"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Sunday, December 07, 2008

Bakal Duta Jangka Sukar Dapatkan Pembeli Apartmen Di Bukit Antarabangsa

Bagi diplomat Zainal Abidin Bakar, cadangannya untuk menjual unit pangsapurinya di Kyoto Garden di sini mungkin menghadapi masalah daripada segi mendapatkan pembeli.

Ini kerana lokasinya adalah tidak jauh dari kawasan Bukit Antarabangsa, tempat berlakunya tanah runtuh pada awal pagi Sabtu lepas yang menyebabkan empat orang terbunuh dan 14 banglo roboh.

Zainal Abidin, 47, Setiausaha Bahagian Asia Timur di Jabatan Hubungan Dua Hala Politik dan Ekonomi, Kementerian Luar, yang akan berkhidmat sebagai Duta Malaysia ke Republik Czech tahun depan, berkata beliau tidak pasti sama ada akan mendapat pembeli berikutan tragedi itu.

Walaupun kawasan perumahannya tidak terlibat dalam kejadian tanah runtuh itu tetapi insiden itu sudah cukup untuk membuatkan bakal pembeli untuk menilai keselamatan kawasan-kawasan perumahan di sekitar Bukit Antarabangsa.

"Saya bercadang untuk menjual unit apartmen saya sebelum mula bertugas di Republik Czech. Tetapi kejadian tanah runtuh menyukarkan saya untuk berbuat demikian kerana orang ramai tidak yakin lagi bahawa kawasan itu selamat untuk didiami," kata Zainal Abidin yang telah menetap di pangsapuri itu lebih 10 tahun.

Beliau berkata pasaran hartanah di kawasan Bukit Antarabangsa akan turut jatuh dan beliau boleh kerugian antara RM40,000 dan RM50,000.

Zainal Abidin, berkata beliau tertarik untuk menetap di kawasan berbukit itu bersama keluarganya pada tahun 90-an kerana faktor geografi, kehijauan serta ketenangannya.

"Ketika membelinya dulu, pembangunan di kawasan sekitar termasuk di Taman Bukit Mewah tidak serancak sekarang. Masa itu belum ada lagi sebarang projek pembinaan rumah atau apartmen di lereng bukit," katanya.

Zainal Abidin berkata bahawa sebelum membuat keputusan mendiami kawasan itu, beliau telah membuat tinjauan dan yakin dengan keselamatan serta struktur pembinaan perumahan di situ.

Bagaimanapun, katanya, beberapa tahun selepas menetap di pangsapuri itu kejadian tanah runtuh mulai berlaku akibat penerokaan di kawasan bercerun.

Menurut diplomat itu, sebelum inipun beliau pernah terperangkap akibat kejadian tanah runtuh pada tahun 1999.

"Pembinaan di lereng-lereng bukit sepatutnya sudah lama dihentikan kerana faktor keselamatan. Jika hendak dibangunkan sebarang projek, pandangan daripada penduduk sekitar perlu diambil kira bagi mengelak kejadian yang sama berulang," kata Zainal Abidin yang kini bersama keluarganya menumpang di rumah adik iparnya di Shah Alam.

Diplomat itu berkata bahawa sewaktu kejadian tanah runtuh itu, beliau sekeluarga sedang tidur dan terjaga serta menyedari mengenai insiden itu apabila terdengar bunyi siren polis.

Mereka kemudian menyeberangi satu titi kecil untuk ke arah Kondominium Impiana Selatan sebelum dibawa keluar dari kawasan itu oleh pasukan Jabatan Pertahanan Awam.

Insiden Sabtu lepas berlaku kira-kira 1.5 kilometer dari tempat berlakunya runtuhan satu daripada tiga blok Highland Towers pada 11 Dis 1993 yang menyebabkan 48 orang terbunuh.

2 comments:

Anonymous said...

tak perlulah lagi nak bina kediaman di lereng-lereng bukit.fikirlah tentang keselamatan diri dan orang lain.banyak lagi kawasan yang sesuai untuk didirikan kawasan kediaman mewah.buang persepsi untuk menunujukkan betapa prestijnya seseorang tu kena ada kediaman di lereng bukit.

Unknown said...

banyak lagi kawasan yang ada kat Malaysia dan bukan hanya setakat di Bukit Antarabangsa.lepas ni tak payahlah kontraktor nak mengada-ngada bini kediaman mewah di kws lereng bukit.belajarlah dari tragedi Highland Towers dan Bukit Antrabangsa.jangan semata-mata fikirkan duit dan kedudukan sampai menggadaikan nyawa sendiri dan orang lain.