikecualikan. Langkah ini akan dapat menyokong usaha kerajaan untuk merangsang pertumbuhan sektor pembinaan," katanya.

Kerajaan juga akan membenarkan individu atau entiti asing membeli hartanah komersil bernilai RM500,000 atau lebih, tanpa memerlukan kelulusan Jawatankuasa Pelaburan Asing, dengan syarat hartanah tersebut untuk kegunaan sendiri.

"Langkah ini bertujuan menggalakkan pelaburan, terutama pembangunan sektor hartanah negara," kata Najib.

Permit kerja yang pada masa ini diberi kepada majikan, juga diberi secara langsung kepada pekerja terbabit bagi memudahkan proses pengambilan pekerja asing berasaskan pengetahuan.

Kerajaan juga akan mempercepatkan pengambilan kakitangan bagi jawatan kritikal dan diperlukan dalam sektor awam.

Pada masa ini terdapat 18,000 kekosongan jawatan kritikal dalam sektor awam.

Najib berkata Bank Negara Malaysia akan menyediakan pinjaman mudah sebanyak RM200 juta bagi melaksanakan skim mikro kredit bagi membantu usahawan yang menjalankan perniagaan kecil.

Kerajaan juga menyediakan dana modal pusingan RM100 juta untuk Program Kewangan Mikro Bandar.

Program ini diletakkan di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memandangkan kejayaan program yang sama yang dilaksanakan di kawasan luar bandar, kata Najib.

Kerajaan juga akan memastikan sebahagian besar perolehan kerajaan dilakukan melalui tender terbuka dan tender terhad bagi melancarkan lagi proses perolehan kerajaan supaya lebih telus dan mendapat nilai untuk wang.

Perolehan kerajaan untuk kontrak-kontrak bumiputera juga akan ditenderkan melalui bidaan kompetitif dalam kalangan syarikat-syarikat bumiputera, kata Najib.

Dalam menghadapi persekitaran yang mencabar ini, Timbalan Perdana Menteri meminta rakyat, di dalam atau luar negeri, sama-sama menyumbang ke arah memastikan krisis ini ditangani dengan jayanya.

"Kita perlu belajar daripada pengalaman lepas, di mana kita berjaya mengharungi setiap krisis dengan semangat bersatu padu dan kerjasama yang erat," katanya.

-Bernama

No comments: