"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Tuesday, November 04, 2008

Saf Di Masjid Al Nabawi Mulai Penuh, Musim Haji 1429 Bermula

MADINAH, 4 Nov (Bernama) -- Saf (barisan) di Masjid Nabawi mulai hampir dipenuhi jemaah setiap kali solat fardhu lima waktu, bas berduyun-duyun memasuki kota suci ini, dan hotel serta rumah penginapan di sekitarnya penuh - ini tandanya musim haji 1429 Hijrah sudah bermula.

Mereka ke sini bukan sahaja untuk mendirikan solat dan berdoa di Masjid Nabawi, masjid kedua termulia selepas Masjidil Haram di Mekah, tetapi juga kerana menziarahi makam Nabi Muhammad s.a.w di situ serta makam tiga khalifah Islam -- Saidina Abu Bakar, Omar Al Khatab dan Uthman Ibnu Affan di sebelahnya.

Justeru itu Kota Suci Madinah, di mana juga terdapat Masjid Qubaa, masjid pertama didirikan pada zaman Rasullullah, menjadi destinasi ziarah bagi sebahagian daripada berjuta-juta jemaah haji yang bakal bermukim di Tanah Suci Mekah sebelum wukuf di Arafah pada awal Disember akan datang.

"Apabila anda melihat banyak orang Turki, Tanah Jawi dan dari benua India di Masjid Nabawi, itu tandanya awal bulan Haji sahaja sudah datang," kata seorang rakyat Malaysia yang sudah lama menetap di Arab Saudi.

Jemaah haji terdiri daripada rakyat Malaysia sudah mulai banyak di Madinah sejak hujung minggu lalu antara berpuluh ribu jemaah haji pelbagai bangsa dan budaya kelihatan berulang alik antara penginapan dan Masjid Nabi itu lima kali sehari untuk melakukan solat fardhu.

Beribu-ribu lagi sedang memasuki kota kedamaian ini melalui jalan darat dan udara setiap detik dan beribu-ribu yang lain yang sudah tinggal rata-rata lapan hari di sini dan melakukan solat 40 waktu (solat Arbain), keluar menuju Mekah.

Meskipun sebahagiannya sudah berusia lanjut dan fizikal mereka kelihatan lemah, namun mereka sanggup berjalan berbatu-batu sehari kerana mahu mendirikan solat fardhu 40 waktu yang dianjurkan oleh Islam bagi jemaah haji.

Tabung Haji Malaysia, menurut Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Salleh Ab. Mubin, yang juga Pengurus Besar Kanan Haji, Tabung Haji sedaya upaya menampung supaya sebahagian jemaah haji Malaysia masuk ke Arab Saudi langsung ke Madinah untuk melakukan ziarah.

Tabung Haji mengatur program ziarah ke makam Rasulullah dan sahabat serta tempat lain bagi jemaah haji Malaysia, katanya.

"Kita berharap kehadiran mereka sembilan hari di Kota Suci ini memberi mereka kesempatan untuk menghayati suasana dan cara hidup orang Islam di sini, lebih-lebih lagi para sahabat Rasulullah yang menjalani kehidupan baik," katanya.

"Apabila mereka kembali ke tanah air, kita berharap mereka dapat menyebarkan cara hidup Islam kepada masyarakat," katanya.

Mohd Salleh berkata cuaca di Madinah tahun ini kini agak sejuk dan dijangka bertambah sejuk terutama di waktu subuh dan malam dan beliau menasihatkan para jemaah Malaysia membawa pakaian yang sesuai.

Madinah yang jarang menikmati hujan, hujung minggu mengalami hujan tetapi cuaca hari ini cerah namun suhu dilaporkan sekitar 20 darjah celcius dan berangin.

Katanya untuk menjaga tahap kesihatan jemaah haji Tabung Haji menitikberat mutu makanan yang disajikan dengan mengikat kontrak katering dengan hotel-hotel di mana mereka ditempatkan.

No comments: